Highlights

Disebabkan Giliran Balik Kampung Tahun Ini Terbatal, Tahun Depan Giliran Kampung Siapa? Bincang Baik-Baik Ya!

gempak
Huda Hussain
07/05/2020
13:56 MYT
Sponsor Banner
Disebabkan Giliran Balik Kampung Tahun Ini Terbatal, Tahun Depan Giliran Kampung Siapa? Bincang Baik-Baik Ya!
Bagi pasangan suami isteri, soal giliran balik kampung beraya pasti jadi agenda utama. Lebih-lebih lagi yang sudah punya anak, pastinya keterujaan untuk beraya berganda. Tak sabar rasanya mahu sedondon sekeluarga, bermaafan dan tidak lupa merakamkan potret keluarga ada pagi 1 Syawal.
Kredit Foto: Google
Rentas Negeri dan Balik Kampung Beraya Tak Dibenarkan
Namun semua itu bakal berubah wajah untuk tahun ini. Ya, harapnya untuk tahun ini sahaja kita beraya dalam suasana yang serba-serbi ada hadnya. Rentas negeri tidak dibenarkan, begitu juga dengan rentas daerah kerana ia masih disenaraikan dalam perkara yang dilarang. Sungguhpun kerajaan membenarkan pergerakan tanpa had masa antara daerah, namun kunjungan dan ziarah sempena hari raya tetap tidak dibenarkan.
Maka, sememangnya kita beraya dalam rumah saja. Mendengar perkhabaran bahawa balik kampung untuk menyambut Aidilfitri tidak dibenarkan, wajah Ayu masam mencuka. Badri pula mendiamkan diri. Tiba-tiba anak mereka bersuara, “Tak boleh balik kampung nenek ke tahun ni?” dan tidak semena-mena terdengar bait-bait lagu raya ‘Dalam dingin subuh hatiku terusik, kenang nasib diri di rantauan…’ Bergenang sudah air mata Ayu memikirkan tidak dapat balik raya tahun ini.
Tidak lama kemudian Badri pula berkata, “Nak buat macam mana. Kita beraya dalam rumah saja. Jimat duit papa,” Ayu masih lagi membisu. Terbayang-bayang kenangan menyambut raya di kampungnya. Lazimnya mereka akan pulang ke Jitra, Kedah tiga hari lebih awal sebelum hari raya. Adik-beradik ramai 12 orang semuanya dan syukur Allah masih lanjutkan usia kedua ibu bapa; maka sambutan hari raya sememangnya menjadi acara paling dinanti setiap tahun.
Berbeza pula dengan Badri yang punya empat beradik, nun di Masjid Tanah, Melaka. Hanya dia seorang sahaja yang tinggal di ibu kota manakala adik-adik yang lain tinggal tidak jauh dari rumah ibunya. Kepulangannya beraya setiap tahun sememangnya ditunggu dan disambut keluarga dengan penuh keceriaan. Bukannya jarang balik kampung, tapi yalah suasana balik beraya lebih terasa kemeriahannya. Dan sepatutnya tahun ini giliran beraya di kampung Badri.
Kredit Foto: Google
Bermulalah Perebutan Dan Siri Pergaduhan Balik Kampung Siapa
“Eh kejap… Patutnya tahun ini raya di kampung abang. Tapi…” belum sempat dia menyambung hujah, sepantas kilat Zara berkata, “Tahun depan apa-apa jadi pun tetap kena balik Jitra. Sebab giliran raya rumah mak abah okey,” seakan-akan memberi amaran kepada Badri.
“Eh, mana boleh kira macam tu? Dah tak raya kampung abang tahun ni, kena gantilah raya rumah emak pula tahun depan,” terangnya dengan penuh yakin. Dan anak-anak mereka, sekejap toleh ke kiri, sekejap toleh ke kanan. Melihat siri ‘perebutan’ balas antara kedua ibu bapa.
“Kita ikut aje giliran macam biasa. Dah memang tahun ini beraya kampung abang kan. Jadi tahun depan raya kampung sayalah pula. Baru adil. Betul tak kakak, abang?” ulasnya seakan meraih sokongan anak-anak. Namun dua beradik itu tetap tidak memberi maklum balas.
Dan berlanjutan lagi siri perebutan dan pergaduhan kecil ini sehingga selepas berbuka puasa. Baik Ayu dan Badri, kedua-duanya membentangkan hujah dan cuba memberi alasan logik masing-masing. Hinggalah anak mereka bersuara, “Okey, apa kata mama papa doa banyak-banyak. Tanya Tuhan siapa boleh kampung siapa tahun depan,” ujar Mohsin, anak sulung mereka yang berusia lapan tahun. Memang bernas cadangannya hingga Ayu dan Badri terdiam seketika sambil memandang antara satu sama lain.
Kredit Foto: Google
Akhirnya Si Suami Beralah
Begitulah hendaknya. Jika tiada jalan terbaik dan penyelesaian ditemui dan disepakati, maka pilihan yang ada adalah muhasabah dan mengadu kepada Allah. Dan beberapa hari selepas itu, Badri mengusulkan agar tahun depan mereka tetap mengikut giliran beraya di Jitra. “Okeylah, abang beralah. Lagipun KL – Jitra lagi jauh kalau nak bandingkan balik Melaka. Tapi dengan syarat, raya ketiga kita balik kampung abang pula ya” lantas disambut dengan wajah ceria Ayu yang sudah berhari-hari monyok saja.
Apa Solusi Tak Dapat Balik Kampung Tahun Ini?
  1. Sabar Dan Bincang Elok-Elok
Sentiasalah berbincang dengan baik sesama suami isteri untuk merungkai isu ini. Mungkin bagi segelintir orang soal balik kampung tidaklah sebesar mana. Tetapi bagi yang lain, ia adalah isu besar kerana peluang beraya bersama ibu bapa dan ahli keluarga walau sama saja rutinnya, tetapi momen yang dirasai setiap tahun pasti berbeza. Jadi, cuba berdiskusi dalam keadaan tenang dan mengambil kira kepentingan pihak suami dan isteri.
Kredit Foto: Google
  1. Manfaatkan Teknologi
Video call menerusi aplikasi WhatsApp, Zoom, Houseparty dan pelbagai jenis aplikasi boleh digunakan untuk kekal berhubung dengan keluarga di kampung. Walau tak mampu bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, namun inilah yang mampu kita lakukan. Besar pengorbanan kita bagi memastikan kita menang memerangi penularan Covid-19 ini. Insya-Allah berkat kesabaran dan pengorbanan kita pasti membuahkan hasil.
  1. Media Sosial dan Telefon
Kalau mahukan kelainan, apa kata muncul ‘Live’ di Facebook atau Instagram bersama keluarga di kampung. Barulah rare, hahaha… Atau paling tidakpun, telefon saja emak ayah di kampung. Dapat dengar suara pun jadilah kan melepas rindu. Apa yang penting, bersyukur selagi dikurniakan kedua ibu bapa dan berpeluang beraya bersama mereka.
Kredit Foto: Google
Bukan keluarga kita sahaja yang tak dapat balik beraya dikampung. Satu Malaysia pun turut sama berkorban tak balik kampung tahun ini. Tidak mengapalah andai ini yang terbaik untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kita terjaga. Apa yang penting pastikan penjarakan sosial dipatuhi dan segala amalan seperti mencuci tangan, memakai penutup muka dan hidung jika mahu keluar dan amalan penjagaan diri lain terus diikuti. Insya-Allah, tahun hadapan kita gantikan kemeriahan sambutan raya dengan penuh kesyukuran kepada-Nya. Doakan yang terbaik buat negara kita okey!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live