Hanya 45 Minit Dari KL, GERIMIS SENJA VILLA Lokasi yang Pasti Buat Kamu Jatuh Cinta
Public Anonymous User
08/05/2019 07:35 MYT
08/05/2019 07:35 MYT
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: Gerimis Senja Villa
Bagaikan pulang ke vila mewah sendiri, itulah yang kami rasai kala berpeluang bermalam di Gerimis Senja Villa yang terletak di Ulu Langat.
Berhampiran dengan air terjun Sungai Gabai dan Sungai Liu, ia menawarkan privasi kepada pengunjung yang ingin bercuti kala hujung minggu ataupun percutian keluarga yang tidak jauh dari ibu kota. Privasi, itu antara kata kuncinya.
Kicau burung berterbangan menyambut kedatangan editorial InTrend ke sini. Ditambah pula dengan angin sepoi-sepoi bahasa, cukup indah lagi mengasyikkan. Dan kala pintu utama dibuka, terbentang luas pemandangan ruang tamu yang cukup besar lagi selesa.
Bisa memuatkan kumpulan kami seramai 10 orang, kami dibawa meninjau sekitar ruang dalam vila.
Kredit foto: Gerimis Senja Villa
Mempunyai tiga bilik, menariknya; vila mewah ini tidak mempunyai tingkap. Hanya cermin kaca memenuhi segenap ruang dan ia membuatkan seluruh ruang kelihatan lebih luas.
Katil besi antik dan hiasan minimalis dalam bilik utama menambah redup mata. Namun saat pintu kaca dibuka, terbentang satu lagi pemandangan indah.
Dihadapan bilik tersedia kolam renang berdindingkan suasana alam semula jadi dan berbumbungkan langit.
Saujana mata memandang. Di hujung kolam renang, ada ruang yang menempatkan kerusi dan meja kayu juga congkak. Dan ya, kami sudah berkira-kira mahu selfie di mana, hahaha.
Kredit foto: Gerimis Senja Villa
Kembali masuk ke dalam vila, dapur vila mewah ini terbahagi kepada dua ruang. Dapur kering dan dibelakang pula menempatkan dapur basah. Lengkap dengan sudut untuk kami mengadakan barbeku.
Lebih menarik, dapur basah berkonsepkan dapur terbuka. Ralit juga dibuatnya kala memasak dan membasuh pinggan, dapat dengar runut bunyi cengkerik dan ritma alam lain yang cukup mendamaikan.
Oh ya, di sini juga kalian boleh memasak. Lengkap dan tersedia semua kelengkapan memasak seperti peti sejuk, pinggan mangkuk, periuk belanga. Pendek kata semuanya ada bagi memenuhi keperluan pengunjung.
Melangkah ke tingkat atas, tersedia bilik kedua yang berkonsepkan ruang terbuka. Lengkap dengan bilik air, ia sedikit kecil namun cukup selesa untuk memuatkan sekitar dua hingga tiga orang pada satu-satu masa.
Sepanjang berada di Gerimis Senja Villa, kami banyak menghabiskan masa sekitar kolam renang. Yalah, bagaikan kolam ini kami yang punya! Hahaha… Suhu air yang serasi dengan tubuh membuatkan kami selesa berlama-lama disini.
Sesekali terasa juga dinginnya air kala hembusan angin singgah menyelimuti tubuh.
Buat kalian yang ingin merasai pengalaman bercuti hujung minggu dalam suasana lebih privasi tidak jauh dari ibu kota, bolehlah fikir-fikirkan Gerimis Senja Villa dalam senarai kalian. Sekalung penghargaan kepada pihak Daun Retreats atas kesudian menaja staycation editorial InTrend.
Berikut antara informasi untuk rujukan dan panduan kalian.
Alamat: Batu 17 3/4 Dusun Tua, 43100 Ulu Langat,Malaysia
Waze: Gerimis Senja Villa
Harga:
- RM1100 satu malam (10 orang) | Isnin – Khamis
- RM1600 satu malam (10 orang) | Jumaat – Ahad
- Cuti Umum – RM1800 satu malam (10 orang)
Makluman: Berikut adalah caj untuk memuatkan sehingga 10 orang. Caj ini termasuk day-trippers juga kanak-kanak. Tiada caj dikenakan bagi bayi. Untuk keterangan lanjut, klik www.daunretreats.com/gerimis-senja-villa
Pilihan Lain untuk Percutian Lebih ‘Intimate’
Kasturi Kabin
Kasturi Kabin juga adalah antara pilihan tepat bagi mereka yang ingin menikmati percutian dalam kumpulan kecil. Kabin ini mampu memuatkan enam tetamu malah uniknya kabin ini dihias cantik bagaikan bilik hotel bertaraf lima bintang!
Terletak di Lot 1476 Jalan Pansoon, Kg Lubuk Kelubi Bt 20 1/4, Ulu Langat, waze sahaja Villa Nuraihan untuk ke sini. Juga klik www.daunretreats.com/kasturi-cabin untuk keterangan lanjut.
Norehan’s Place
Tidak jauh dari Gerimis Senja Villa, Norehan’s Place pula menawarkan penginapan buat kalian yang merancang mahu mengadakan hari keluarga mahupun company gathering dalam skala lebih besar.
Mampu memuatkan 20 orang pengunjung, ia mempunyai empat bilik dan tiga bilik air. Ruang parkir yang luas boleh menempatkan lima buah kereta selain mempunyai kolam renang dan kolam ikan.
Layari www.daunretreats.com/norehans-place untuk maklumat terperinci.