gaya hidup

Datang, Beri dan Pulang – Tinggalkan Kamera. Tak Dipuji di Dunia, Pasti Ada Ganjaran di Sana.

gempak
Huda Hussain
03/07/2021
14:29 MYT
Sponsor Banner
Datang, Beri dan Pulang – Tinggalkan Kamera. Tak Dipuji di Dunia, Pasti Ada Ganjaran di Sana.
Sejak tularnya kempen Bendera Putih baru-baru ini semakin ramai dalam kalangan kita yang tampil membantu. Ada yang turun padang menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas, ada yang berkongsi nombor akaun untuk bantu mengutip dana, ada yang lakukan usaha secara persendirian dan macam-macam lagi. Memang meriah dan seronok tengok apabila walau ramai yang kesempitan, ramai lagi yang sudi membantu.
Kreditt Foto: Google
Namun dalam pada turun membantu itu, moleklah kiranya si pemberi lebih realistik dan cakna dalam beberapa aspek. Pertamanya, ya ada kewajaran untuk merakam atau muat naik foto waktu sampaikan sumbangan asbab mahu dorong orang ramai agar terinspirasi berbuat perkara sama. Bahkan sememangnya tidak menjadi kesalahan untuk berbuat demikian.
Seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah: 271)
Lebih-lebih lagi jika kita diamanahkan untuk hulurkan bantuan. Dalam erti kata lain, kita sendiri yang secara sukarela mahu bantu tetapi menyeru orang ramai untuk sama menyumbang. Maka adalah perlu bagi mengelakkan fitnah duit yang terkumpul itu benar-benar disalurkan kepada yang memerlukan dipamerkan.
Kreditt Foto: IG Altimet
Sembunyikan Amalan, Hingga Tangan Kiri Tak Tahu Yang Dilakukan Tangan Kanan Tetapi dalam satu sudut lain pula, alangkah indahnya jika sedekah dan bantuan yang diberi itu dilakukan secara senyap-senyap. Tanpa membawa rombongan, kamera atau video untuk merakam detik itu. Ikhlaskan dalam memberi tanpa dicanang semua orang.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungi Allah SWT dalam naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya. Diantaranya, seorang yang mengeluarkan suatu sedekah, tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Kelebihan Sedekah Islam sememangnya menggalakkan umatnya untuk bersedekah. Bahkan amalan ini mempunyai banyak kelebihan antaranya ialah:
Kreditt Foto: Google
  1. Allah SWT Memuliakan Orang Yang Bersedekah
Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan dan balasan kepada mereka yang suka memberi (bersedekah). Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Yang bermaksud: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat al-Bukhari)
  1. Sedekah Dapat Menghapuskan Dosa
Hadis daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat al-Tirmizi) Namun demikian, penghapusan dosa dengan sebab sedekah di sini mestilah disertai dengan taubat atas dosa yang telah dilakukan.
  1. Allah Melipat Gandakan Pahala Kepada Orang Yang Bersedekah
Allah SWT berfirman: Yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah: 261)
  1. Harta Orang Yang Suka Bersedekah Tidak Akan Berkurang
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Yang bermaksud: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim)
  1. Orang Yang Bersedekah Akan Mendapatkan Naungan di Hari Akhirat
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari akhirirat salah satunya adalah: Yang bermaksud: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Riwayat al-Bukhari)
  1. Terdapat Pintu Syurga Yang Hanya Akan Dapat Dimasuki Oleh Orang Yang Bersedekah
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Yang bermaksud: “Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)
  1. Sedekah Menjauhkan Seseorang Dari Api Neraka
Sedekah itu walaupun sedikit, tetapi mampu menjauhkan kita dari api neraka. Semakin banyak sedekah, semakin jauh kita darinya. Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Yang bermaksud: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.” (Riwayat Ahmad)
Sumber: https://efaraid.mais.gov.my/sedekah
Jaga Air Muka Orang Yang Tengah Susah Menjadi tanggungjawab si pemberi juga untuk menghormati dan menjaga air muka si penerima yang sedang dalam kesusahan. Jika sudah ditala dengan lensa kamera, dihulurkan mikrofon untuk berkata sepatah dua, alahai… Pasti tidak senang duduknya. Serba tak kena jadinya. Mana lagi berasa malu walaupun ya kibarkan bendera putih tak perlu rasa malu demi untuk dibantu. Tetapi fikirkan keselesaan mereka waktu itu. Sungguh kita tidak duduk dalam kasut mereka ketika ini, tetapi sekurang-kurangnya fahamilah keadaan mereka. Bukan senang mereka mahu kibarkan kain, baju atau bendera putih. Itu semua dilakukan setelah habis daya memikir demi meneruskan kelangsungan hidup.
Kredit Foto: Facebook Pakar Diari Hati
Sama-samalah bersatu hati dalam mengharungi waktu ini. Allah uji mereka dan kita juga yang masih mampu untuk menghidang makanan di atas meja. Saat membaca pelbagai kisah hidup, pahit getir yang ditempuhi sebahagian besar daripada kita benar-benar menyentak hati, menjentik emosi. Selagi termampu dan terdaya, bantulah. Sedekahlah seikhlasnya. Pasti ada ‘habuan’ untuk kita, kalau tidak di sini tetapi di alam sana.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live