DRESS CODE – Orang Malaysia Selalu Khianati Etika/Tema Pakaian. Ambil Mudah vs Tak Hormati Majlis Orang?
Afiza Kamarulzaman
28/02/2020 07:03 MYT
28/02/2020 07:03 MYT
Sesetengah undangan disertai dengan perkataan ‘dress code’ atau tema pakaian. Ada kala dikatakan ‘bebas’ sahaja. Namun, sebagai manusia yang berpengetahuan, ambil masa sedikit untuk ‘menelaah’ konsep sesuatu majlis itu agar anda tidak kelihatan canggung di tengah-tengah majlis atau setidak-tidaknya tidak mencacatkan pandangan majlis yang pasti sudah diperkemaskan indah oleh tuan rumah.
Kredit Foto: Google
Ketahui Konsep Majlis
Ini paling penting untuk mengetahui apakah konsep majlis terbabit. Apakah mungkin ada tema yang sudah ditentukan oleh tuan rumah. Walaupun mungkin, kamu berhak untuk hadir dengan apa jua jenis pakaian yang kamu selesa dan mustahil untuk tuan rumah tidak mengizinkan kamu masuk, namun apalah salahnya sebagai tanda hormat dan menghargai jemputan itu, kamu berpakaian mengikut apa yang diinginkan tuan rumah.
Di mana Lokasi Majlis?
Ini juga penting agar pakaian kamu kena dengan tempat yang dihadari. Jika dibuat di hotel besar, mungkin agak tidak sesuai jika mahu dihadiri dengan pakaian ala kadar seperti t-shirt atau selipar sahaja. Jadilah sedikit bijak dengan mengambil tahu jenis lokasi yang diadakan agar kamu sendiri tidak berasa segan.
Para Hadirin Yang Dijemput
Penting juga untuk kamu tahu siapa lagi tetamu-tetamu lain yang akan muncul di majlis yang sama nanti. Ada sesetengah jemputan hanya akan menyatakan tema pakaian bebas. Namun ‘sebebas’ mana kamu boleh pergi, tengok pula siapa senarai jemputan lain yang akan ada sama? Jika terdapat golongan VVIP atau Kerabat di Raja, pasti kamu perlu ada inisiatif untuk berpenampilan bebas yang kemas dan menarik.
Waktu Majlis
Sama ada diadakan pada waktu siang atau malam. Ini juga mempengaruhi corak pakaian agar tidak nampak keterlalua untuk majlis siang dan tidak pula terlalu suram apabila untuk majlis malamnya.
Hormati Majlis Orang
Akhir sekali, ingatlah bahawa cara kita berpakaian memberi gambaran awal tentang bagaimana personaliti kita? Penulis pernah melihat rakan sekerja yang hanya memakai seluar jeans koyak dengan t-shirt ke majlis kahwin di hotel lima bintang. Mungkin alasannya datang untuk bekerja, namun ia sangat mencemarkan nama baik dia sebagai wartawan juga syarikat yang diwakilinya.
Walaupun orang kata ‘don’t judge a book by its cover’. Namun, ada kala menerusi kulit depan itulah kita dapat menilai isi di dalamnya. Penampilan yang sedap dipandang mata, pasti menyedapkan juga hati si tuan rumah menyambut kedatangan kita.