Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

EKSKLUSIF! – "Memang Kami Ditahan Polis Dan Tentera, Tetapi..." Lelaki Ini Kongsi Saat Getir Utara Itali Diserang Covid-19

Huda Hussain 27/03/2020 | 12:46 MYT
Ikhtiarnya untuk mencari jalan keluar dari Itali dengan menghubungi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi Facebook diatas bantuan rakan akhirnya membuahkan hasil. Norul Rdizuan Zakaria Din, bersama keluarga juga hampir 100 rakyat Malaysia dari Itali kini menjalani tempoh kuarantin di Akedemi Kementerian Pengajian Tinggi (AKEPT) Nilai, Negeri Sembilan. Ikuti kisah dan pengalamannya sepanjang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 di Itali yang mencatatkan korban tertinggi dunia.
Kredit Foto: Norul Ridzuan Zakaria Din
Sudah berapa lama menetap di Itali?
Lima tahun semenjak Mac 2015. Saay bekerja sebagai vendor kepada subsidiari Agensi Angkasa Itali, di Torino, negeri Piemonte di utara Itali.
Sejak bila virus Covid-19 mula menyerang Itali?
Sejak awal Februari.
Kredit Foto: Norul Ridzuan Zakaria Din
Boleh imbas kembali momen ketika Itali isytiharkan ‘lockdown’, apa perasaan ketika itu?
Semua orang di Itali pada awalnya menjangkakan kerajaan Itali dapat tangani dengan mudah soal wabak Covid-19 kerana kemudahan perubatan kelas pertama di Itali. Tetapi rata-rata rakyatnya mula khuatir dan was-was apabila kerajaan Itali masih lagi mempromosikan aktiviti ekonomi dengan China melalui siaran dokumentari di televisyen dan iklan di media sosial. Jadi, mulalah hilang keyakinan dengan pertambahan statistik.
Pasti setiap hari meronta-ronta nak balik Malaysia, tapi dalam masa sama pintu keluar negara banyak sudah ditutup susulan 'lockdown'. Boleh komen sikit?
Disebabkan itulah kami bertindak cepat. Saya sebarkan permohonan evakuasi secara terbuka melalui Facebook (FB) kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Rakan FB yang bantu panjangkan kepada Datuk Seri Hishammuddin. Dalam tempoh 24 jam, Datuk Seri Hishammuddin respon. Sebaik sahaja Datuk Seri Hishammuddin umum di FB yang belia akan ambil tindakan, kami bertindak cepat keluar dari Torino ke Rom disebabkan Torino berada dalam kawasan merah dan pengangkutan awam ke Rom kebanyakannya telah diberhentikan perkhidmatan. Pada masa sama kedutaan Malaysia sahkan bahawa Kementerian Luar Malaysia bersetuju untuk keluarkan rakyat Malaysia. Dan pada ketika itu kadar jangkitan sudahpun mencapai angka 1,000 orang dalam sehari dengan jumlah jangkitan sudah melebihi 10,000 orang. Kami sewa apartmen di Rom selama tiga hari sehingga dijemput oleh kedutaan Malaysia dan diletakkan bersama dengan rakyat Malaysia lain di Pusat Lockdown Malaysia dekat Airport Rom.
Kredit Foto: Facebook Norul Ridzuan Zakaria Din
Bagaimana dengan anak-anak? Dan apa yang merisaukan kalian?
Dua orang anak tinggal bersama kami. Seorang berusia 10 tahun dan 20 tahun. Memikirkan soal anak-anak itulah kami pilih untuk keluar dari Itali sebabnya dalam situasi kecemasan seperti ini, sudah tentu rakyat Itali diberi keutamaan disebabkan kemudahan perubatan yang terhad. Tidak dinafikan, Itali punya kualiti tapi tiada kuantiti dari segi kemudahan perubatan. Maka apabila kadar jangkitan meningkat dengan terlalu cepat, kemudahan menjadi terlalu terhad dan akhirnya tidak mencukupi. Kami keluar dari Itali untuk pastikan kami terutamanya anak-anak tidak menjadi mangsa keadaan kecemasan ini.
Kredit Foto: Norul Ridzuan Zakaria Din
Apa yang menyukarkan kalian dan memberi cabaran sepanjang tempoh itu?
