gaya hidup
Datang, Beri dan Pulang – Tinggalkan Kamera. Tak Dipuji di Dunia, Pasti Ada Ganjaran di Sana.
Sejak tularnya kempen Bendera Putih baru-baru ini semakin ramai dalam kalangan kita yang tampil membantu. Ada yang turun padang menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas, ada yang berkongsi nombor akaun untuk bantu mengutip dana, ada yang lakukan usaha secara persendirian dan macam-macam lagi. Memang meriah dan seronok tengok apabila walau ramai yang kesempitan, ramai lagi yang sudi membantu.
Kreditt Foto: Google
Namun dalam pada turun membantu itu, moleklah kiranya si pemberi lebih realistik dan cakna dalam beberapa aspek. Pertamanya, ya ada kewajaran untuk merakam atau muat naik foto waktu sampaikan sumbangan asbab mahu dorong orang ramai agar terinspirasi berbuat perkara sama. Bahkan sememangnya tidak menjadi kesalahan untuk berbuat demikian.
Seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah: 271)
Lebih-lebih lagi jika kita diamanahkan untuk hulurkan bantuan. Dalam erti kata lain, kita sendiri yang secara sukarela mahu bantu tetapi menyeru orang ramai untuk sama menyumbang. Maka adalah perlu bagi mengelakkan fitnah duit yang terkumpul itu benar-benar disalurkan kepada yang memerlukan dipamerkan.
Kreditt Foto: IG Altimet
Sembunyikan Amalan, Hingga Tangan Kiri Tak Tahu Yang Dilakukan Tangan Kanan
Tetapi dalam satu sudut lain pula, alangkah indahnya jika sedekah dan bantuan yang diberi itu dilakukan secara senyap-senyap. Tanpa membawa rombongan, kamera atau video untuk merakam detik itu. Ikhlaskan dalam memberi tanpa dicanang semua orang.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungi Allah SWT dalam naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya. Diantaranya, seorang yang mengeluarkan suatu sedekah, tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Kelebihan Sedekah
Islam sememangnya menggalakkan umatnya untuk bersedekah. Bahkan amalan ini mempunyai banyak kelebihan antaranya ialah:
Kreditt Foto: Google
- Allah SWT Memuliakan Orang Yang Bersedekah
- Sedekah Dapat Menghapuskan Dosa
- Allah Melipat Gandakan Pahala Kepada Orang Yang Bersedekah
- Harta Orang Yang Suka Bersedekah Tidak Akan Berkurang
- Orang Yang Bersedekah Akan Mendapatkan Naungan di Hari Akhirat
- Terdapat Pintu Syurga Yang Hanya Akan Dapat Dimasuki Oleh Orang Yang Bersedekah
- Sedekah Menjauhkan Seseorang Dari Api Neraka
Sumber: https://efaraid.mais.gov.my/sedekah
Jaga Air Muka Orang Yang Tengah Susah
Menjadi tanggungjawab si pemberi juga untuk menghormati dan menjaga air muka si penerima yang sedang dalam kesusahan. Jika sudah ditala dengan lensa kamera, dihulurkan mikrofon untuk berkata sepatah dua, alahai… Pasti tidak senang duduknya. Serba tak kena jadinya. Mana lagi berasa malu walaupun ya kibarkan bendera putih tak perlu rasa malu demi untuk dibantu. Tetapi fikirkan keselesaan mereka waktu itu. Sungguh kita tidak duduk dalam kasut mereka ketika ini, tetapi sekurang-kurangnya fahamilah keadaan mereka. Bukan senang mereka mahu kibarkan kain, baju atau bendera putih. Itu semua dilakukan setelah habis daya memikir demi meneruskan kelangsungan hidup.
Kredit Foto: Facebook Pakar Diari Hati
Sama-samalah bersatu hati dalam mengharungi waktu ini. Allah uji mereka dan kita juga yang masih mampu untuk menghidang makanan di atas meja. Saat membaca pelbagai kisah hidup, pahit getir yang ditempuhi sebahagian besar daripada kita benar-benar menyentak hati, menjentik emosi. Selagi termampu dan terdaya, bantulah. Sedekahlah seikhlasnya. Pasti ada ‘habuan’ untuk kita, kalau tidak di sini tetapi di alam sana.