Highlights
Dari Langit Biru Kini Ceburi Perniagaan Makanan Dan Kraftangan – Aizamuddin Bangkit Selepas Dua Kali Diuji.
Langit tak selalunya cerah. Sungguhpun begitu Dia menjanjikan habuan bagi hamba-Nya yang terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Begitulah perumpamaan sesuai menggambarkan liku dan ujian yang dihadapi Mohd Aizamuddin Zakry Baharom, bekas kru kapal yang kini berusaha membangunkan perniagaan sendiri. Ternyata ujian pandemik Covid-19 turut membadai kariernya. Namun semua itu disifatkan sebagai kobar semangat untuk dia terus maju melakar kejayaan dalam bidang baru yang diceburinya kini. Bersama InTrend, Aizam berkongsi pengalaman suka duka dan penuh warna sepanjang bergelar kru kapal.
Kredit Foto: Aizamuddin
Pengalaman bekerja sebagai kru kapal, kongsikan?
Saya mula bekerja sebagai anak kapal pada tahun 2011. Mula bekerja di syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad sebelum menyertai Air Asia X Berhad pada tahun 2016. Pengalaman manis bekerja sudah semestinya sama seperti orang lain, iaitu untuk melihat dunia luar. Syukur ke hadrat Ilahi memberi saya peluang untuk mengembara hampir 38 buah negara sepanjang bertugas sebagai anak kapal. Ketika inilah baru mata saya terbuka untuk lebih memahami keadaan dan suasana negara luar sebenarnya yang sangat berbeza dengan apa yang dilihat di kaca televisyen.
Suasana budaya kerja yang berbeza dengan pekerjaan sebelum bergelar anak kapal membuatkan saya makin jatuh cinta dengan kerjaya ini. Walaupun ada pelbagai perspektif negatif daripada orang luar terhadap kerja sebagai anak kapal ini. Pengalaman pahit dan sedih, semestinya peristiwa kehilangan MH370 yang terjadi pada 2014. Saya pernah bekerja dengan beberapa orang anak kapal yang menjadi mangsa sebelum kemalangan itu berlaku. Saya ambil masa hampir dua minggu untuk menerima kenyataan dan ketika itu saya tekad untuk tetap meneruskan kerjaya sebagai anak kapal.
Memang sejak dulu lagi bercita-cita nak bekerja sebagai pramugara atau bagaimana?
Tak pernah terfikir yang saya akan bekerja sebagai seorang pramugara kerana kerjaya ini tidak pernah terlintas sebagai kerjaya impian saya. Pada awal tahun 2011, ketika itu saya bekerja sebagai barista di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Entah bagaimana terfikir untuk pergi ke temuduga di Akademi Malaysia Airlines, Kelana Jaya (ketika itu) hanya sekadar suka-suka dan ingin mencuba nasib tanpa meletakkan sebarang harapan. Syukur saya berjaya diterima setelah melalui temuduga hampir lima peringkat sepanjang satu hari tersebut.
Kredit Foto: Aizamuddin
Kata orang kerja kru kabin nampak gah, terbang ke sana sini. Tapi hakikatnya? Kalau tak keberatan untuk ceritakan?
Bekerja sebagai anak kapal memang nampak glamor. Mungkin juga kerana cara pembawakan diri kru kapal yang sentiasa tampil kemas dalam uniform, cara berkomunikasi dengan orang ramai, dan 'sentiasa' berada di merata dunia membuatkan kerja ini sangat menarik dan tampak mudah. Hakikatnya, tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Selain melakukan servis makanan dan minuman, menjaga keselamatan penumpang di dalam kapal terbang; ada misi utama kami sebagai kru kapal. Untuk itu pelbagai ujian serta peperiksaan terhadap keselamatan kapal serta bantuan kecemasan akan dilakukan sebelum boleh menjadi kru kapal. Kami perlu sentiasa bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk sebarang kes kecemasan yang boleh terjadi didalam kapal sebelum penerbangan sehingga kapal terbang mendarat.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah saya serta rakan-rakan terpaksa bergilir-gilir melakukan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang jemaah umrah semasa penerbangan pulang dari Jeddah ke Kuala Lumpur. Walaupun saya dan rakan-rakan tidak dapat menyelamatkan penumpang itu, ia merupakan satu pengalaman kecemasan yang takkan saya lupa sepanjang bekerja sebagai kru kapal. Selain itu, kru kapal perlu belajar untuk berkorban demi bertugas walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta terutamanya ketika menyambut perayaan penting setiap tahun. Saya hanya sempat menyambut hari raya Aidilfitri tiga kali sepanjang tempoh sembilan tahun bekerja.
