Highlights

“Dalam Fikiran Saya Waktu Itu, Sama Ada Nak Keluar Dari Sekolah Atau Berhenti.” – Cikgu Samuel.

gempak
Huda Hussain
10/11/2020
10:56 MYT
Sponsor Banner
“Dalam Fikiran Saya Waktu Itu, Sama Ada Nak Keluar Dari Sekolah Atau Berhenti.” – Cikgu Samuel.
Nama Samuel Isaiah mungkin sebelum ini hanya dikenali dalam kalangan rakan-rakan tenaga pengajar juga anak-anak murid orang Asli di Sekolah Kebangsaan Runchang, Pahang. Tetapi selepas namanya tersenarai 10 calon pemenang Global Teacher Prize, seluruh pelusuk tanah air bersorak gembira. Pelbagai pihak tampil mengucapkan tahniah dan lebih membanggakan Cikgu Samuel apabila Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong turut menitipkan ucapan sama. Siapa yang tidak menumpang bangga? Bukan sahaja mengharumkan profesyen perguruan yang kian berdepan cabaran. Tetapi membawa nama Malaysia ke satu tingkat lebih tinggi di mata dunia. Antara pencapaian tertingginya yang lain adalah dipilih sebagai 16 adiwira lantikan Kementerian Pendidikan Malaysia tahun lalu. Terbukti pemilihannya cukup layak dan tepat. Dan bersama InTrend, Cikgu Samuel berkongsi aspirasi disebalik pengumuman awal senarai 10 finalis Global Teacher Prize.
Kongsikan serba sedikit latar belakang keluarga Cikgu Samuel. Berapa orang adik-beradik, berasal dari mana dan sebagainya? Saya berasal dari Kuantan Pahang. Lahir dan membesar disini. Ibu dan ayah pula berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Mereka berhijrah dari Kelantan ke Pahang pada 1986. Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Latar belakang keluarga pula amat sederhana, keluarga saya amat menitikberatkan soal kekeluargaan, misalnya apa-apapun keluarga perlu didahulukan. Kedua ibu bapa saya amat berprinsip. Bapa saya adalah posmen manakala ibu seorang surirumah. Sejak kecil lagi saya dan adik-beradik dibesarkan dengan penekanan konsep bahawa hidup ini sebenarnya lebih daripada sekadar wang ringgit, hidup ini saling memerlukan selain kita perlu bantu-memantu sesama sendiri.
Kredit Foto: Samuel Isaiah
Pendidikan awal hingga ke universiti pula? Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Kuantan Pahang. Pada tahun 2005, saya mendapat biasiswa tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyambung pelajaran dalam jurusan TESL (Teaching English as a Second Language) di Institut Perguruan Pulau Pinang. Ia adalah twinning program bersama Universiti Utara Malaysia (UUM). Dan bermula 2005 hingga 2011 saya peruntukkan masa belajar di Pulau Pinang dan UUM.
Sejak bila ditugaskan ke Sekolah Rendah Runchang? Bermula Januari 2012.
Kredit Foto: Samuel Isaiah
Persepsi pertama semasa Cikgu menjejakkan kaki ke sana? Apa yang tergambar dalam fikiran? Mula-mula sampai di sekolah ini, persepsi pertama memang agak berbeza dengan apa yang saya rasakan sekarang. Ia adalah sebuah sekolah luar bandar yang pelajarnya terdiri daripada anak-anak orang Asli. Apa yang saya nampak pada masa itu, persepsi terhadap murid-murid bahawa mereka tidak boleh berjaya, persepsi negatif seumpama itu memang ada. Sejujurnya saya down, kecewa, sedih dan seolah-olah tak tahu apa yang perlu dibuat. Dalam fikiran saya waktu itu, sama ada saya nak keluar dari sekolah itu atau berhenti. Tapi semuanya berubah apabila saya mula jatuh cinta dan membina hubungan yang akrab, mesra dan baik dengan murid-murid dan masyarakat orang Asli. Bersama mereka, saya banyak belajar erti pendidikan dan kehidupan. Sejak itulah saya nekad untuk cuba sedaya upaya mahu lakukan yang terbaik demi masa hadapan mereka.
