Highlights
Depan Cakap Lain, Belakang Lain. Hati-Hati Orang MULUT MANIS, Bagai Gula; Sedap Tapi Bawa Penyakit.
Hidup kita dikelilingi dengan pelbagai jenis ragam manusia. Sukar untuk diterjemahkan karekter seseorang itu baik atau buruknya walau sudah lama saling mengenali. Sedangkan sesama ahli keluarga yang membesar bersama pun, masih ada calar-balar di sana ini, inikan pula bagi orang yang baru dikenali sehari dua.
Kita tidak tahu bagaimana ikhlas atau palsunya seseorang itu apabila di depan kita? Selalu terjadi diri tertipu dek mulut manis yang menghambur kata-kata syahdu demi kepentingan dirinya. Hakikat, di belakang kita, lain pula jadinya. Apa yang dituturkan di depan muka kita, jadi sebaliknya apabila dia bercakap pula dengan orang lain. Memang menyakitkan!
Kredit Foto: Google
Madah Berhelah, Banyak Yang Salah
Kebiasaan orang yang mempunyai sikap bermulut manis di depan dan berdusta di belakang adalah orang yang mahu dilihat baik di hadapan masyarakat. Maka, dia tidak takut dosa kepada Tuhan dan dengan orang yang terpedaya itu hanya kerana dosanya itu tidak terlihat dek mata kasar. Apa pun tujuannya, ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.
Sekiranya orang yang terpedaya itu tidak reda dengan apa yang telah dilakukukan, maka tetap namanya dosa. Apatah lagi jika orang tersebut tertipu dan rasa dikhianati. Ia bukan cara yang betul untuk mencapai sesuatu hajat apabila ia dilakukan dengan cara yang tidak tertib dan menyinggung perasaan orang lain.
Kredit Foto: Google
Hati-Hati Mereka Bermuka Dua
Dari Abu Hurairah RA dan sanadnya sampai kepada Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan kepada golongan yang lain dengan muka yang lain.” (HR Ahmad No: 7039) Status: Hadis Sahih.
Mereka ini tidak berasa bersalah malah gembira apabila segala hajat tercapai walau terpaksa bermuka-muka, menyorokkan kebenaran dan melihat kejatuhan orang lain secara tersembunyi. Jika sekali sudah terkena, berhati-hatilah di kemudian hari. Jangan dimusuhi mereka, sebaliknya nasihati perlahan-lahan.
Namun, jika kamu tidak berupaya untuk mengubah indvidu itu, cukuplah dengan mengelak daripada terkena lagi. Bercakap hanya yang perlu sahaja dengan orang sebegini. Usah dimenangkan segala apa yang diceritakan dan jangan didebatkan tanpa usul periksa. Kita tidak tahu dengan orang lain, apa pula ceritanya?
Doakan orang-orang seperti ini diberikan hidayah dan pengajaran agar tidak terus memecah-belahkan masyarakat. Sesungguhnya, orang sebegini lebih bahaya berbanding musuh yang nampak jelas di depan mata. Jika boleh dihindari, jauhkan sahaja. Semoga mereka ini kembali ke pangkal jalan dan kita semua diindungi dari godaan dunia.
Kredit Foto: Google