Oleh: Norhaizan Ahmad

NAMANYA mungkin tidak semasyhur Fasha Sandha yang hampir 16 tahun bergelar pelakon, tetapi daripada segi kecantikan, Elisya Sandha setanding. Wajah segar yang menyinari dunia lakonan tempatan ini kecil molek orangnya, berbeza dengan Fasha yang tinggi lampai.

Menyarung gaun sontok rona hitam, Elisya muncul di muka pintu studio pagi itu sebelum jarum jam menunjukkan angka 10.00 pagi, lebih awal daripada masa yang team InTrend janjikan. Ya, bab menepati masa Elisya cukup disiplin sama seperti kakaknya yang terkenal dengan sikap terpuji ini sejak melibatkan diri dalam dunia seni. Moga disiplin ini sebati dalam diri Elisya sampai bila-bila.

Dan pada usia yang masih muda, Elisya Sandha, 19, bertekad untuk berdikari demi kerjaya yang diceburi. Justeru, apabila ibu yang menjadi pengurusnya selama ini terpaksa berehat disebabkan masalah kesihatan, dia gigih datang sendirian ke studio.

Kerana inilah masa untuk dirinya belajar berdikari dan membuktikan dia mampu mencipta nama sendiri tanpa perlu menumpang populariti Fasha Sandha. Jom, kita kenali gadis muda ini.

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Siapa Elisya Sanda? Kongsikan serba sedikit mengenai diri anda dengan pembaca InTrend?

Hello InTrenders, selamat berkenalan! Elisya adalah bakat baru dalam dunia lakonan tempatan. Mula berlakon secara serius pada tahun lepas, maka 2018 adalah tahun kedua Elisya bergiat dalam bidang ini.

Jadi tidak banyak produk yang memaparkan lakonan Elisya. Pun begitu, ketika zaman sekolah, Elisya ada juga melibatkan diri dengan berlakon drama tetapi tidak serius memandangkan mahu fokus pada pelajaran. Sebaik tamat sekolah barulah Elisya aktif berlakon.

Minat Elisya menjurus kepada bidang lakonan. Adakah Elisya memang benar-benar berbakat atau terpengaruh dengan penglibatan Fasha Sandha dalam bidang ini?

Sejujurnya Elisya akui minat untuk berlakon berbenih dalam jiwa ini disebabkan oleh Fasha Sanda. seawal usia lima tahun Elisya sudah melihat lakonan kakak di kaca televisyen dan layar lebar. Dan sejak usia tujuh tahun, Fasha selalu bawa Elisya ke set penggambaran. Jadi dari hari ke hari, banyak yang Elisya belajar.

Dari situ, timbul minat untuk berlakon. Cuma masa itu terpaksa pendam keinginan disebabkan masih bersekolah. Dek kerana minat berlakon jugalah setiap kali cuti penggal persekolahan, Elisya lebih rela ikut kakak ke set penggambaran Masakan tidak jatuh cinta pada dunia lakonan kerana berbanding pergi bercuti, hahaha…

Bila kali pertama menerima tawaran berlakon?

Ketika berada di tingkatan tiga, Elisya mendapat tawaran berlakon untuk drama bersiri, ‘Chacha Masuk Asrama’. Itulah drama lakonan Elisya yang pertama.

Bagaimana Elisya memantapkan lagi mutu lakonan? Pernah menghadiri kelas lakonan?

Mungkin juga bakat lakonan yang ada pada Elisya secara semula jadi sementelahan sejak kecil selalu lihat kakak berlakon. Kadang-kadang kakak berlatih di rumah, jadi Elisya sudah terbiasa melihatnya berlakon.

Tetapi untuk memantapkan lagi mutu lakonan, Elisya menghadiri kelas lakonan di bawah bimbingan Zul Huzaimy yang juga pelakon senior dan kini pengarah. Banyak yang Elisya belajar demi memperbaiki kelemahan, sekali gus membangkitkan semangat untuk memberikan lakonan yang terbaik dan meningkatkan keyakinan diri Elisya.

Selain berlakon, apakah bakat yang Elisya miliki?

Elisya juga boleh menari. Kumpulan kami pernah menyertai pertandingan tarian iaitu ‘Superstar’ anjuran Astro Ceria. Kami tersingkir pada peringkat suku akhir. Tidak ada rezeki. Ketika itu Elisya berusia 14 tahun.

Selain itu, pernah menyertai kumpulan nyanyian Nova Nona yang dianggotai oleh empat orang yang terdiri daripada kawan-kawan sekolah ketika di tingkatan satu. Masih terlalu muda, ingatkan adalah bakat menyanyi, rupa-rupanya setelah mencuba barulah sedar bahawa bakat menyanyi tidak ada dalam diri Elisya.

