Kalau zaman bercinta dahulu, bukan main sakan lagi ke hulu hilir ya? Kata orang bagaikan belangkas! Kiranya kalau sehari tak jumpa cinta hati tu, boleh angaulah jadinya. Gila bayang, tidur tak lena, makan tak kenyang. Pendek kata semua serba tak kena.


Kredit Foto: Google


Dan selepas berkahwin, kebanyakan pasangan tidak lagi mempraktikkan rutin ‘dating’. Mungkin ada yang memberi alasan sibuk bekerja dan anak-anak tiada siapa yang boleh dijaga. Mungkin perkara ini tampak remeh dan kecil tetapi impaknya besar dalam kelestarian hubungan suami isteri. Malah penting untuk diambil kira kerana banyak kelebihannya bagi pasangan suami isteri. Nak tahu kenapa?
  1. 'Refresh' Emosi
Ya, emosi memainkan peranan penting dan punya impak besar dalam sesuatu perhubungan. Khususnya bagi mereka yang sibuk bekerja. Mungkin dengan bertanya mengenai soal kerja, apa yang berlaku di pejabat, perihal anak-anak, keluarga masing-masing dan rakan-rakan. Mungkin kedengarannya biasa sahaja tetapi disitulah titik mulanya kalian menunjukkan saling prihatin dan mengambil berat serta peka dengan apa yang berlaku pada pasangan. Kalau tak dikemas kini, takut nanti pasangan memendam perasaan dan mulalah bibit perbalahan dan perselisihan faham.


Kredit Foto: Google
  1. Elakkan Depresi
Masalah depresi bukan lagi satu perkara asing malah dijangkakan bakal menjadi ‘highlight’ tahun-tahun akan datang. Dan bagi mengelakkan isu ini berbangkit, ia bermula dari rumah. Kalau tidak diluahkan rasa yang terpendam itu pasti membangkitkan bibit-bibit ke arah kemurungan.
  1. Luahan Perasaan
Fahamilah naluri wanita sememangnya suka bercerita dan meluahkan. Justeru sebagai suami, jadilah pendengar yang baik. Manfaatkan waktu ini untuk saling meluahkan rasa hati masing-masing. Suami dengar luahan isteri dan begitu juga sebaliknya. Malah adalah lebih baik pasangan kita meluahkannya secara langsung berbanding meluahkannya di media sosial yang akhirnya akan membuka pekung didada.


Kredit Foto: Google
  1. Nafkah Batin
Pasangan suami isteri khususnya mereka yang bekerja sememangnya tiada masa. Mungkin tidak disarankan untuk melakukannya selalu, tetapi apa kata jika salah seorang daripada anda mengambil cuti sakit dan seorang lagi mohon cuti tahunan. Jika punya anak, hantarkan seketika kepada saudara-mara ataupun ke taska. Kerana dijadikan pasangan itu untuk saling menyempurnakan. Maka, dengan itu cipta aktiviti dan cari masa juga peluang untuk berdua-duaan. Keluar menonton wayang, window shopping ataupun lepak di kedai mamak dan berborak berjam-jam pun boleh dijadikan pilihan agar hasrat untuk berdua-duaan tercapai.


Ini sebahagian saranan dan cadangan buat kalian yang mungkin tercari-cari masa untuk 'dating' dengan pasangan. Belum terlambat untuk mulakan atau kembalikan semua nostalgia zaman bercinta dahulu. Kerana terbukti ada kebaikan dan kelebihannya untuk membentuk hubungan yang lebih harmoni, romantis dan mencipta kenangan baru. Selamat ber 'dating'!