gaya hidup

Godaan DADAH – 8 Tahun Penjara & 10 Sebatan Cukup Buat Ameng Serik, Zamani Derita Tulang Belakang Kerananya

gempak
Afiza Kamarulzaman
10/06/2021
14:12 MYT
Sponsor Banner
Godaan DADAH – 8 Tahun Penjara & 10 Sebatan Cukup Buat Ameng Serik, Zamani Derita Tulang Belakang Kerananya
Kedua-dua mereka pernah mengecapi zaman kegemilangan sebagai seorang selebriti sanjungan ramai. Ketika di mercu jaya, Zamani daripada kumpulan Slam dan Ameng daripada kumpulan Spring pernah menjadi antara vokalis kumpulan era 90 an yang sangat berjaya dan ‘mewah’.
Namun, selalunya, makin tinggi kita mendaki, makin banyak duri menyakiti. Kejayaan datang seiring ujian tanpa henti. Itulah bezanya dunia artis dan orang biasa. Ujian kita tidak sama, maka tersilap sedikit pasti menarik jatuhnya kembali menyembah bumi, malah sakitnya saat di puncak lebih pedih daripada orang biasa yang hanya jalan di bawah.
Zamani dan Ameng antara selebriti yang wajar dijadikan pedoman untuk kita meniti kehidupan ini. Apabila sudah dilimpahi kejayaan, mohon jangan lupa diri. Harus selalu muhasabah dan ingat kembali di mana bumi dipijak, pegangan agama dan budaya, keluarga jangan dipinggirkan.
Mendengarkan kisah mereka berdua membuatkan kita kagum. Kagum tentang bagaimana mereka boleh bangkit melawan takdir hitam itu? Bagaimana mereka kembali ke tengah khalayak melawan perasaan malu dan hinaan masyarakat? Seperti kata Ameng, “salah satu faktor buat saya kuat adalah keluarga. Dalam kekesalan, sebenarnya saya bersyukur kerana apa yang saya lalui dulu buat saya jadi lebih kuat dan mampu berdiri teguh sekarang ini.”
Dek Populariti Tergadai Maruah Diri
Dalam program Rumah No 107 yang dihostkan oleh Khir Rahman, Joey, Shuk, Ropie dan Vicha itu berkesempatan mengadakan sesi luahan hati dengan kedua-dua vokalis bersuara emas ini. Ternyata Zamani dan Ameng tidak kisah untuk bercerita zaman kejatuhan mereka untuk dijadikan pengajaran semua.
“Tidak dinafikan memang ada culture shock ketika mengecapi populariti dulu. Ia datang dalam kita tak sedar sebab kita terdedah dengan perkara itu, nak tak nak terpaksa lalui. Cuma apabila ada yang menegur barulah kita perasan,” ujar Zamani ringkas.
Tambah Ameng pula, “Saya pun pernah melalui detik itu. Waktu kita dipuja, kemana pergi disambut orang, duit dapat banyak, perasaan terlampau seronok. Keseronokan yang buat kita lupa segala-galanya. Kita tahu benda tu salah tapi keseronokan tu menutup rasa bersalah tu. Perempuan ikut kemana saja, ke kelab sampaikan isteri pun saya boleh abaikan,” akui Ameng.
Selain lupa diri akibat godaan populariti dan kemasyuran, dadah juga menjadi detik hitam dalam perjalanan hidup mereka. Kerjaya mereka runtuh kerananya dan keluarga terpinggir disebabkan asyik mereka bersama najis dadah itu.
Kredit Foto: Astro Prima
10 Sebatan Buat Ameng Tidur Seperti ‘Superman’ di Penjara
Ameng menceritakan bagaimana dia terduduk dan terasa seperti hilang nyawa apabila mendengar hakim menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan 10 sebatan apabila dia ditangkap satu masa dulu kerana memiliki dadah.