Budaya dan cara anak-anak orang Asli adaptasi dalam pembelajaran, apakah lebih sukar berbanding pelajar lain atau bagaimana? Tidak dinafikan, memang berbeza daripada pelajar-pelajar yang lain. Ini kerana arus perdana pendidikan yang telah kita sedia maklum lebih kepada kompetitif. Antara lain ia berteraskan untuk memperoleh gred atau markah habiskan sukatan pelajaran dan sebagainya. Dan jika cara pendidikan sebegini diterjemahkan atau diberikan kepada murid-murid orang Asli, pada saya ia tidak sesuai. Ini kerana bagi mereka, pendidikan seakan tidak memberi makna dalam kehidupan mereka. Pendidikan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan malah tak membawa kepentingan bagi mereka. Oleh itu, apa yang saya cuba buat adalah menggabungkan idea untuk memasukkan elemen teknologi dan muzik dalam pembelajaran mereka. Tujuannya untuk membantu mereka supaya lebih seronok dan mahu untuk belajar serta mencapai potensi sebenar yang juga ada dalam diri mereka.
Kredit Foto: Samuel Isaiah
Keunikan yang menjadikan anak-anak orang Asli istimewa di hati Cikgu? Bagi saya, anak-anak orang Asli lebih daripada istimewa kerana saya percaya mereka mempunyai kebolehan, kemampuan yang sangat tinggi. Cumanya, kita perlu mendengar dan cuba adaptasi apa yang kita lakukan bersama mereka. Jika kita lakukannya, tiada apa yang mustahil.
Memandangkan mereka terdiri dari keluarga yang kurang berkemampuan, pasti banyak yang Cikgu korbankan dari segi wang ringgit dan tenaga untuk mengajar dan memahamkan mereka. Komen sikit? Saya tidak mahu fokuskan kepada pengorbanan. Kerana pada saya soal wang ringgit, masa dan tenaga semua itu sememangnya dilakukan oleh semua cikgu-cikgu. Malah pada saya, cikgu-cikgu yang lain tidak melihatnya sebagai satu pengorbanan pun. Sebaliknya mereka lakukannya kerana ia sesuatu yang menggembirakan mereka. Mereka seronok, tak berkira melakukannya. Misalnya kalau cikgu-cikgu keluarkan duit sendiri. Dan apabila melihat hasilnya, apatah lagi dapat membantu anak-anak murid hati ini terasa lega. Seolah-olah kepuasan itu sukar untuk digambarkan. It feed our souls.
