Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Emak Ayah Makin Tak Larat, Kudrat Tak Macam Dulu. Yang Ada Cuma Semangat Nak Bersama Anak, Menantu, Cucu.

Huda Hussain
20/11/2021 04:19 MYT
Jika masih punya emak ayah yang melewati usia 70-an, bersyukurlah. Betapa bertuahnya kalian masih dipinjamkan susuk emak dan ayah untuk menabur budi dan bakti saat usianya masih tersisa dan masa yang masih ada. Kerana dalam kalangan kita ada yang meratap hiba, menangis sayu rindu yang tidak berpenghujung dek kerana kehilangan syurga dunia ini.


Kredit Foto: Huda Hussain


Dan pengalaman penulis sendiri, melihat susuk fizikal dan kedut di wajah, tangan juga uban yang makin memutih pada helaian rambut emak abah; hati ini diusik emosi. Terus teringatkan tangan emak yang dulunya kuat memasak itu ini. Tubuhnya yang tegap berdiri ke hulu hilir melakukan kerja-kerja rumah. Kaki abah yang ligat ke sana sini memandu kereta juga menunggang motosikal kini semakin tidak bermaya dimamah usia.

Pendengaran dan penglihatan yang semakin terhad. Selera makan kadangnya bagaikan ada had. Tetapi realitinya itulah hakikat. Melihat dihadapan mata emak ayah meniti usia tua, banyak yang telah mereka korbankan demi kita. Walau sempit dan sulit mereka akan selalu ada untuk kita. Akan tetap cuba adakan semua untuk kita. Dan paling penting, takkan pernah jemu dan berhenti menadah tangan memohon reda dari-Nya agar semua untuk kita dipermudahkan, diluaskan, dilapangkan. Mendoakan kesejahteraan semua, seisi keluarga.

Kredit Foto: Google


Lantaran itu moleklah usah dibebani fikiran mereka dengan pelbagai masalah kita. Jangan ditambah risau mereka dek kerana memikirkan perihal kita yang mungkin baru mula nak belajar erti kehidupan. Selayaknya kala ini waktu yang masih berpihak kepada mereka terisi dengan ketenangan dan kedamaian hati.

Mencari dan menambah ilmu dengan cara tersendiri. Mendengar atau menonton kuliah, bersedekah, tambah amal ibadat dan lain-lain. Jika mereka masih punya kudrat, bawalah ke mana-mana. Bukan sekadar luangkan masa tetapi benar-benar memanfaatkannya. Rakamlah, simpanlah beratus gambar dalam galeri telefon pintar kita.

Kredit Foto: Google


Ukirkan senyuman dan gelak tawa diwajah mereka. Kerana hakikatnya, sungguh mereka sebenarnya tak lagi sekuat dulu. Tetapi demi memenuhi kegembiraan, mahu berseronok dengan seisi keluarga; maka segala kelesuan, kesakitan dan ketidakupayaan itu cuba disembunyikan. Mereka pinjam semangat kita yang mahu meraikan mereka. Lalu kita sambut dengan berlapang dada dan seikhlasnya melayani mereka. Selagi ada masa, selagi dipinjamkan nyawa mereka untuk kita; maka buatlah sehabis baik untuk mereka.

Takkan rugi setiap sen dan ringgit atau kudrat kita yang dilaburkan untuk menggembirakan mereka. Semuanya demi mencipta kenangan dan memori yang takkan luput dari ingatan andai ditakdirkan kita kehilangan mereka suatu hari nanti. Semoga semuanya baik-baik sahaja untuk kalian, emak ayah dan seisi keluarga kalian.
#Anak #Ibu Bapa #Tua #Masa
;