Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Highlights

Dari Kerja Makan Gaji, Kini Berniaga Sendiri – Pernah GAGAL Dan Rugi Dia BANGKIT Selepas Diuji. Moga Murah Rezeki Anak Muda Ini.

Huda Hussain 17/03/2020 | 15:53 MYT
Memiliki perniagaan sendiri walaupun berskala kecil pada usia 30 tahun, Mohd Syahmi Izzat Busra kongsi pengalaman pelbagai pekerjaan yang pernah dilakukannya dahulu. Rencam, mungkin itu istilah sesuai menggambarkan momen jatuh bangunnya dalam dunia pekerjaan. Pernah selesa makan gaji di salah sebuah syarikat ternama dalam bidang gas dan petroleum hingga kini dia nekad memilih berniaga sendiri sebagai punca rezeki.
Kongsikan latar belakang pengajian dan pelbagai lapangan pekerjaan yang pernah diceburi?
Dahulunya saya belajar dalam jurusan Diploma Pengurusan Industri Sukan dari Unisel (Universiti Selangor) Selepas tamat pengajian saya tidak bekerja dalam bidang yang saya pelajari. Sebaliknya saya bekerja sebagai kerani tapak di sebuah syarikat pembinaan (Panzana Sdn Bhd) dan disitulah saya mula bekerja dalam sektor pembinaan pada tahun (2011).
Pada 2012 saya menceburi bidang pengurusan acara (Event Management) dengan salah sebuah syarikat yang dikategorikan terbesar di Perak iaitu Khass Event Management Sdn Bhd. Disini juga saya banyak belajar mengenai selok-belok pengurusan acara dari bawah, merangkumi pelbagai skop. Saya terhutang budi dan berterima kasih kepada pengasas syarikat ini iaitu Hj Khairul Nizam Tan yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang saya bekerja sebagai Event Coordinator.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Kemudian pada 2013 saya beralih arah dan menceburi bidang gas dan petroleum di Sapura Kenchana Sdn Bhd sebagai Pembantu Tadbir merangkap pengurusan Sumber Manusia. Disini juga saya belajar banyak perkara dan membuka mata juga fikiran dalam lebih menghargai dan memahami erti kehidupan. Namun kesenangan dan keselesaan itu tak lama. Tanggal Ogos 2014 Allah menguji saya apabila arwah ayah (Allahyarmah Busra Juki) kembali kepada Sang Pencipta akibat komplikasi pelbagai penyakit. Bagaikan seprauh nyawa saya pergi bersama arwah ayah. Kerana dialah yang sumber dorongan dan kekuatan saya selama ini. Dialah pakar rujuk, dialah guru dan dan dialah segalanya. Dan jujurnya saya akui terus ‘down’ selepas pemergian arwah ayah.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Hinggalah pada 2015 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja daripada Sapura Kenchana. Saya korbankannya demi memikirkan keluarga kerana ketika itu, adik saya mendapat tawaran belajar di Johor. Dan sukarnya apabila saya perlu ulang-alik dari Taiping ke Manjung saban hari dan kadangkala setiap minggu memandangkan ibu tinggal berseorangan. Oleh kerana risau ibu tinggal seorang, saya nekad untuk berhenti kerja walaupun pada mulanya memang berat untuk membuat keputusan ini.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Rentetan itu pada 2015 saya cuba beranikan diri memulakan perniagaan sendiri. Saya menjual air di bazar Ramadan. Dan untuk menarik perhatian ramai, saya namakan setiap air itu berdasarkan tajuk drama popular yang pernah popular di salah sebuah stesen televisyen. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan baik daripada warga Taiping.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Hanyalah selepas musim raya tahun itu, saya terfikir macam mana nak teruskan kehidupan? Dan sudah pastinya perniagaan sudah jadi pilihan utama kerana saya mula seronok dengannya. Kemudian saya terfikir mahu berniaga ayam gunting dan sotong ‘king’. Bagi mencetuskan kelainan, saya ketengahkan menu nasi lemak yang dijual bersama ayam gunting, sotong, sosej dan popcorn chicken. Syukur ia sekali lagi mendapat sambutan pelanggan. Apatah lagi ketika itu, perniagaan saya dan keluarga antara yang terawal menampilkan konsep penghantaran terus ke rumah tanpa sebarang caj atau pesanan minimum. Satu pek nasi lemak ayam gunting pun saya akan hantar kepada pelanggan.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Alhamdulillah perniagaan itu laris dan saya peroleh keuntungan berlipat kali ganda. Seronok sebenarnya berniaga walaupun kecil-kecilan dan hanya buka gerai di hadapan rumah. Sungguhpun begitu, dek kerana kelalaian dan alpanya saya menguruskan perniagaan, tanggal 2018 bisnes terus merudum. Saya dan keluarga kerugian berbelas ribu ringgit. Mungkin kerana saya tak bijak menguruskan kewangan, seronok pegang duit dan akhirnya rugi.
