gaya hidup
Dah Tua, Tapi Masih GIGIH Dan GAGAHKAN Diri Bekerja Demi Mencari Sesuap Nasi. Terpukulkah Anda Melihatnya?
Hati mana yang tak terusik apabila melihat warga emas yang mungkin sebaya dengan usia ibu bapa atau nenek dan datuk kita masih lagi bekerja. Berbekalkan tulang empat kerat, berdiri dan berjalan entahkan berapa jam lamanya demi mencari rezeki hasil titik peluh sendiri cukup meruntun hati. Jika pada fikiran logik kita, ketika usia mereka sebegini sewajarnya diisi dengan beristirehat di rumah sahaja. Atau paling tidakpun bagi yang beragama Islam, manfaatkan masa yang masih ada dengan beramal ibadat seperti mengaji Al-Quran, berzikir, mendengar ceramah dan kuliah serta aktiviti keagamaan yang tidak membebankan. Ya, pokok pangkalnya duduk berehat dan jaga kesihatan sahaja. Itulah yang paling utama.
Kredit Foto: Facebook Kaksah Katering Besut
Usia 79 Tahun, ‘Ayah’ Kerah Kudrat Berniaga Air Tebu
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook (Kaksah Katering Besut) berkongsi kisah mengenai seorang warga emas menjual air tebu di tepi jalan. Bayangkan sahaja dengan cuaca panas, hanya berbumbungkan khemah, lelaki yang lebih mesra disapa ‘Ayah’ ini sebenarnya telah lama berniaga air tebu di tepi jalan utama menuju ke Penarik, Terengganu. Namun dek kerana gerainya rosak akibat dirempuh kenderaan terbabas, maka ‘Ayah’ terpaksa ‘berehat’ lama.
Hinggalah ditakdirkan suatu hari, pengguna Facebook ini secara kebetulan lalu di hadapan gerai ‘Ayah’ lantas memborong air tebu yang dijualnya. Malah niatnya berkongsi di Facebook untuk menguar-uarkan kepada orang ramai agar dapat menyokong dan membantu dengan membeli hasil jualan air tebunya.
Kredit Foto: Facebook Kaksah Katering Besut
Terbongkok-bongkok tubuhnya menuang air tebu ke dalam cawan. Dan entahkan berapa jam lamanya dia duduk-berdiri-duduk-berdiri melayani pelanggan yang datang membeli. Tersentuh hati melihatnya walaupun cuma dari skrin. Itu belum dikira berhadapan dengan terik mentari atau mungkin hujan maklum sajalah dengan cuaca yang tidak menentu kini. Pastinya sukar bagi ‘Ayah’. Tetapi senyuman ikhlas diberi setiap kali ada pelanggan yang datang singgah membeli. Didoakan agar ‘Ayah’ terus diberi kekuatan dan kesihatan serta dipermudahkan segala urusannya dalam menjalani hari-hari mendatang.Kredit Foto: Google
Christine Ti Sara Hidup Dengan Bekerja Sebagai Penghantar Makanan FoodPanda
Kisah wanita warga emas berbangsa Cina ini tular selepas seorang pengguna Twitter berkongsi muat naik mengenai kecekalan wanita ini bekerja sebagai penghantar makanan FoodPanda. Dan selepas ramai yang berkongsi, ia secara tidak langsung membuatkan Ustaz Ebit Lew terpanggil untuk turun padang membantunya. Berdasarkan perkongsian Ustaz Ebit Lew, Christine Ti tinggal berdua dengan adiknya. Emaknya pula baru meninggal dunia. Dikhabarkan, sebelum ini dia pernah bekerja sebagai penulis berbahasa Inggeris untuk sebuah penerbitan majalah.Kredit Foto: IG Ebit Lew
Namun demikian, semenjak awal PKP dahulu dia hilang pekerjaan dan mata pencarian. Lantas mencuba nasib sebagai penghantar makanan FoodPanda menggunakan kereta kancil lama. Tambah sayu apabila melihat Aunty Christine amat menjaga kebersihan dan patuh pada SOP. Bukan setakat memakai mask, dia turut menyarung glove dan telefon bimbit juga dibalut dengan plastik.
Iktibarnya
Bukan mahu menunjukkan ia perlu dijadikan sumber inspirasi, kerana ada juga dalam kalangan masyarakt menyifatkannya sebagai satu bentuk kelemahan yang berlaku dalam kalangan kita. Kerana sewajarnya pada usia ini, mereka tidak perlu lagi bekerja untuk menampung perbelanjaan atau demi menyara hidup. Ada juga yang berpendapat ia hanya menunjukkan kesilapan kita yang sepatutnya membantu golongan ini.
Ya, ada benarnya juga. Kerana masing-masing tidak dinafikan ‘struggle’ untuk berjuang dan meneruskan kehidupan pada saat sukar sebegini. Waima apa jua sebab warga emas seperti ini bekerja, jadikannya sebagai iktibar dan pengajaran buat kita yang masih muda dan bertenaga. Betapa tiada jalan singkat dan bukannya mudah untuk mencari serta mendapatkan pekerjaan sekarang. Bukan juga dengan jalan mudah seperti merompak, meragut, mencuri dan pelbagai jenayah lain demi untuk mendapatkan wang sekelip mata.
Kredit Foto: Google
Bekerja Dan Berusahalah
Apa sahaja yang ada dalam diri misalnya berbekalkan kebolehan, kemahiran, pengetahuan, ilmu dan minat lakukannya dan salurkan pada jalan yang betul. Bukannya duduk diam mengharapkan bantuan dan sumbangan. Usahalah sebaik mungkin, ikhtiarkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk mencari rezeki yang halal. Rajin dan usaha adalah kuncinya. Bekerjalah selagi masih punya kudrat dan tubuh masih kuat. Jika berpaksikan dengan niat yang ikhlas, disempurnakan dengan cara yang jujur; yakinilah pasti Dia akan lorongkan jalan agar setiap urusan dan pekerjaan itu dipermudahkan.Must-Watch Video