gaya hidup
Dapat MAID Yang Baik Itu Rezeki. Layan Macam Keluarga Sendiri, Nak Buat Hal Pun Fikir Berkali-kali.
Sejujurnya penulis tidak pernah dibesarkan dari tangan pembantu rumah. Walaupun emak bekerja, tetapi masih boleh urus semua sendiri dengan bantuan arwah nenek yang memang tinggal bersama kami sekeluarga. Namun kini khidmat pembantu rumah bagaikan essential khususnya bagi wanita berkerjaya dan punya anak yang ramai untuk diurus. Perlu diakui, bukan senang nak imbangkan masa dan tugas hakiki menguruskan rumahtangga, makan minum anak-anak, kerja-kerja rumah dan sebagainya. Penat, terkejar-kejar itu sudah pasti. Lantas khidmat pembantu rumah sama ada yang tinggal sebumbung atau datang hari-hari jadi solusi.
Kredit Foto: Google
Rezeki Masing-Masing
Lantaran itu ada yang mengambil khidmat maid bagi membantu melunaskan semua kerja-kerja rumah. Bukanlah menyerahkan bulat-bulat tanpa pemantauan. Tetapi sekadar untuk meringankan beban kerja. Dan bercerita mengenai soal ini, penulis berasakan ia rezeki masing-masing. Mereka bukan ahli keluarga dan ya label orang luar, orang asing sememangnya terpahat dalam ingatan kita. Tetapi andai apa yang mereka tunjukkan itu benar-benar ikhlas, segala kerja dilakukan sehabis baik, mengambil berat dan menyayangi seisi rumah seperti keluarga sendiri; apa salahnya jika kita layani mereka dengan layanan yang sama kan?
Sungguh bukan mudah berhadapan dengan karenah pembantu rumah yang sememangnya kita sedia maklum dengan pelbagai cerita mereka. Yang baik, Alhamdulillah. Yang tak baik tu, faham-faham sajalah ya. Ada yang berpendapat jangan diberi muka kepada mereka, esok lusa kita dipijaknya. Dan pelbagai lagi nasihat yang pernah kita dengari daripada mereka yang punya cerita juga pengalaman hitam bersama maid masing-masing.
Kredit Foto: Google
Ikhtiar Kita?
Bayangkan saja mereka merantau jauh meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi mencari sesuap nasi. Dan hanya ada kita sahaja yang mereka harapkan agar dilayan seperti keluarga sendiri. Baik buruk mereka, sakit demam mereka, semua tergalas dibahu kita. Ingatlah, saat kita membuka pintu buat mereka menjadi sebahagian daripada keluarga, sudah tercatat satu kebaikan untuk kita. Jika baik layanan kita, baik tingkah laku dan adab mereka, harmonilah seisi rumah.
Jika ada kesalahan, silap itu ini tegurlah dengan baik dan penuh hemah. Mereka juga manusia, sama seperti kita yang tidak suci jauh lagi sempurna dalam setiap segi. Perlu ada persefahaman antara majikan dan pembantu rumah. Kerana ada sahaja pembantu rumah yang baik dan dianggap seperti keluarga sendiri bahkan berkhidmat lebih 10 mahupun 20 tahun lamanya.
Ya, itu semua rezeki. Maka ikhtiar kita, berdoalah dikurniakan pembantu rumah yang molek akhlak dan tatasusilanya. Jujur dan amanah dalam setiap pekerjaannya. Dan bagi yang beragama Islam pula, sempurna solat dan ibadahnya. Dan dipihak majikan pula, usahlah bersikap bossy hingga setiap inci diperintah itu dan ini seakan tiada perikemanusiaan, simpati juga belas kasihan. Benar, itu memang kerja mereka. Dan kita bayar khidmat mereka.
Kredit Foto: Google
Selagi mana kerja-kerja mereka dilakukan dengan baik, memenuhi apa yang telah ditetapkan; berlapang dadalah. Dan bagi pembantu rumah pula jangan menyalahgunakan peluang yang diberi majikan. Jangan sesekali mengambil kesempatan atas kebaikan dan layanan majikan. Persefahaman, keserasian dan hubungan baik antara keduanya pasti akan mewujudkan pertalian yang diibaratkan bagai ahli keluarga sendiri. Hinggakan mereka berfikir banyak kali kalau sekalipun mahu bikin onar dimata majikan.
Tanggungjawab dan Hormat
Baik majikan mahupun pembantu rumah, masing-masing perlu memahami peranan sendiri. Ya, ada masa dan ketikanya perlu ada give and take. Tetapi tetap perlu berpada. Masih ada garis sempadan yang perlu dihormati dan difahami antara majikan dan pembantu rumah. Selebihnya sebagai manusia biasa, kita bertawakal pada Yang Esa. Jika panjang ‘jodoh’ kita dengan mereka, syukurlah. Tetapi jika sebaliknya, pasti ada sesuatu yang perlu diperbetulkan antara kedua-duanya.
Lakukan dengan penuh hormat dan rasa tanggungjawab dengan amanah ini. Baik majikan yang perlu menjaga kebajikan pembantu rumah, perlihal yang sama juga buat maid yang perlu menjalankan tugas sebaiknya. Moga harmoni keduanya.