Highlights
DOA Untuk Suami, Isteri Dan Ibu Bapa – Semoga Kasih Sayang dan Cinta Pada Mereka Sentiasa Dalam Pelukan RahmatNYA
Entah dari mana harus dimulakan. Biarpun tiada pertalian darah, namun pemergian dua insan disayangi ramai yang hanya berselang sembilan hari benar-benar mengesankan semua.
Betapa syarat mati itu tidak berpaksi kepada usia, lelaki atau wanita, tua atau muda, sihat mahupun sakit. Saat Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk mengambil nyawa kita, takkan terlewat mahupun cepat. Kun faya kun, maka pulanglah kita bertemuNya.
Tinggallah segala yang ada di dunia. Ibu bapa, adik-beradik, suami atau isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat handai dan seluruhnya. Hanya berbekal amal ibadat, sedekah jariah dan iringan doa menemani saat penghijrahan di alam sana.
Sama ada bersedia atau tidak, janji Allah itu muktamad. Renungi sejenak apa yang sudah kita perbuat kala ini. Selagi masih diberi ruang, peluang dan masa maka berbuat baiklah hendaknya. Beramal solehlah semahunya.
Dan sekecil-kecil amalan yang bisa kita lakukan adalah dengan menadah tangan dan berdoa. Dalam senang mahupun susah, bermunajatlah pada-Nya. Merintihlah dan pintalah kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah berfirman, “Dan apabila bamba-bamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat.
Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Al-Baqarah, 186
Berikut disenaraikan beberapa bingkisan doa yang boleh diamalkan sebagai tanda ingatan kita buat yang tersayang.
Doa untuk Ibu Bapa
Allahummaghfirlii waliwaalidayya warham humma kamaa rabbayaa nii shaghiiraa
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan kedua orang tuaku (Ibu dan Bapakku), sayangilah mereka seperti mereka menyayangiku diwaktu kecil"
“Wahai Tuhanku, Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.” (Nuh, 28)
Kredit foto: Google
Doa Isteri Untuk Suami
- Ya Allah, Tuhan yang memiliki kasih sayang dan rahmat yang sungguh luas, limpahkanlah kasih sayang di antara kami berdua di dunia dan juga di Syurga-Mu.
- Ya Allah, anugerahkanlah suamiku balasan yang sebaik-baiknya kerana membimbingku ke jalan-Mu dan pahala yang besar atas kasih sayangnya yang melimpah-ruah ke atas ku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
- Jika suamiku adalah yang terbaik buatku, maka, jauhilah aku daripada melakukan perbuatan dan kata-kata yang boleh menyinggung perasaannya. Dan permudahkanlah urusannya dalam membimbing keluargaku agar kami semua memperoleh rahmat dan keberkatan dari Mu ya Allah.
- Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusan suamiku dalam mencari rezeki untuk keluarga kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Rezeki.
- Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah dan Yang Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang. Berikanlah aku kekayaan harta yang Engkau halalkan dan bukan yang Engkau haramkan, berikanlah aku kelebihan dengan berkat kurniaan-Mu.
- Ya Allah, lindungilah suamiku tidak kira di mana dia berada. Dan permudahkanlah segala urusannya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Kredit foto: Google
Doa Buat Suami yang Meninggal Dunia
Buat mereka yang kehilangan susuk suami tercinta, jangan sesekali tinggalkan doa ini buat penguat semangat dan agar dipermudahkan segalanya buat Almarhum suami di alam sana.
Benar titisan air mata itu takkan pernah kering selagi denyut nadi berkumandang. Perbanyakkan amal soleh, bersedekah dan semoga Allah mengganjarkan pahala buat dia di sana.
- Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosa suamiku, Engkau rahmatilah dia dan tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang beriman.
- Ya Allah Ya Tuhanku, maafkanlah segala kesilapan yang telah dilakukan oleh suamiku ketika ia masih hidup di dunia ini. Lapangkanlah kuburnya dan berilah tempat tinggal yang lebih baik buatnya di akhirat kelak. Dan masukkanlah ia ke dalam syurga-Mu dan jauhilah ia dari seksa kubur dan seksa api neraka.
Kredit foto: Google
Doa Suami Untuk Isteri
- Taha (Hai Manusia). Tiada Kami turunkan al-Quran ke atasmu supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut kepada Tuhannya. Penurunan daripada Allah yang mencipta bumi ini dan langit yang tinggi. Tuhan Yang Maha Pemurah, berkuasa di atas ‘Arasy. (Taha 1-5)
- Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Asy-Syura, 19)
- Allaahummaghfir lizawjatii maa taqaddama min dzanbihaa wa maa ta-akhkhara wa maa asarrat wa maa a’lanat
Maksudnya: Ya Allah ampunilah dosa istriku baik yang telah lalu maupun yang akan datang, baik yang dilakukannya secara sembunyi-sembunyi maupun secara terang-terangan.
Mengapa Perlu Berdoa?
Kerana ia adalah senjata dan cara kita mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Sesungguhnya Allah mendengar rintihan hambaNya tanpa mengira waktu. Dalam kita gembira atau berduka, mohonlah sesungguh-sungguhnya kepada-Nya. Kerana Allah berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untukmu.” (Ghafir 60)
Titipkan doa dan sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan (Abam) dan Allahyarham Ashraf Daniel Mohamad Sinclair. Semoga damai, sejahtera dan ditempatkan roh mereka bersama para solehin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas keduanya. Amin…
Kredit foto: Google