Sepanjang tempoh PKP, bagaimana dengan jadual kerja? Apa yang dilakukan sepanjang tempoh itu?
Memandangkan semua penerbangan dibatalkan, jadual penerbangan untuk semua anak kapal diletakkan dalam keadaan siap sedia (standby) dan kemungkinan kami akan diminta untuk lapor bertugas melakukan penerbangan bantuan kemanusiaan.
Kredit Foto: Aizamuddin
Khabarnya Aizam antara kru kabin yang bertuah menjalankan tugas dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19 memuncak. Kalau tak keberatan boleh kongsikan secara terperinci pengalaman ini?
Misi membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Rome, Itali adalah satu kenangan yang paling manis bagi saya sepanjang bergelar kru kapal. Peluang yang diberikan kerajaan dan juga syarikat lama saya, Air Asia X Berhad untuk menjalankan misi ini bersama petugas-petugas kesihatan serta kru kapal yang lain akan saya kenang dan hargai selamanya. Misi yang kami jalankan pada Mac lalu adalah misi kemanusiaan apabila diamanahkan untuk membawa balik rakyat Malaysia yang tinggal di Rome, Itali ke tanah air ketika kes Covid-19 di sana adalah antara yang tertinggi ketika itu.
Misi ini dilakukan kurang dari 24 jam dimana kami berlepas ke Rome, Itali dari Kuala Lumpur dan akan terus terbang balik ke Kuala Lumpur setelah semua penumpang rakyat Malaysia menaiki kapal terbang. Sepanjang tempoh 14 jam perjalanan pulang, kami tidak dibenarkan ke tandas mahupun minum serta makan dengan menyarung sut penuh PPE demi mengelak daripada kemungkinan terkena jangkitan virus Corona.
Kredit Foto: Aizamuddin
Pelbagai perasaan bercampur-baur sepanjang perjalanan kami ke sana. Diselubungi kerisauan, perasaan penuh semangat patriotik dan juga takut kerana bimbang kalau dijangkiti virus. Namun semua itu hilang kerana pasukan kesihatan yang turut sama dalam misi ini juga adalah individu-individu penting yang berpengalaman luas dan sentiasa memberi semangat serta berkongsi segala informasi kesihatan mengenai virus. Dan secara tidak langsung membuatkan kami lebih yakin dan bersedia.
Segala penat lelah dan risau kami beransur hilang setelah selamat mendarat di KLIA, apabila usaha kami membawa pulang rakyat Malaysia dari Itali disambut dengan penuh rasa bangga oleh anggota-anggota Hazmat Bomba dan petugas-petugas kesihatan lain. Kami dikuarantin selama 14 hari dan bersyukur semua yang terlibat dalam misi itu termasuk penumpang yang dibawa pulang bebas daripada jangkitan Covid-19.
Dan ketika dimaklumkan majikan, anda diberhentikan... Apa reaksi ketika itu? Memang dah jangka, bersedia atau macam mana?
Sejak Covid-19 melanda dunia dan mengakibatkan banyak industri mengalami masalah dan terjejas teruk, terutamanya industri pelancongan dan penerbangan; saya sendiri cuba untuk melakukan persediaan lebih awal. Terutama dari segi pendapatan memandangkan kami sudah tidak bekerja sepanjang tempoh PKP dijalankan. Mendapat makluman daripada teman-teman yang bekerja dengan syarikat penerbangan di luar negara terutamanya, ada sesetengah daripada mereka terpaksa diberhentikan kontrak kerja. Secara tidak langsung membuatkan saya lebih bersedia dari segi mental jika saya diberhentikan kerja. Jadi bila saya menerima berita pemberhentian kerja, sekurang-kurangnya saya sudah bersedia sedikit. Walaupun tak dinafikan berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan kerjaya yang amat disayangi. Tapi, apakan daya. Semuanya sudah tertulis. Saya perlu reda menerimanya.
