Perkenalan saya bersama Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah sewaktu kali pertama mengadakan sesi fotografi untuk edisi InTrend Jun 2017 dahulu masih bersisa. Sejujurnya saya kagum dan hormat dengan kecekalan selain sifat perikemanusiaan yang sebati dalam jiwanya. Ya, melakukan kerja-kerja kemanusiaan, berulang alik ke kawasan zon perang nun di Syria bukanlah satu tugas mudah. Namun ia disempurnakan sebaik mungkin baginya juga seluruh team Syria Care. Ikuti pengalamannya yang menyayat hati juga mencabar dalam melengkapkan misi kali ini.


Kredit Foto: Siti Sakinah


Boleh Puan kongsikan bagaimana keadaan di sana sekarang secara amnya? Dari segi cuaca, persekitaran dan keadaan fizikal mangsa pelarian?
Kelmarin (Rabu 27 November) hujan turun dengan sangat lebat di kawasan Idlib, di mana kami berada ketika ini. Dan apabila hujan mula turun, lantas ia membuatkan cuaca bertambah sejuk. Jika sebelum ini laluan kami semuanya dipenuhi debu ekoran persekitaran yang kering. Tetapi sekarang kami berhadapan pula dengan jalan dan kawasan khemah yang berlecak dan ada yang dipenuhi air menyebabkan kasut kami berlumpur. Dan bagi mereka yang hanya memakai kasut biasa (bukan waterproof) boleh menyebabkan kaki kesejukan.


Kredit Foto: Facebook Syria Care


Ketika kami sampai ke sini pada 21 November lalu, cuaca disini paling rendah suhunya adalah 8°selsius. Keadaan di Albab pada ketika itu sejuk, kering dan sangat berdebu. Malah saya sendiri mengalami batuk yang agak kuat sewaktu berada di pinggiran utara bandar Albab. Dan apabila waktu malam, suhu turun lebih rendah lagi dengan angin yang silih ganti bertiup. Kami pernah berada di salah sebuah kem di luar bandar Albab ketika lewat petang dan pada ketika itu sejuknya terasa hingga ke tulang.
Sementelahan cuaca yang sejuk dan dingin, ternyata ia mencabar kepada mereka (mangsa perang). Apatah lagi serangan boleh berlaku bila-bila masa. Malah di kawasan Qah berhampiran Atma, berlaku serangan roket di salah sebuah kem di mana lebih daripada 15 orang terbunuh dalam serangan ke atas kem mangsa pelarian perang.


Kredit Foto: Siti Sakinah

Daripada segi keadaan fizikal mangsa perang pula, walaupun ada yang tidak tercedera tetapi mereka kekurangan gizi makanan. Kalau ada yang makan sekalipun, cuma makan roti sahaja yang diperbuat daripada tepung air dan sememangnya tiada zat langsung. Dan bagi mereka yang tercedera akibat kesan peperangan, kami berhadapan dengan begitu banyak kes sehinggakan kami kadang-kadang tak sanggup nak berhadapan dengan mereka. Apatah lagi dengan cuaca yang sejuk, lebih menyukarkan keadaan. Kalau kita yang sihat inipun jika cuaca terlalu sejuk mula sakit-sakit atau lenguh-lenguh badan, mereka apatah lagi. Allahu Akbar.

Misi kali ini memakan masa selama mana?
Misi kali ini berjalan untuk tempoh dua minggu. Dan ia berbeza daripada misi-misi sebelum ini kerana Alhamdulillah, kali ini kami dapat berada di dalam Syria bagi tempoh yang agak panjang. Kami berpeluang tidur, makan dan lakukan segala-galanya disini. Saya sifatkan ia satu pengalaman yang amat berbeza dan sangat berharga bagi saya juga petugas Syria Care yang lain. Saya akui, banyak menyertai misi sebelum ini tetapi misi ini paling mencabar kerana faktor keselamatan, tidak mempunyai prasarana yang mencukupi, faktor cuaca dan juga keselamatan.


