Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personaliti

Dulu Kita Marah Anak Main GAJET, Kini Ia Keperluan – Tapi Kena Pantau Juga, Takut Ke Lain Perginya

Penulis Jemputan 12/02/2021 | 02:00 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
Saat ini, kita masih lagi berjuang untuk sesi pembelajaran menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ibu bapa, pelajar dan guru masing-masing memerlukan internet dan gajet untuk menyempurnakan sesi pengajaran dan pembelajaran kerana ia berlaku di rumah-masing-masing.
Bagaimanapun, di sebalik kesibukan ibu-bapa membahagikan masa antara kerjaya, menguruskan rumah dan membantu anak menjalani PdPR, disarankan untuk ‘alert’ berkenaan isi kandungan yang dirujuk anak-anak ketika sesi pembelajaran berlangsung.
Diharapkan jangan lepas tangan sepenuhnya dan jenguklah sesekali apa anak anda lakukan dan laman web mana dilayari setiap hari.
Setiap hari, pelajar menghabiskan masa sama seperti mereka yang bekerja, seharian menggunakan internet dan peranti seperti telefon bimbit dan komputer yang mendedahkan mereka kepada dunia luar tetapi secara maya.
Walaupun masih dalam usia kecil, kita perlu bimbang anak-anak seusia enam tahun tersasar dalam melayari laman web yang mengandungi bahan berunsur keganasan mahupun aktiviti lucah keterlaluan yang tidak dinafikan sering berlegar-legar di saat kita melayari internet sebagai aktiviti pembelajaran.
Di sini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengawasi perkara yang ditonton, didengar dan dibaca anak-anak mereka dalam internet setiap waktun dan setiap hari.
Ini kerana kajian sebelum berlakunya sesi PdPR, mendedahkan kanak-kanak menggunakan internet untuk tempoh satu hingga empat jam setiap hari.
Kredit foto: Google

Gajet Hari Ini Jadi Keperluan, Tapi Jangan Leka

Ia situasi yang amat membimbangkan memandangkan hari ini, kanak-kanak iaitu pelajar menjadikan penggunaan gajet dan internet sebagai keperluan dalam dunia pendidikan apabila pendidikan berlangsung secara PdPR tanpa bersemuka secara fizikal.

Oleh itu, masa banyak dihabiskan dalam internet menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kandungan bahan yang mungkin boleh memudaratkan jika tidak dikawal selia oleh ibu bapa.

Mereka turut berdepan tiga ancaman siber iaitu buli siber, pengaruh media sosial dan jenayah siber dan terdedah dengan bahan pronografi

Jika satu ketika dulu, ibu bapa akan marah anak-anak jika terlalu tertumpu kepada telefon atau komputer, tetapi hari ini ada kelonggaran memandangkan anak-anak seusia awal lima tahun juga perlu belajar di alam maya menerusi PdPR.

Penulis ada terbaca luahan hati seorang ibu yang kesal anaknya yang masih kecil ‘tertengok’ bahan pornografi saat menjawab kuiz pendidikan tanpa sengaja.

Anak yang masih mentah bertindak untuk klik kotak yang menggunakan ikon kartun kegemarannya tetapi di sebalik itu ia adalah satu bahan pornografi yang amat tidak sesuai untuk dilihat kanak-kanak.

Apatah lagi, di usia kanak-kanak, mereka dalam proses pembelajaran dan sikap ingin tahu mereka juga tinggi. Justeru, sebelum ia berlaku, sebagai ibu- bapa, luangkan sedikit masa untuk pantau apa yang anak belajar dan lakukan di internet.

Bagi yang mempunyai kekangan kerana bekerja ketika PdPR berlangsung, anda boleh melihat sejarah pencarian internet untuk memantau apa aktiviti anak anda seharian ketika di rumah.

Pada masa sama , ibu bapa perlu mempunyai ilmu untuk menangani situasi ini. Ibu-bapa boleh mengambil jalan dengan meningkatkan kecelikan internet mereka bagi membantu anak-anak dari gangguan pornografi dalam talian.