Lockdown memang sukarkan pergerakan. Mujurlah Kedutaan telahpun keluarkan surat yang bertindak sebagai pas perjalanan kepad kami. Memang kami ditahan oleh polis dan tentera di stesen keretapi Torino dan Rom. Tetapi dilepaskan dengan adanya surat/pas perjalanan itu.
Kredit Foto: Norul Ridzuan Zakaria Din
Suasana dan pengalaman sewaktu tempoh ‘lockdown’, macam mana rakyat Itali ‘react’ dengan suasana ketika itu?
Rakyat Itali di Torino patuh pada lockdown dan berdisiplin semasa berhadapan dengan situasi ini. Pasar raya mini terpaksa hadkan empat orang sahaja pelanggan pada suatu-suatu masa. Kedai runcit pula hadkan seorang pelangan. Dan bayangkanlah pelanggan bebaris panjang dengan jarak 2 meter di luar pasar raya mini dan kedai runcit. Tetapi malangnya sudah terlambat. Ketika itu, wabak virus Covid-19 sudah tidak boleh dibendung semata-semata dengan lockdown lagi. Semuanya adalah akibat Itali terlebih bergantung kepad aktiviti ekonomi dengan China sehingga menyukarkan Itali bertindak menghalang terus aktiviti itu. Malah masih terus mempromosikan aktiviti itu sehingga akhir Februari.
Ada rakan-rakan atau jiran yang disahkan positif? Atau ada sesiapa yang dikenali meninggal dunia disebabkan Covid-19?
Belum ada.
Perasaan keluarga di Malaysia, setiap hari berhubung sepanjang kalian di sana?
Sudah pastinya mereka risau tetapi hampir setiap hari kami berhubung sejak pertengahan Februari hingga sekarang.
Komen mengenai pandangan sinis rakyat Malaysia yang beranggapan “Oh yang balik dari Itali, Iran, India tu semua bawak balik virus ke Malaysia pula”, komen?
Evakuasi rakyat Malaysia di Itali adalah urusan rasmi kerajaan Malaysia. Maka ia dilakukan mengikut prosedur Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tiada masalah sebenarnya. Cuma yang menimbulkan masalah adalah evakuasi persendirian yang tidak direkod. Berkenaan dengan golongan yang sebarkan hadis yang anti evakuasi, sebenarnya ada hukum dalam Al-Quran yg lebih tepat, iaitu hukum yang menyatakan adalah haram orang Islam membunuh diri ataupun tidak melindungi diri dan keluarganya daripada terbunuh. Kesalahan bunuh diri adalah kesalahan yang paling besar boleh dilakukan oleh orang Islam selain daripada murtad, iaitu mereka yang mati bunuh diri dan murtad kekal di neraka selamanya. Itu asas kepada tindakan kami kerana kami tahu jika kami sengaja tidak keluar dari Itali sedangkan kami faham penuh risikonya, maka kami bimbang keputusan itu bersamaan dengan bunuh diri.
Kredit Foto: Norul Ridzuan Zakaria Din
Bila pihak kedutaan menghubungi kalian sudah boleh pulang ke Kuala Lumpur?
Sebaik Datuk Seri Hishammuddin membuat kenyataan balas dalam FB beliau, pihak kedutaan terus maklumkan yang kerajaan Malaysia bersetuju untuk keluarkan rakyat Malaysia dari Itali. Pengumuman dibuat melalui WhatsApp yang diwujudkan sejak pertengahan Februari.
Dikuarantin selama 14 hari, boleh kongsikan pengalaman? Masih boleh berhubung dengan keluarga disini?
Kuarantin adalah tindakan terbaik demi keselamatan kami, ahli keluarga dan rakyat amnya. Dan dalam masa sama, kami masih boleh berhubung 24 jam dengan keluarga melalui internet.
Kredit Foto: Norul Ridzuan Zakaria Din
Sebarang perkongsian yang boleh memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia berhadapan dengan situasi ini?
A). Lockdown hanya berkesan dengan kerjasama tiga pihak iaitu; kerajaan, rakyat dan pemilik premis perniagaan.
B) Mana-mana negara tidak boleh bergantung kepada aktiviti ekonomi dengan suatu negara sehingga sukar untuk kerajaan bertindak drastik hingga mendatangkan risiko kehilangan nyawa rakyat akibat keutamaan ekonomi.
#COVID-19 #Itali #Rakyat Malaysia
;