gaya hidup
Dalam Kata Hidup Tertekan, Ramai Dah Nak Tukar iPhone Baru, PLAN Ke Langkawi – Alamak, Tak Lari Ke Bajet?
Sana-sini orang mengeluh hidup penuh tekanan terutamanya daripada segi ekonomi dan kos hidup yang tak selari dengan pendapatan peribadi. Dalam keadaan pandemik ini, memang tak dinafikan ramai yang terkesan sehingga kerajaan menggunakan sedaya mungkin sumber yang ada untuk membantu rakyat yang terkesan.
Tidak hanya kerajaan, malah orang perseorangan juga dilihat bersikap lebih prihatin di kala ini. Ramai yang melancarkan kempen bantuan kilat seperti Bendera Putih, bantuan bank makanan dan sebagainya. Siapa yang mampu akan cuba membantu mereka yang memerlukan. Barangan asas seperti makanan dan keperluan harian antara yang sering dihulurkan.
Namun, tidak dinafikan dalam pada ramai yang bersikap pemurah, ada segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan atas kelembutan hati rakyat Malaysia. Ada yang tidak sesusah mana tetap memohon bantuan lebih daripada yang diperlukan mereka. Ada pula menjadikan bantuan orang ramai sebagai platform bermewah-mewah.
Bergaya Ikut Kemampuan Bukan Orang
Sampai bila kita perlu hidup bergantung dengan bantuan orang? Tidak kira sama ada bantuan kerajaan atau orang sekeliling. Sesekali bolehlah orang simpati, lama-kelamaan? Masing-masing ada kehidupan dan komitmen sendiri. Dan, sebagai umat Islam juga kita tidak digalakkan hidup dengan meminta-minta.
Amat menyedihkan apabila melihat ada orang yang mengeluh gaji dipotong majikan tetapi masih meneruskan gaya hidup terdahulu yang lebih daripada pendapatan bulanan. Gaya tidak mahu kalah. Kereta tetap bertukar, telefon bimbit hanya yang terkini dan setiap minggu makan di luar dengan santapan terbaik saja.
Bukan menidakkan hak masing-masing tetapi beringatlah. Fikir masa depan yang masih jauh, keluarga, isteri dan anak-anak. Dalam keadaan sekarang, ramai orang terpaksa berkorban. Bukan hanya duit dan harta, malah gaya hidup dan cara berbelanja. Kita tidak boleh lagi mengutamakan kehendak dan nafsu.
Seorang teman mengadu, sepupunya selalu meminjam. Disebabkan keadaan sekarang memang susah untuk memulakan perniagaan (dia dulu buka workshop), maka mereka adik-beradik sepakat untuk membantu apa yang boleh. Dibelikan keperluan barangan dapur dan sesekali tolong bayarkan bil-bil tertunggak seperti air dan elektrik.
Namun, yang menjengkelkan apabila melihat anak-anaknya masing-masing diberikan telefon canggih seorang satu termasuk yang baru berusia lima tahun. Si Ayah kalau bukan iPhone tidak mahu dipakai. Setiap minggu ‘dine-in’ di restoran sana sini. Anak empat orang, sekali makan bil dalam RM100 lebih juga. Katanya jemu hari-hari makan di rumah.
Baru diberi pelepasan merentas daerah, awal-awal sudah ‘book’ hotel di pinggir bandar untuk berehat katanya. Hotel yang ditempah bernilai RM250 satu malam dan disewa untuk dua malam, baru puas katanya!
“Kami yang mendengar tentulah makan hati. Seikhlas mana pun kami bantu tapi tetap tak dapat nak pujuk hati dari berasa geram dengan perangai boros mereka. Tak lama lagi kolej nak dibuka, anak yang sulungnya tu pasti nak pakai duit. Anak-anak yang bawah pun akan naik sekolah, kelengkapan macam mana? Tak percaya tengoklah nanti, pasti datang WhatsApp minta bantuan,” ujar kawan saya ini perihal sepupunya yang ‘tak sedar diri’.
Begitulah kehidupan. Kalau mampu tak mengapa, silalah gunakan duit untuk apa pun tetapi apabila sering meminta bantuan orang, sedikit sebanyak pasti orang mengungkit dan membangkitkan bagaimana anda menguruskan belanja? Mampu bermewah untuk perkara bukan perlu, tetapi masih menagih bantuan?
Fikir-fikirkan sebelum berbelanja!