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Sejak dari awal penglibatan dalam bidang seni, kerjaya Elisya diuruskan oleh Mama. Apakah pro dan kons apabila ibu sendiri menjadi pengurus? Komen?

Ya, kerjaya Elisya berkembang atas bantuan Mama yang menguruskan perjalanan seni dari hari pertamaElisya menceburkan diri dalam bidang ini. Memang ada pro dan kons apabila Mama menjadi pengurus. Untungnya ia memudahkan kami mengatur jadual kerja kerana boleh berbincang hal kerja di rumah.

Jika orang luar, Elisya terpaksa berjumpa atau berbincang menerusi telefon semata-mata untuk menyusun jadual kerja. Cuma kekurangannya kerana Mama bukan orang industri, jadi banyak selok-belok dan sepak terajang dalam industri bukan kepakarannya. Bermula tahun ini, Mama mahu Elisya belajar berdikari. Ini kerana Mama mengambil keputusan berehat sebagai pengurus Elisya disebabkan faktor kesihatan.

Baru-baru ini Mama menjalani pembedahan pada kaki yang berpunca daripada pergeselan antara tulang paha dan tulang betis. Ini menyebabkan Mama tidak boleh berdiri lama. Yang sedihnya selepas dua hari Mama menjalani pembedahan, Elisya bertolak ke Johor dan Fasha ke Kemboja atas urusan kerja. Rasa berat nak tinggalkan Mama. Buat masa ini Elisya bergerak sendiri.

Bukan tidak mahu ambil pengurus, cuma masih dalam pencarian. Maklumlah kita kenalah tahu latar belakang individu yang mahu bekerja dengan kita, kan? Setakat hari ini ada beberapa individu yang berminat untuk menguruskan kerjaya Elisya. Kita tunggu dan lihat ya.

Anak bongsu selalu bersifat manja dengan ahli keluarga yang lain. Bagaimana hubungan Elisya dan Fasha sejak zaman kanak-kanak?

Elisya memang terkenal sangat manja dalam kalangan adik-beradik. kami rapat, lebih-lebih lagi dengan Fasha sebab kami sama-sama perempuan. Namun ada kalanya Fasha suka buli Elisya masa kecil-kecil dulu. Biasalah adik beradik gaduh-gaduh manja, bermasam muka. Walau apa pun yang dihadapi hubungan kami sentiasa baik dan mendokong antara satu sama lain hinggalah ke hari ini.

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Bila kalian bergaduh, siapa yang akan mengalah dan meminta maaf?

Sebagai adik sudah tentu Elisya banyak mengalah dan menjadi orang pertama yang minta maaf. Fasha pula ada egonya sendiri,maklumlah dia kakak, kan? Dan alhamdulillah, Elisya jenis yang senang nak minta maaf dengan orang,manakala Fasha juga jenis yang mudah memaafkan. Biasalah siang gaduh, malam dah boleh bergelak tawa bersama. Inilah drama anak-anak kecil, hahaha…

Fasha Sandha di mata Elisya?

Sejujurnya Fasha Sandha adalah suri teladan dan idola kepada Elisya. Elisya kagum dengan kesungguhan kakak dalam memajukan diri.Sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam dunia seni, Fasha tidak memiliki apa-apa. Walau tanpa diploma ataupun ijazah, Fasha membuktikan kerja keras dan kesungguhan menjadikan dia kini antara pelakon danusahawan yang Berjaya.

Fasha Sandha sudah menetapkan standard yang tinggi menerusi pencapaian terbaik dalam bidang seni. Sebagai bakat muda, Elisya tidak bimbang dibayangi kejayaan kakak sendiri?

Tidak sekali-kali rasa bimbang dengan kejayaan yang dicapai oleh Fasha. Malah ia membakar lagi semangat Elisya untuk berjaya dalam bidang seni. Elisya kenal dunia lakonan pun atas galakannya. Apabila sama-sama terlibat dalam dunia seni, tidak terfikir untuk mencaras antara satu sama lain kerana untuk berjaya, kami perlu saling mendokong.

Pernah berlakon bersama Fasha? Komen?

Filem pertama hasil lakonan kami adalah ‘Anak Mami Nasi Kandar’ yang diarahkan oleh Dato’ Prof. Razak Mohidin. Memang teruja sangatlah dapat berlakon sekali dengan kakak. Pengalaman itu sangat bagus kerana banyak perkara mengenai lakonan yang Fasha ajarkan kepada Elisya. Dan yang terkini, kami terlibat dalam filem ‘Badang’ yang turut mengetengahkan bakat lakonan Dato’ Aliff Syukri. Jangan lupa tonton filem ini ya!

