gaya hidup
‘Ex Wife’ Makin Lawa Lepas Bercerai? Sebab Dia Ada Lebih Masa Untuk Jaga Diri, ‘Self Reward’.
Tiada siapapun pasangan yang berkahwin inginkan perceraian kan? Tetapi hakikat kehidupan, kita tidak dapat lari daripada melalui pelbagai tingkat ujian. Baik dalam hidup, kerjaya, keluarga, peribadi mahupun bagi yang sudah berumahtangga pasti menempuh fasa diuji sebagai suami isteri. Cuma bezanya sejauh mana kita dan pasangan kental dan cukup ampuh menelusuri waktu itu.
Berbicara mengenai perceraian, sebenarnya itu realiti yang terlalu pahit untuk ditelan. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah punya anak. Pasti sukar untuk menerangkan duduk sebenar sesuatu perkara kepada anak-anak yang masih kecil. Namun begitu, ia bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan kita sebagai ibu bapa.
Dan bagi bekas isteri atau ibu tunggal, mentaliti juga harus dipersiapkan bagi mendepani cabaran mendatang.
Kredit Foto: Google
Advertisement
Pada pandangan orang mungkin kehidupan kita tampak senang. Tak perlu nak kelek anak 24 jam tujuh hari seminggu umpamanya. Namun itu bagi yang tidak mendapat hak penjagaan anak sepenuhnya.
Dan mata-mata yang memandang akan terus berkata itu dan ini. Dari kaca mata bekas suami pula, terdetik dihatinya kenapa ex aku ni lepas bercerai bukan main lagi melaramnya? Nak tunjuk pada siapa yang dipakainya itu?
Terpulang kepada sesiapa yang menilai. Semua orang punya perspektif berbeza dan tersendiri. Bagi empunya diri, mungkin ia salah satu terapi untuk meraikan diri. Bukan seronok atau gembira dengan perpisahan itu. Tetapi ia salah satu caranya untuk lebih menyayangi diri sendiri. Beri tumpuan dan perhatian yang lebih pada diri yang sebelum ini tak punya masa untuk diperhati dengan teliti.
Kredit Foto: Google
Maklum sajalah, semua masa yang ada difokuskan demi anak-anak dan suami sebelum ini. Contohnya jika sebelum ini si ibu nak mandi waima 10 minit pun anak terjerit-jerit memanggil dan menangis. Terkejar-kejar itu dan ini. Itu belum dikira lagi terpaksa bangun awal pagi dan tidur lewat malam demi menyempurnakan tugas berbakti kepada keluarga. Penat? Pasti semua maklum mengenainya.
Dan apabila ada ruang seperti inilah diisi dan dimanfaatkan dengan cara tersendiri. Ada yang cuba berjinak-jinak dengan hobi baru, hadiri kuliah dan kelas agama online, berguru dan mengaji serta mendalami ilmu agama, luangkan waktu beriadah misalnya dengan berbasikal, daki bukit, jogging dan sebagainya. Masa yang ada juga diperuntukkan untuk memanjakan diri. Pergi ke spa, nikmati urutan badan, urutan wajah, belai tubuh dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Kredit Foto: Google
Lantas apabila itu semua dapat dirasai, barulah terbit keyakinan dalam diri. Bahawa tiada yang lebih menghargai dan menyayangi diri lebih daripada kita sendiri. Kita sendiri yang tentukan bagaimana hala tuju pemikiran kita. Sama ada positif atau negatif, kita sendiri yang tetapkan dalam kepala dan pasakkan dalam hati. Kerana berpegang kepada status bekas isteri dan ibu tunggal bukan calang-calang hebat dugaannya
Sesungguhya kita dapat rasai itu semua apabila Allah hadiahkan hikmah ini.
Kesempatan ruang dan waktu yang diberi-Nya ini sebenarnya tempoh yang tepat untuk kita menginsafi kelemahan dan kekurangan yang ada. Pinjaman waktu ini sewajarnya jadi panduan untuk kita perbaiki dan tampung apa yang lopong. Daripada pandangan orang, kita bukan main berhias diri. Tetapi dalam pemikiran kita itu ‘pakaian’ untuk tingkatkan keyakinan dan kebolehan diri. Sebagai booster untuk menjadi yang lebih baik daripada yang terdahulu.
Yakini dan percayalah setiap satu yang berlaku ada sebab dan musababnya. Dan kita dapat melihat daripada sisi yang lain andai kita positif dan berlapang dada. Kerana hakikatnya itu semua unsur materi sahaja. Tetap yang menilai kita di akhirnya nanti adalah Dia. Bukan bekas suami atau sesiapa.
Must-Watch Video