Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personaliti

Dalam Sesebuah Keluarga, Mesti Ada Seorang BERHATI EMAS – Dia Sentiasa Ada Untuk Adik-Beradiknya.

Penulis Jemputan 22/02/2021 | 00:00 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
“Jangan risau, kakak ada, duit kakak ada ni untuk kita semua.” Wah seronoknya ada adik-beradik sedarah sedaging yang tak pernah berkira dengan adik-beradik lain. Syahdu betul dikurniakan ahli keluarga yang ada sifat sebegini.
Iyalah, masa kecil makan mak suap sama-sama, mandi dalam kolah sama dan tidur berlapikkan bantal dan tilam sama-sama. Kemesraan adik-beradik itu tidak bernoktah dan silaturrahim dalam pertalian darah sama itu biasanya tetap mesra dan bahagia hingga ajal menjemput.
Biasanya manusia jenis ini, Allah beri rezeki tanpa disangka-sangka dan wangnya tak pernah berkurang.
Perasan tak, salah seorang keluarga kita yang berhati emas dan tak pernah berkira dengan adik beradik ini dalam apa juga perkara, biasanya memang rezeki mereka tak pernah putus-putus.
Betullah, janji Allah, apabila bersedekah, tidak akan putus-putus rezeki mengalir dan urusan pula dipermudahkan.
Wang ringgit, tenaga, masa dan perhatian serta kasih sayang. Mereka yang jenis ini tidak semestinya si sulung, ada juga si bongsu memiliki sifat terpuji ini ataupun si tengah seperti Angah, Pak Tam ataupun Alanhg.
Salah seorangadik beradik mesti Allah kurniakan memiliki sifat seumpama ini dalam mengimbangi sebuah keluarga.
Anak yang baik seperti ini bukan saja terbuka hati membantu ibu bapa mereka tetapi adik beradik yang sudah besar panjang dan berkahwin juga tidak lepas daripada perhatian mereka.
Tiada istilah berkira dengan adik beradik. Duit aku, duit kamu juga. Ini pegangan mereka kerana sayangkan adik beradik.
Malah, sifat dan perangai seperti ini yang patut kita ikuti dan contohi. Jangan ketika kecil saja mesra dan tidak boleh berenggang, apabila besar pun semangat sayangkan adik beradik dan ahli keluarga harus diteruskan.
Pentingkan Kebahagiaan Orang Lain Berbanding Diri Sendiri
Mana yang susah akan dibantu sehabis baik, mana yang kaya dan bahagia, berterusan didoakan terus mengecapai bahagia. Si hati emas ini biasanya sanggup mempertaruhkan dan mengenepikan kebahagiaan diri demi insan-insan yang mereka sayangi.
Ada anak suka membantu adik beradik dan ibu bapanya sanggup melepaskan jodoh yang baik kerana khuatir selepas berkahwin mereka tidak lagi berpeluang memberi perhatian atau berkongsi kemewahan diri jika tidak diizinkan suami kelak apabila sudah berkeluarga kelak.
Kajian membabitkan mereka yang berkahwin lewat atau langsung tidak berkahwin juga mendapati salah satu puncanya adalah individu seperti ini terlampau risau mereka tidak lagi dapat memberi komitmen seperti kewangan mahupun perhatian kepada ibu bapa atau adik beradik yang susah setelah mendirikan perkahwinan.
Sampai begini sekali perhatian dan keprihatinan mereka membela nasib keluarga terutama yang memiliki adik beradik susah dan perlu berpaut di bahu mereka.
Namun, ada juga situasi yang mana anak sulung, bongsu mahupun tengah yang sudah berkahwin tetapi memiliki suami yang memahami, tidak langsung menghalang keinginan mereka membantu keluarga, berterusan memberi inspirasi kepada si hati emas ini untuk berbakti kepada keluarga.
Biasanya, mereka yang memiliki sifat seperti ini gemar meraikan kejayaan dan hari bahagia adik beradik seperti majlis kahwin, majlis hari jadi atau apa saja berita baik.
Mereka tidak kisah berulang kali mengeluarkan belanja kepada adik beradik, menempah makan di restoran mewah atau menjamah di hotel atas alasan mahu adik beradik dan ibu bapa mereka merasai keindahan hidup yang mungkin ketika kecil tidak dapat masing-masing rasai.
Apabila ada rezeki lebih, dikongsi bersama seakan-akan satu kepuasan di hati mereka.
Seronokkan memiliki seorang adik beradik seperti ini. Jika lebih daripada satu atau kesemuanya, cukup membahagiakan.
Ia bukan sekadar jamuan wang ringgit atau harta benda, tetapi bagaimana kita melihat kasih sayang dan keprihatinan adik beradik yang bersifat sebegini kepada ahli keluarga mereka.