Kredit Foto: Siti Sakinah


Selain pakaian, ubat-ubatan dan makanan; apa lagi yang dibawa Syria Care dalam misi kali ini?
Syria Care telah menghantar dua kontena dari Malaysia yang membawa bersama pakaian melalui sumbangan orang ramai melalui program pengumpulan baju ‘Warm Their Winter’ yang telahpun mula diuar-uarkan September lalu. Disamping itu pihak kami telah menempah tiga kontena berisi selimut dan juga jaket kanak-kanak berserta boot dan topi. Selain itu, kami juga membuat agihan alat untuk memanaskan badan terdiri dari olive briquettes. Ia adalah biji buah zaitun yang telah dikisar kemudian dikeluarkan minyaknya. Manakala bijinya dimampatkan, dikeringkan dan menjadi seperti arang sebagai alat untuk membakar. Juga kami agihkan kayu api dan di kawasan tertentu kami agihkan diesel. Dalam pada itu, kami turut membuat agihan khemah-khemah khususnya bagi pelarian baru terutamanya di kawasan utara Idlib selain mengedarkan pek makanan dan selimut.

Ada sebarang kesukaran dan cabaran yang terpaksa dilalui setakat ini? Kongsikan pengalaman?
Terdapat pelbagai jenis cabaran yang kami lalui. Pertamanya adalah dari segi cabaran fizikal. Memandangkan kita datang dari negara yang beriklim tropika, yang kebanyakan masanya panas maka apabila datang ke sini, perlu berhadapan dengan cuaca yang amat sejuk pastinya mencabar dari pelbagai sudut. Kami perlu persiapkan diri secukupnya. Kami ke sini untuk bekerja dan untuk itu kami perlu pastikan sekurang-kurangnya mengambil suplemen bagi memudahkan urusan dan tugas-tugas disini. Selain itu, kami juga perlu pastikan penyediaan pakaian yang sesuai sepanjang menjalankan tugas. Ia juga bagi mengelakkan daripada terkena penyakit-penyakit.


Kredit Foto: Siti Sakinah


Cabaran emosi pula, kami perlu kuatkan hati dan tabahkan diri apabila berhadapan dengan mereka. Apatah lagi kami perlu berhadapan dengan pelbagai jenis manusia dan setiap daripada mereka mempunyai cerita dan perkongsian berbeza tentang apa yang mereka lalui disini. Dalam kita menyantuni mereka, kita perlu tampil untuk menjadi susuk yang memberi semangat dan harapan kepada mereka. Makanya, apabila mereka berkongsi kisah-kisah mereka, kita perlu sentiasa pamerkan wajah yang tabah walaupun hakikatnya kadang-kadang dalam hati ini bagaikan sudah ‘banjir’ kerana sedih mengenangkan nasib mereka. Tetapi kami tidak boleh tampil lemah di hadapan mereka sebabnya tak mahu mereka bertambah sedih. Lantas, kami perlu berikan kekuatan kepada mereka.

Kredit Foto: Siti Sakinah


Dan sudah pasti dalam keadaan hidup mereka yang sukar ini, mereka mahukan berbagai-bagai keperluan. Apabila ada peluang sahaja, mereka akan suarakan dan sampaikan kepada kami. Tetapi kekangannya adalah kami tidak mampu santuni kesemuanya. Hinggakan kadang-kadang perlu tebalkan hati, menolak secara baik dan tidak memberi harapan terlalu tinggi kepada mereka kerana khuatir tidak mahu kecewakan mereka.


Kredit Foto: Siti Sakinah

Seperkara mengenai cabaran lain termasuklah apabila kami keluar melakukan proses pengagihan, penghantaran bantuan bagi kes-kes terpencil pada siang hari, apabila pulang sahaja ke tempat penginapan; para petugas masih meneruskan kerja. Tidak boleh terus berehat. Ada yang perlu siapkan video, hantarkan gambar dan sebagainya. Tetapi kami berhadapan dengan cabaran ketiadaan bekalan elektrik. Kebanyakan rumah di sekitar sini, dalam jam 11 sudah terputus bekalan elektrik. Kalau kami perlu mengecas telefon bimbit, laptop dan sebagainya secara berlebihan juga akan mengakibatkan terputus bekalan elektrik. Rentetan itu, kebanyakan rumah menggunakan tenaga solar dan apabila musim sejuk, dengan faktor cuaca mendung dan ketiadaan cahaya matahari; ia menyebabkan tenaga tersebut gagal berfungsi kerana tidak dapat dicas semula.


Kredit Foto: Facebook Syria Care


Daripada aspek keselamatan, pernah berhadapan dengan apa-apa insiden di sana?
Alhamdulillah sehingga kini para petugas berada dalam keadaan selamat walaupun seperti yang saya kongsikan sebelum ini bahawa ada beberapa insiden sebelum dan selepas kedatangan kami berlakunya serangan tetapi sepanjang kami berada disini setakat ini, Alhamdulillah kami terpelihara. Kami juga mengambil langkah-langkah keselamatan dari segi sebelum kami bertolak misalnya, kami maklumkan kepada pihak Wisma Putra, PDRM, E8, E3, E2 dan kami maklumkan juga pihak kedutaan Malaysia di Ankara juga pihak kerajaan Turki. Syukur kerana kami mendapat kerjasama daripada rakan kami iaitu NGO IHH yang menemani kami sepanjang perjalanan dan keberadaan kami disini.