Elisya dikatakan tidak mahu menumpang populariti Fasha. Kenapa? Bagaimana mahu mendapat tawaran yang baik jika tiada ‘orang dalam’?

Elisya lebih suka untuk belajar dari bawah. Bawa watak pembantu dulu kemudian second lead. Jika perlu memegang watak heroin, Elisya mahu casting dahulu dan bukannya sebab Elisya ini adik Fasha Sandha maka watak utama berada dalam genggaman.

Jika menerusi casting tersebut Elisya layak memegang watak heroin barulah Elisya terima job tersebut. Elisya mahu membina nama atas usaha sendiri, bukan menumpang populariti sesiapa atau menggunakan ‘orang dalam’.

Banyak pengarah berkaliber di Malaysia, kenapa Elisya memilih untuk berlakon di bawah arahan Along Kamaluddin?

Memang ramai pengarah di luar sana yang cukup berbakat tetapi Elisya memilih Along Kamaluddin kerana melalui permerhatian Elisya ketika mengikuti Fasha berlakon di bawah arahannya, Elisya sangat tertarik dengan cara dia memberi tunjuk ajar kepada pelakon-pelakon di bawah arahannya.

Elisya yang sekadar menemankan kakak pun boleh faham sekali gus mendapat ilmunya, apatah lagi jika kita sendiri yang berlakon di bawah arahannya. Elisya pernah dapat tawaran berlakon drama arahan Along Kamaluddin namun tidak ada rezeki kerana sudah terikat dengan penggambaran sitkom bersama Fasha. Terpaksa tolak tawaran tersebut dengan berat hati kerana itulah yang Elisya mahukan selama menceburi bidang lakonan.

Yang belum puas dalam lakonan?

Tahun ini baru tahun kedua berlakon secara serius, jadi banyak karakter yang Elisya belum berpeluang menjiwainya. Setakat ini hanya memegang watak yang biasa-biasa misalnya wanita yang kena culik dan gadis happy go lucky.

So memang kepuasan itu belum 100 peratus tercapai. Masih banyak lagi watak yang perlu dicuba. Kalau boleh mahu bawa watak yang lebih berat seperti wanita psiko atau perempuan yang kehilangan emak.

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Sebagai pelakon, apakah anugerah yang menjadi idaman Elisya untuk berada dalam genggaman suatu hari nanti?

Sejujurnya Elisya mendambakan Anugerah Skrin untuk Pelakon Wanita Terbaik. Insya-Allah, kalau ada rezeki, siapa tahu, kan? Kenapa Elisya memilih anugerah ini adalah kerana ia 100 peratus pilihan juri.

Elisya kurang percaya dengan anugerah yang bersandarkan pada undian peminat. Entahlah itu hak masing-masing untuk menilaikannya. Lagi pun Elisya mahu kualiti lakonan itu dinilai oleh mereka yang arif dalam bidang ini.

Elisya Sandha lima tahun dari sekarang?

Buat masa sekarang Elisya mahu fokus kepada kerjaya. Nak cakap banyak pun Elisya masih ‘hijau’ dalam arena ini. Jadi apa yang boleh Elisya katakan adalah mahu maju ke depan, selain mencuba untuk menjadi pelakon yang lebih versatil.

Okey, untuk lima tahun akan datang, ini adalah angan-angan Elisya saja tau, hahaha… Sebab kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Insya- Allah dengan usaha yang dilakukan dalam tempoh lima tahun lagi Elisya mahu menjadi individu seperti Fasha Sanda yang berjaya atas kerja keras.

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Dewasa ini golongan selebriti menggunakan Instagram sebagai platform untuk ‘menjual’ nama dan bakat masing-masing. Komen?

Masa zaman Fasha dahulu, semuanya bergantung kepada surat khabar dan majalah untuk mempromosikan diri. Tetapi kini jumlah followers Instagram dijadikan kayu pengukur kejayaan seseorang selebriti itu. Elisya setuju dengan pendapat yang mengatakan Instagram dijadikan platform untuk menjual nama.

Justeru, Elisya turut aktif di media sosial ini kerana peminat mahu melihat aktiviti kita menerusi muat naik di Instagram. Jadi mahu atau tidak, seseorang artis itu perlu ada akaun Instagram. Namun Elisya pernah ada pengalaman sedih apabila Instagram terdahulu kena godam.

Memang kecewa sangat kerana itu adalah hasil usaha Elisya selama ini. Susah payah kita kumpul followers, bila dah banyak bilangannya, senangsenang orang hack.

Sebagai artis, kalian juga perlu ada ‘mata’ tentang fesyen. Bagaimana dengan Elisya? Apakah ‘look’ yang digemari?