Kredit foto: Google
Kurang Rezeki Wang, Dengan Tenaga Pun Mereka Boleh Berbakti, Alahai Si Hati Emas
Ada juga jenis adik beradik yang tidaklah semewah mana, mungkin rezeki mereka belum tiba lagi tetapi bab tenaga langsung tidak berkira.
Pantang ada yang sakit demam, memang tercegat depan rumah untuk dibawa ke klinik atau hospital. Sanggup menungu berjam-jam demi melihat kesihatan adik beradik pulih kembali.
Merekalah yang menjadi insan paling sibuk, paling risau dan paling kehadapan saat tenaga mereka diperlukan.
Si hati emas jenis ini pula biasanya rajin membantu kekurangan ahli keluarga lain dengan khidmat tenaganya yang tak putus-putus.
Contohnya, urusan perpindahan ahli keluarga, memasak kenduri, menjaga adik beradik berpantang dan sakit, ini memang tugas khas mereka.
Ada juga tidak kisah menjaga anak saudara mereka saat berlaku kesulitan dan tidak kurang yang sanggup menjaga ibu bapa sakit berseorangan tanpa ada rasa iri hati kepada adik beradik lain yang tidak berkesempatan berbakti disebabkan komitmen kepada keluarga dan kerjaya.
Mereka sedar, jika tiada wang, bantulah dengan cara lain. Sifat toleransi ini membawa kebahagiaan berpanjangan.
Untung bagi ibu bapa yang mengasuh dan mendidik anak-anak mereka menjadi manusia bersifat peka, prihatin dan penyayang. Biasanya, jika ada adik beradik seperti ini, konflik antara adik beradik dapat dihindarkan dan kesepakatan terbina dengan lebih mudah.
Kredit foto: @sharifah_amani
Kenapa Dah Besar, Sudah Tidak Mesra, Malah Ada Yang Buat Musuh
Bagai manapun, agak sedih dan terkilan bagi adik beradik yang lahir dari rahim yang sama, tangan ibu yang sama tetapi apabila besa mereka kerap bercakaran hanya disebabkan perkara-perkara remeh dan tidak masuk akal.
Paling memilukan situasi berebut harta dan berdengki adik beradik yang tidak berkesudahan. Biasanya apabila berlaku situasi seperti ini, si hati emas ini jadi penawar untuk menstabilkan dan memulihkan keadaan yang tegang untuk kembali jadi tenang.
Kadangkala ada terfikir juga, bagaimana saat kecil kita sayang menyayangi dan apabila dewasa, sifat kekitaan semakin menonjol.
Masing-masing mula mementingkan diri sendiri. memikirkan hal anak dan suami saja. Adik beradik pun dibuat seperti musuh.
Ada yang berkira dengan adik beradik sendiri sehingga jarang berkongsi rezeki bersama.
Semoga kita dijauhkan daripada sifat seperti ini. Ingatlah saat indah yang pernah dikongsi bersama, suka duka yang diharung bersama, nasi yang dijamah bersama dan ikan yang dicubit bersama serta ketawa dan tangisan yang pernah kita harungi bersama.
Jika sedang melalui situasi ini, buang yang keruh, ambil yang jernih. Indahnya masih ada masa bersama adik beradik, berhimpun, makan-makan dan berkongsi cerita sama.
Jom Tag adik beradik kita yang berhati emas. Si hati emas ini memang ‘rare’, jika ada seorang pun, dah cukup bahagia buat sesebuah keluarga.
Panduan Merapatkan Hubungan Adik Beradik Yang Hambar
1 Kerap adakan majlis makan-makan ringkas atau jamuan kerana acara ini merapatkan hubungan yang sedia mesra dan menjernihkan hubungan yang tegang. Berkongsi jenis masakan dan cari satu rumah pendamai untuk memupuk kebahagiaan keluarga.
2. Tubuhkan Kumpulan WhatsApp, kerap bertanya khabar dan sedia menjadi pendengar setia saat salah seorang hadapi masalah. Keraplaj bergurau, hantar dan kongsi gambar lama-lama supaya dapat mengimbau kembali zaman kanak-kanak anda bersama satu ketika dulu.
3. Elakkan berkira dengan adik beradik. Jika ada yang teringin sesuatu yang anda miliki, tidak salah memberi sebagai hadiah kasih sayang. Ingat tarikh tarikh seperti hari lahir adik beradik, jik tidak mampu membelikan hadiah, ucapan yang baik-baik mendorong kepada sentuhan komunikasi yang baik membawa kepada kebahagiaan keluarga.
4. Buat jadual antara adik beradik untuk kunjung mengunjungi. Dimulakan dengan rumah si sulung sebagai tanda menghormati dan adik beradik seterusnya. Berkongsi hadiah dan makanan adalah terapi kebahagiaan buat sesiapa saja. Hadiah murah-murah pun pasti mengusik sanubari.
#Gaya Hidup #Adik Beradik #Keluarga
;