Ameng terasa dirinya sudah tiada di bumi nyata sewaktu diheret keluar dari kamar mahkamah menuju ke trak polis, pandangannya menjadi gelap, jiwanya kosong, hatinya gundah. Isteri, anak, ibu dan mentua yang menangis mengiringinya langsung tidak dipedulikan. Hanya nasibnya nanti difikirkan.
Setahun dia kemurungan dan setiap hari berendam air mata. Perasaan malu sudah tak dipedulikan, hanya difikirkan bagaimana nasibnya selepas ini? Apa yang akan dilalui selama lapan tahun ini? Bagaimana semua yang ditinggalkannya di luar? Mujurlah dia orang Islam dan masih waras untuk tidak bunuh diri!
“10 sebatan yang saya terima sekali jalan itu cukup buat saya serik. Bukan lagi sebat tapi libas, dengan rotan sebesar tongkat dihayun di belakang, kemudian ditarik dan waktu ditarik itulah terasa kulit terkoyak. Memang azab selepas selesai hukuman itu, nak buat apa pun tak boleh, duduk, baring, pakai seluar pun tak boleh. Bogel sajalah. Dah tak ada perasaan malu kerana sakit. Tidur pun macam Superman,” cerita Ameng buat semua terkelu.
Kredit Foto: Astro Prima
Zamani Derita Sakit Belakang Sehingga Kini
Ramai juga sedia maklum yang Zamani mengalami penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis selama beberapa tahun ini sehingga beliau terpaksa mengambil ubat penahan sakit jika tidak terdaya menahannya. Tulangnya membengkok seperti hurus S menyebabkannya sukar untuk bergerak seperti biasa
Ia juga disebabkan oleh rutin lamanya yang selalu duduk mengadap ‘barang’ itu terlalu lama dan berhari-hari. “Maaflah saya bercerita tentang itu tapi inilah akibatnya apabila dulu saya terlalu melayan nafsu. Dan kesannya kekal sehingga ke hari ini,” tutur Zamani yang menganggap ujiannya tidaklah sehebat Ameng.
Mengimbas kembali detik bagaimana dia mula terjerumus dengan dadah? Ujarnya, “Saya melalui detik paling sukar dalam hidup pada tahun 1997. Waktu itu, arwah Mak meninggal, kereta saya hilang, kumpulan Slam berpecah, putus cinta dan dadahlah menjadi ‘kawan’ saya waktu itu.
Dan, kini Zamani dalam rawatan untuk membetulkan tulang belakangnya walaupun tidak mampu untuk dinormalkan seperti dulu. Zamani juga bersyukur kini dia mampu melawan godaan nafsu itu dan berharap tidak lagi terjerumus ke dunia hitamnya itu apabila secara sukarela mahu ‘mencuci’ dalamannya.
Kredit Foto: Astro Prima
Tersungkur Itu Biasa, Tapi Jangan Terus Rebah
Apabila ditanpa apakah kekuatan mereka sehingga mampu kembali berdiri walau selepas dihambat begitu teruk ujian hidup ini? Jawab Ameng, pastinya keluarga menjadi tulang belakang saya sehingga kini. Saya harus berterima kasih dengan isteri saya. Saya sendiri pun kadang-kadang tak faham apa ada di dalam hati dia? Bagaimana dia boleh sabar dengan saya, entah apa yang dia tunggu dengan saya? Tapi itulah isteri saya yang bernama Sabariah.”
Dan, Zamani juga menyesali atas apa yang pernah dia lakukan selama ini. Kalaulah arwah ibu masih ada, Zamani tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan insan paling istimewa di hatinya itu? Hanya yang mampu Zamani katakan, dia bertuah kerana ada peminat yang terus memberi sokongan kepadanya dan tentunya isteri yang menjaganya dengan baik.
“Saya sedar saya banyak memalukan keluarga saya dengan apa yang telah berlaku. Saya rasa sayalah kambing hitam dalam keluarga kerana keluarga saya semuanya baik-baik. Saya minta maaf...” luah Zamani sayu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live