Kredit Foto: Samuel Isaiah
Bagaimana pula penyertaan Cikgu dalam Anugerah Hadiah Global Noble ini, siapa yang beri galakan untuk sertai? Dan apakah prosedur yang dilalui? Antara dua orang mentor yang memberi galakan untuk saya menyertai anugerah ini adalah pensyarah saya, Dr Maria dan seorang lagi individu bekerja di KPM, Datin Rosliza. Merekalah yang banyak membantu supaya saya sertai Global Teacher Prize yang turut berkolaborasi dengan UNESCO. Mereka galakkan kerana percaya dengan kebolehan saya. Mereka merasakan dan meyakinkan saya bahawa jika saya menyertai pertandingan ini, pertamanya ia menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai guru-guru yang hebat dan berkemampuan tinggi. Keduanya, menunjukkan bahawa anak murid dari masyarakat orang Asli juga boleh berjaya. Mereka berkebolehan. Pada saya platform ini amat penting kerana ia bagaikan serampang dua mata untuk kita ketengahkan dua elemen ini di peringkat antarabangsa. Mengenai prosedur pula, sebenarnya calon-calon perlu melalui satu proses aplikasi yang amat panjang. Pemohon hendaklah menyediakan 10 esei yang panjangnya sekitar 500 hingga 700 patah kata jika tidak silap saya. Untuk bahagian esei ini, setiap pemohon dinilai dan diadili oleh barisan juri atau hakim yang terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang ini dari seluruh negara. Selain itu, terdapat tujuh elemen penting yang menjadi kriteria pemilihan. Antaranya: 1. Menggunakan amalan pengajaran berkesan yang yang dapat ditiru dan diskalakan untuk mempengaruhi kualiti pendidikan di peringkat global. 2. Menggunakan amalan pengajaran inovatif yang menangani cabaran tertentu di sekolah, komuniti atau negara dan yang telah menunjukkan bukti mencukupi untuk mencadangkan mereka supaya boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam menangani cabaran tersebut dengan cara yang baru. 3. Mencapai hasil pembelajaran pelajar yang dapat ditunjukkan di dalam kelas. 4. Impak dalam komuniti di luar bilik darjah yang menyediakan model kecemerlangan yang unik dan tersohor untuk profesyen pengajaran dan lain-lain. 5. Membantu anak-anak murid menjadi warganegara global dengan memberi mereka pendidikan berasaskan nilai yang melengkapkan mereka dengan dunia di mana mereka berpotensi untuk hidup, bekerja dan bersosial dengan orang ramai daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. 6. Meningkatkan profesyen perguruan dengan membantu meningkatkan bar pengajaran, berkongsi amalan terbaik dan membantu rakan sekerja mengatasi segala cabaran yang mereka hadapi di sekolah mereka. 7. Pengiktirafan guru daripada kerajaan, organisasi pengajaran kebangsaan, guru besar, rakan sekerja, anggota komuniti atau murid yang lebih luas.
Jadi, guru-guru yang terpilih dalam senarai 50 calon terbaik, 10 finalis dan sebagainya sebenarnya mereka bukan sahaja dinilai daripada apa yang dilakukan dalam bilik darjah semata-mata. Dan bukan sahaja mengenai kehebatan teknik-teknik mengajar dan sebagainya, bahkan lebih daripada itu. Terdapat tujuh kriteria utama yang diteliti dalam kalangan senarai guru yang terpilih.
Kredit Foto: Samuel Isaiah
Perasaan ketika diumumkan sebagai 10 finalis, bagaimana rasanya? Pada mulanya memang saya amat terkejut. Tetapi selepas itu, saya berasa amat rendah diri dan sangat bersyukur kerana ini bukan sahaja mengenai saya, guru-guru Malaysia dan bukan sahaja mengenai anak-anak orang Asli tetapi saya membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
Jika Cikgu berjaya memenangi anugerah ini, apakah perkara pertama yang akan dilakukan dengan dana kemenangan diberi? Jika saya memenangi anugerah ini, saya memang sudah ada perancangan untuk membantu masyarakat orang Asli dan pendidikan orang Asli secara khususnya. Dan perancangan saya untuk menubuhkan satu hub pendidikan atau pusat pendidikan ataupun sebuah yayasan yang membantu pendidikan dan masyarakat orang Asli. Inilah tujuan saya. Jadi kalau menang ni, memang banyaklah kerja saya lepas ini. Dan saya seronok untuk melakukannya. Ini bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi saya perlu bekerja lebih keras lagi selepas ini.
Kredit Foto: Samuel Isaiah
Harapan dan misi Cikgu Samuel seterusnya untuk meningkatkan pendidikan anak-anak orang Asli? Misi saya adalah meningkatkan pendidikan orang Asli. Walaupun saya dihantar ke mana-mana sekalipun selepas ini, apa yang penting saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu pendidikan mereka. Dari apa-apa kapasiti saya tak pasti tetapi saya akan cuba tingkatkan diri supaya anak-anak murid orang Asli akan dapat yang terbaik.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024