Elisya lebih gemarkan gaya yang ringkas, more is less. Misalnya sekadar menggayakan kemeja-T dengan jeans sebab Elisya yakin penampilan sebegini adalah trend yang malar segar. Sekadar menyarung jeans ada kalanya ia terlihat classy.

Namun untuk acara karpet merah, Elisya gemar menggayakan rekaan Rizman Ruzaini. Sebab dari kecil memang dah kenal dengan jenama ini, memang beranganlah nak sarungkan busana rekaan mereka suatu hari nanti, hahaha…

Dan alhamdulillah, baru baru ini Elisya dijemput ke majlis ‘The Wedding KL’ dan berpeluang menyarung busana rekaan Rizman Ruzaini buat kali pertama. Sangat teruja.

Ikon fesyen?

Ikon fesyen pilihan Elisya adalah Neelofa dan Fazura kerana mereka ada stail yang tersendiri. Memang suka lihat gaya mereka.

Apabila keluar bersama ahli keluarga, khalayak memberi lebih tumpuan kepada Fasha, bukan? Apa perasaan Elisya? Cemburu?

Masa kecil dulu Elisya rasa happy setiap kali melihat para peminat mengerumuni Fasha kala kami berpergian. Apabila sudah masuk ke dalam industri ini, perasaan itu tetap sama. Tidak pernah sekali rasa cemburu dengan perhatian yang diraih oleh Fasha.

Kejayaan Fasha adalah kejayaan kami sekeluarga. I’m happy for her. Kalau ada peminat nak bergambar dengan Fasha, Elisya selalunya yang menawarkan diri untuk ambil gambar untuknya

Lima perkara orang tidak tahu fasal Elisya?

Elisya kuat merajuk. Tidak pandai meluahkan perasaan. Kuat makan sebab Elisya peminat makanan terutama nasi kandar. Kuat tidur. Individu yang friendly tetapi orang selalu berprasangka Elisya jenis yang sombong.

Kriteria lelaki idaman?

Elisya muda lagi, belum fikir fasal jodoh. Apa pun sudah tentu Elisya mahukan lelaki budiman, pandai ambil hati, kena sabar dengan perangai Elisya yang kuat merajuk ni, hehehe...

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Hubungan Elisya dengan anak-anak buah iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima. Rapat?

Memang rapat. Rasa macam Elisya yang ada anak pulak, hahaha… Kalau balik rumah je, budak berdua ni yang Elisya hadap dulu. Memang best ada anak saudara yang keletah ini. Mereka panggi Elisya dengan panggilan Acu. I love them so much. Jika tiada aktiviti seni memang Elisya luangkan masa bermain sama mereka dan suka belikan mereka permainan.

Pesanan pertama Fasha apabila Elisya menceburkan diri dalam bidang lakonan?

Fasha banyak berikan pesanan antaranya dia bilang, banyak benda yang akan buat kita rasa down. Apa yang penting adalah untuk terus kuat walau apa jua cabarannya, jangan sesekali rasa down. Namun yang paling utama adalah bab disiplin. Pesan Fasha, “Jangan sesekali malukan I bab disiplin ni ya!”

Jatuh bangun Fasha Sanda dalam bidang seni dan dunia percintaannya. Apa yang Elisya belajar daripadanya?

Sepanjang lebih sedekad menceburi bidang seni sudah pasti laluannya tidak mudah buat Fasha. Kisah jatuh bangun dalam karier dan kehidupan cinta banyak mematangkannya. Sebagai adik, Elisya banyak belajar daripada kisah itu. Diakui Fasha adalah seorang wanita berjiwa kental.

Apabila berdepan masalah, walaupun dia berada di rumah, dia tidak menangis. Dia cuba tampil ceria sehabis boleh. Pernah juga terfikir, kalau Elisya berada di tempat dia, mesti rasa sedih, kan? Jadi, semuanya Elisya jadikan iktibar.

A post shared by ONE N ONLY ELISYA (new acc) (@elisyasandhaofficial) on

Fasha Sandha juga dikenali sebagai ‘fashion girl’. Malah hingga ke hari ini Fasha kekal akrab dengan dunia fesyen dan kecantikan. Bagaimana dengan Elisya?

Elisya memang observe Fasha punya cita rasa fesyen dari dulu. Dia memang pandai bergaya, malah berani menyarungkan singlet ketika muda. Mungkin Elisya tidak seberani Fasha keluar dengan menggayakan singlet. Nanti kena kecam.

Apa beza Fasha Sanda dan Elisya Sandha?

Fasha terlalu fokus dan tegas apabila berurusan dengan kerja. Bagi Elisya pula, I go with the flow. Elisya juga jenis yang soft spoken. Itu yang membezakan kami berdua.