Dengan meningkatkan pengetahuan mereka sendiri tentang bagaimana menggunakan internet dengan sempurna dan mewujudkan persekitaran famili yang selamat dari pengaruh pornografi ketika kita dalam norma baharu, ia mengurangkan risiko kepada keselamatan anak-anak daripada berlakunya perkara negatif.

Paling utama, jangan sesekali lepas tangan dan sentiasa beringat ada ancaman dari dunia luar saat anak menggunakan internet untuk pendidikan.

Beri peringatan jelas walaupun anak masih kecil. Antaranya. ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka agar tidak melayari sebarang ‘iklan’ yang muncul ketika menggunakan internet jika ‘iklan’ itu membabitkan perkara dan pelakuan tidak sopan.

Sememangnya di kala ini,kita tidak boleh menolak penggunaan internet dan peranti sebagai penghubung kepada sesi pembelajaran tetapi kita masih ada peluang mengawal dan memantau supaya anak anak selamat menggunakan internet lantas mencapai matlamat awal iaitu menyempurnakan pembelajaran mereka.

Kredit foto: Google

Bagaimana Kita Boleh Lindungi Anak-Anak?

1. Simpan maklumat peribadi

Kepentingan menyimpan maklumat peribadi adalah sangat penting. Maklumat peribadi dan gambar di Internet mendatangkan bahaya kerana boleh digunakan penjenayah untuk tujuan jahat.

Ini kerana gambar yang dimuat naik ini sukar untuk dipadamkan. Ia membawa kesan pada masa hadapan jika disalahgunakan. Semak tetapan privasi anak anda di laman media sosial untuk mengelakkan individu yang tidak dikenali mengakses maklumat peribadi.

2. Tempoh guna

Berbincang dengan anak mengenai masa mereka menggunakan computer dan hanya dibenarkan ketika PdPR saja . Cuba tetapkan sempadan termasuk peraturan mengenai berapa lama mereka boleh melayari laman sesawang, program perisian yang boleh digunakan dan aktiviti yang dibenarkan berdasarkan kesesuaian umur, pengetahuan dan kematangan.

3. Beri Anak Pendedahan

Terapkan kepada anak jangan sesekali memberikan nama, nombor telefon, alamat emel, kata laluan, alamat, nama sekolah atau gambar tanpa kebenaran anda. Elakkan dan beri amaran kepada anak untuk tidak membalas sesuatu mesej yang berbahaya.

4. Sedia Mendengar Dengan Rasa Percaya

Biar kanak-kanak tahu untuk melaporkan apa yang dirasakan tidak betul. Kanak-kanak seharusnya diberi amaran mengenai bahaya di Internet supaya mereka dapat mengenali kelakuan atau aktiviti yang mencurigakan.

Galakkan anak anda bercerita jika berhadapan apa juga masalah di laman web, e-mel atau laman sembang yang membuatkan mereka kurang selesa.

Kredit foto: Google

5. Pantau aktiviti Setiap Hari

Berhati-hati dengan aktiviti komputer anak anda. Pantau aktiviti dalam talian termasuk laman web yang mereka lawati. Pada masa sama, anda boleh berkongsi cerita berkenaan bahaya dan mudarat jika tidak mendengar arahan ibu- bapa.

6. Lokasi Strategik Untuk Mudah Dilihat

Letak komputer di kawasan terbuka. Ini memudahkan anda untuk memantau aktiviti anak-anak dan dapat mengelak anak daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Anda juga boleh bertindak sekiranya melihat perkara yang boleh mendatangkan kesan negatif.

7. Kawalan pelayar Secara Konsisten

Pertimbangkan untuk melaksanakan kawalan ibu bapa di pelayar web. Pelayar web membolehkan anda menyekat atau hanya membenarkan laman web tertentu untuk dilihat di komputer yang dikenali sebagai ‘whitelisting’ dan tetapan ini boleh dilindungi dengan kata laluan.

Walaupun tiada teknologi yang sempurna, terdapat aplikasi perisian komersial yang boleh dipasang untuk memantau, menapis dan menyekat akses ke kandungan berbahaya dalam talian.
Ibu bapa juga boleh menyemak dengan penyedia perkhidmatan Internet mudah alih jika mereka menyediakan perkhidmatan sekatan sebagai tambahan pilihan.

#Anak #Gaya Hidup #Gajet
;