Saya kembali bekerja dalam bidang pengurusan acara, cuba uruskan event, tetapi sekali lagi diduga dengan sepak terajang bidang ini. Saya pernh dikecam, diketepikan, disabotaj dan banyak lagi yang mewarnai coretan sepanjang 2018.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Tapi saya tak duduk diam. Walaupun dirundung kekecewaan, saya cuba jual kuih raya, manga harum manis demi menampung perbelanjaan harian, komitmen lain dan membantu keluarga. Hinggalah pada tahun ini, saya kembali kumpul kekuatan dan semangat berniaga sendiri. Masih mengekalkan perniagaan makanan tapi saya tampilkan kelainan dengan menjual nasi kakwook Yeop yang belum pernah dijual di bandar kecil seperti di Taiping. Saya kumpulkan pesanan, beli bahan mentah, masak sendiri, bungkus dan hantar ke semua lokasi pelanggan. Pendek kata, saya lakukan semua proses dari A hingga Z. Syukur, Alhamdulillah Nasi Kak Wook Yeop laris dan mendapat sambutan menggalakkan.
Pernah berpengalaman dan rasa ‘struggle’ untuk dapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian?
Itulah yang saya rasai pada mulanya. Saya akui memang susah nak dapatkan pekerjaan, nak dapat duit sendiri. Berpuluh temuduga kerja telah saya hadiri. Ada yang dipanggil semula dan ada yang belum sampai rezekinya. Tetapi pada saya, kuncinya adalah usaha, rajin dan perlu ada rasa tanggungjawab untuk membantu keluarga. Pada saya, kami anak muda bukan tidak berusaha tetapi tiada dorongan dan sokongan padu daripada orang sekeliling. Di pihak kerajaan mahupun korporat, ada saja platform disediakan untuk anak muda cuba berniaga. Tetapi berbalik kepada diri kita sendiri sama ada untuk terus berusaha atau meletakkan noktah disitu sahaja.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Belajar aliran lain, kerja pula dalam bidang yang berbeza. Ia sudah menjadi lumrah sekarang kan? Komen Syahmi?
Ya, itulah senarionya sekarang. Selain soal rezeki, pada saya berbalik kepada diri sendiri. Pengalaman saya sendiri, walaupun tamat pengajian Diploma Pengurusan Industri Sukan yang sepatutnya saya bekerja mungkin sebagai guru sukan, pegawai sukan dan lain-lain tetapi kesudahannya bukan itu bidang yang berpihak kepada saya. Kalau kita hanya fikir satu hala sahaja pekerjaan itu, maka takkan ke manalah jawabnya. Jujur saya akui, tiada satu pekerjaan sekalipun ada kaitan dengan apa yang saya belajar. Apa yang ada cuma sebahagian kecil ilmu dari bilik kuliah yang saya praktikkan untuk kelangsungan hidup. Selebihnya, saya belajar bagaimana perlu berdaya kreatif, inovatif dan paling penting tidak boleh terlalu selesa pada tahap itu sahaja. Dan berdasarkan pengalaman bekerja sebelum inilah yang banyak membantu mematangkan fikiran saya. Membentuk pemikiran yang lebih meluas dan dinamik.
Pandangan saya, kepada bakal graduan yang mungkin belum bekerja dalam bidang yang dipelajari sepanjang berada di universiti dahulu cuba teroka cabang dan bidang baru. Jangan hadkan atau fokuskan kepada satu skop sahaja. Lihat saja sekarang ramai anak muda yang jana pendapatan melalui jaringan media sosial dan platform yang seangkatan dengannya. Perlu berani dan kreatif, itu yang perlu difokuskan. Jangan terlalu memilih dan ingatkan diri supaya belajar dari bawah kerana tiada jalan singkat untuk berjaya tanpa melalui kegagalan.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Memandangkan sudah berpengalaman kerja makan gaji dan bekerja sendiri, yang mana lebih sukar dan apa cabarannya?
Kedua-duanya ada cabaran tersendiri dan kesukarannya. Kalau kerja makan gaji misalnya, tak bermakna anda tak boleh berjaya. Tak bermakna anda tak boleh kaya misalnya. Apa yang penting beringat di hari kemudian. Perlu ada simpanan. Begitu juga halnya kalau bekerja sendiri. Teruskan cari ilmu dalam selok-belok menguruskan perniagaan.
Kredit Foto: Syahmi Izzat
Harapan Syahmi selepas ini, adakah mahu teruskan bekerja sendiri atau masih mahu bekerja di pejabat?
Saya mahu teruskan berniaga nasi kak wook yeop dan menjadi impian saya untuk bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti. Dan jika diberi pilihan, saya memilih bekerja sendiri kerana mahu mencabar diri bagaimana menguruskan semua perkara dalam perniagaan. Dari dahulu lagi saya minat berniaga kerana keluarga sebelah arwah ayah majoritinya menceburi bidang perniagaan. Nenek sendiri dahulunya mula berniaga di pasar dan minat yang sama juga bercambah kepada anak-anaknya yang lain, kini mempunyai mini market sendiri.
Justeru berbekalkan sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling terutamanya ibu (Suhayamimi Hj Shahudin) yang banyak memainkan peranan dan membantu saya hingga hari ini, saya berazam mahu terus berjaya dalam bidang ini. Saya tidak pernah menyesal memilih jalan ini walaupun pernah dikecam gara-gara saya berhenti kerja di syarikat minyak dan petroleum suatu masa dahulu. Dan walaupun pernah jatuh, gagal dalam perniagaan dahulu saya bulatkan tekad terus bangkit dan melangkah ke hadapan.
#Berniaga #Inspirasi #Anak Muda
;