Highlights
Dapat Duit KWSP Nanti, Jangan ‘Joli’ Sakan Pula Ya! Beringat Dalam Berbelanja Dan Rancang Kewangan Anda.
Memahami kesusahan dan kesukaran rakyat dalam tempoh pandemik ini, menerusi pembentangan Belanjawan 2021 beberapa minggu lalu ada diumumkan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang terjejas sehingga RM9,000 atau RM60,000 dari akaun 1 bergantung kepada terma kelayakan.
Kredit Foto: Google
Untuk rekod, sejak Mac lalu kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP dari akaun 2 Melalui program i-Lestari seramai 4.7 juta rakyat dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 sehingga RM6,000. Kemudian pada 6 November lalu program i-Sinar diperkenalkan. KWSP telah membenarkan 600,000 ahli mengeluarkan RM6,000 dari Akaun 1. Ini kemudian ditambah baik apabila KWSP mengumumkan skop kelayakan diperluaskan kepada dua juta ahli yang aktif kini boleh mengeluarkan sehingga RM9,000 atau RM60,000 dari akaun 1 bergantung kepada terma kelayakan.
Dan seperti yang semua sedia maklum, setelah Menteri Kewangan; Tengku Zafrul Aziz membincangkan bersama pengurusan KWSP dan mengumumkan kepada sidang Dewan Rakyat bahawa program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka. Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan ataupun telah terkurang pendapatan tahun ini. Ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1. Ia juga tidak mengira sama ada ahli yang terjejas bekerja dalam sektor formal atau bekerja sendiri, sama ada ahli aktif mencarum atau tidak. Selagi terjejas pendapatan dengan ketara, boleh mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP. Dari dua juta ahli yang layak sebelum ini, kini i-Sinar dibuka kepada lebih lapan juta ahli.
Kredit Foto: Google
Gunakan Wang Simpanan KWSP Anda Sebaik Mungkin
Sementelah pengumuman ini, pastinya mereka yang terjejas dan terkesan susulan diberhentikan kerja, dipotong gaji, elaun dan sebagainya mula berkira-kira mahu membelanjakan wang tersebut. Apapun yang pasti, disarankan supaya semua agar berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing. Bukan ini masanya untuk berbelanja sakan dengan sejumlah wang besar yang diperoleh. Bukan juga masanya untuk menukar perabot, ‘shopping’ sampai tak ingat dunia, beli barang kemas, ‘upgrade’ gaya hidup dengan membeli kereta baru, telefon bimbit, renovasi rumah serta lain-lain perbelanjaan yang tidak perlu dan tidak penting.
Kredit Foto: Google
Dahulukan Yang Utama
Memandangkan sehingga hari ini, kita tidak boleh kembara ke luar negara, maka seeloknya senaraikan prioriti dengan peruntukan wang tersebut. Misalnya perbelanjaan harian seperti pembelian barang dapur (bahan mentah dan kering), pembiayaan utiliti serta komitmen tetap yang lain seperti sewa rumah, kereta dan sebagainya. Belum dipastikan lagi sama ada tempoh moratorium akan dilanjutkan atau tidak, tetapi sebaiknya langsaikan hutang saban bulan seperti biasa agar tidak terbeban dengan jumlah wang yang lain. Peluang seperti ini tidak datang selalu maka manfaatkan sebaiknya.Kredit Foto: Google
Pastikan Ada Simpanan Kecemasan
Bagi segelintir orang, RM10,000 tidaklah banyak mana. Dalam sekelip mata atau beberapa jam sahaja boleh habis licin wang itu. Jangan cepat 'gelap mata' apabila melihat sejumlah besar dikreditkan dalam akaun simpanan anda. Sebaliknya, uruskan duit simpanan KWSP nanti sebaik mungkin. Jangan lupa peruntukkan sejumlah wang untuk digunakan bagi tujuan kecemasan. Terutamanya pembiayaan atau kos perubatan, kemalangan dan perkara-perkara lain yang diluar jangkaan kita. Tidaklah nanti anda pening kepala memikirkan mana lagi sumber untuk dicari bagi mencukupkan keperluan kewangan ketika diuji masa itu.Must-Watch Video