Bagi memastikan perjalanan misi lancar, kami mengambil pelbagai langkah untuk pastikan perjalanan kami selamat dan dapat mengagihkan bantuan daripada rakyat Malaysia. Kita tidak dapat nafikan Syria adalah sebuah negara zon perang. Dan apabila kita berkata begitu, kemungkinan berlakunya serangan boleh terjadi pada bila-bila masa.
Contohnya, sebelum kedatangan kami ke Atma, berlakunya serangan ke atas sebuah kem yang tidak jauh dari situ. Malah ia hampir dengan sekolah Syria Care dan kami juga menziarahi kawasan bernama Jisr Asyughur. Selepas sehari kami keluar dari situ difahamkan berlakunya serangan di sana. Allahu Akbar. Alhamdulillah semuanya masih selamat dan setelah memasuki hari kelapan, kesihatan semua petugas-petugas berada dalam keadaan baik, masih bersemangat dan dapat meneruskan kerja-kerja menyampaikan amanah daripada seluruh rakyat Malaysia.



Kredit Foto: Siti Sakinah


Mungkin ada perkara lain yang mahu dikongsi bersama pengikut InTrend?
Kami mengharapkan lebih ramai pihak yang boleh bersama dengan kami dalam menyebarkan tentang keperluan ataupun kesusahan yang dilalui pelarian. Dan juga bersama-sama dengan kami dalam menjalankan usaha-usaha kemanusiaan ini. Besar harapan kami kepada pihak InTrend supaya kerjasama diantara kita akan dapat diteruskan pada masa hadapan. Insya-Allah.

Selain teruskan doa dan salurkan sumbangan, apa lagi yang diharapkan daripada seluruh rakyat Malaysia ketika ini?
Saya amat berharap kepada semua rakyat Malaysia dan juga yang membaca artikel ini agar kita sama-sama prihatin dengan apa yang berlaku kepada mereka yang kurang bernasib baik daripada kita. Kalau bagi kami, contoh terdekat adalah mereka yang berada di sini tetapi secara umumnya kepada sesiapa juga yang memerlukan bantuan dan perhatian daripada kita. Sebagai rakyat Malaysia, sebenarnya kita sangat beruntung kerana dengan keberadaan kami disini – yang melihat keadaan hidup mereka yang serba kekurangan. Saya sendiri secara peribadi tak dapat nak bayangkan bagaimanalah rasanya kalau satu hari sahaja ataupun setengah hari atau mungkin satu jam hidup dalam keadaan serba kekurangan seperti mereka. Berada disini, serasanya bukan sekadar umpama 20 tahun ke belakang bahkan mungkin lebih dari itu dengan ketiadaan infrastruktur, Allahu…


Kredit Foto: Facebook Syria Care


Dan cabaran kami apabila bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain dengan menaiki kenderaan yang kalau di Malaysia sudah tiada lagi di atas jalanraya. Bayangkanlah betapa daifnya kemudahan infrastruktur disini. Apatah lagi dengan keadaan jalan yang berlubang-lubang akibat kesan letupan dan serangan, sememangnya pergerakan kami dari satu tempat ke tempat lain tidak selesa berbanding jalanraya di negara kita yang berturap dan sebagainya.


Kredit Foto: Siti Sakinah


Untuk itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang pertamanya perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Dan tanda kita perlu bersyukur adalah tunjukkan keprihatinan kita kepada mereka yang kurang bernasib baik, tidak seperti kita yang cukup serba-serbi, selesa bahkan ada yang mungkin lebih mewah daripada mereka. Mereka tetap saudara kita kerana tidak kira walaupun mereka berada jauh daripada kita.

Tetapi, fikirlah apa yang akan kita jawab di Akhirat nanti seandainya kita ditanya apakah peranan kita membantu saudara-saudara anda yang kurang bernasib baik.

Semoga coretan pengalaman Siti Sakinah dan seluruh team dapat membuka mata dan menjentik hati kita semua dalam menyuburkan sifat perikemanusiaan dan keprihatinan kepada mereka yang hidup dalam serba kekurangan di sana.