Dengan situasi semasa, kadar pengangguran semakin meningkat. Bukan mudah nak dapat kerja. Apa yang Aizam lakukan?
Datang daripada keluarga yang hampir semuanya berniaga, tidak dinafikan walaupun saya selesa bekerja sebagai kru kapal; minat saya dalam dunia perniagaan membuatkan saya telah menubuhkan syarikat sendiri, Volare Trading Sendirian Berhad pada November 2019. Ketika itu, saya masih lagi bekerja sebagai kru kapal.
Kredit Foto: Aizamuddin
Syarikat saya mengimport barang-barang hasil kraftangan dari Bali ke Malaysia dan juga Jepun. Saya cuma menjalankan perniagaan ini secara sampingan. Seperti sektor perniagaan lain, bisnes ini juga turut mendapat tempias kesan daripada Covid-19 yang melanda dunia ketika ini. Jadi saya tidak dapat bekerja kerana semua penerbangan dibatalkan dan saya juga tidak menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP.
Kredit Foto: Aizamuddin
Ini adalah tempoh yang sangat mencabar dan benar-benar menguji kesabaran saya. Idea untuk memulakan perniagaan menjual ayam bakar Thai sepanjang bulan puasa lalu sebenarnya adalah idea yang tak disangka. Hanya sekadar suka-suka dan ingin mencari pendapatan sampingan sementara keadaan pulih seperti biasa, saya bersama seorang teman yang juga kru penerbangan memulakan perniagaan ayam bakar Thai. Dari hari pertama Ramadan dan masuk hari ketiga, permintaan terhadap ayam bakar Thai yang kami usahakan semakin meningkat dari hari ke hari. Alhamdulillah, perniagaan ayam bakar Thai kami sepanjang tempoh bulan puasa dan juga PKP ini sangat memberansangkan.
Kredit Foto: Aizamuddin
Dan kini, walaupun sudah tidak lagi terbang di langit biru, saya berusaha membangunkan semula perniagaan jualan kraftangan Bali. Syukur, saya baru sahaja membuka sebuah kafe di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai dan akan menjual ayam bakar Thai serta nasi Arab.
Pernah terfikir akan berhadapan dengan situasi sekarang?
Sejujurnya, tak pernah terfikir yang saya akan berhadapan dengan situasi diberhentikan kerja buat kali kedua setelah saya diberhentikan kerja dari MAS pada April 2016. Tapi kali ini saya lebih bersedia dan reda dengan keputusan ini. Jodoh saya untuk terus ‘terbang’ mungkin sudah sampai ke penamatnya. Dan saya sedikit pun tidak pernah rasa menyesal malah bangga diberi peluang untuk menyarung pakaian seragam dua syarikat penerbangan terbaik dalam negara kita.
Harapan dan perancangan selepas ini?
Harapan saya, agar keadaan Covid-19 dalam negara kita pulih secepat yang mungkin. Ia memberi terlalu banyak impak sama ada kepada negara baik dalam sektor ekonomi, sosial serta individu. Saya akan cuba sedaya upaya untuk membangunkan semula perniagaan kraftangan Bali (boleh follow instagram @volare.bags) disamping cuba membesarkan perniagaan kafe makanan.
Kredit Foto: Aizamuddin
Pengalaman saya bekerja sebagai anak kapal akan saya gunakan untuk hari-hari yang mendatang. Kepada rakan-rakan yang masih bekerja, saya ucapkan selamat maju jaya dan berbanggalah dengan kerjaya kita sebagai kru kapal. Kerana kerjaya yang dilakukan kita untuk membawa penumpang dengan penuh selesa dan memastikan keselamatan mereka sepanjang perjalanan adalah satu kerja yang sangat murni.