Highlights
Hanya Kalau Kau Tahu Sakitnya Bonda Melahirkan – Maka, Raikan Ibumu di Hari Lahirmu, Bukan Yang Lain...
Setiap tahun, kita pasti meraikan satu hari yang paling istimewa dalam hidup kita iaitu hari jadi atau hari ulang tahun kelahiran. Jarang sekali kita melupakan tarikh itu walau apa pun yang terjadi dan dhiimpit kesibukan rutin seharian. Dan, tahukah kamu siapa lagi yang tidak akan lupa tarikhmu itu? Dia pastinya ‘ibu’. Aneh sekali jika ibu melupakan tarikh eksklusif dia bertarung nyawa menghadirkan anaknya ke dunia ini.
Kredit Foto: Google
Dulu, Ibu Buatkan Majlis Kita
Walaupun dulu ibu kita tidak berkemampuan seperti kita, namun ibu ikhtiar sehabis baik untuk membuatkan kita gembira di majlis penuh bermakna itu. Walaupun sekadar kek aising dari kedai biasa, kemudian digorengkan sahaja bihun bersama air sirap, namun majlis itu tetap bermakna. Asalkan sahaja dapat melihat anaknya melompat gembira meniup lilin yang bersusun itu.
Tidak cukup dengan itu, kita mahukan hadiah yang berbungkus indah. Katamu, kalau ada majlis hari jadi, mestilah ada sekotak hadiah. Hati ibu terusik, mahu dikorek lagi wang untuk membeli hadiah yang teringin sekali kamu buka di hadapan kawan-kawan nanti. Dan, malam itu ibu tidak tidur menyiapkan anak patung yang dibuat sendiri. Walaupun hasilnya tidak secantik mana namun melihatkan ia dibungkus indah, cukup untuk membuatkan anaknya girang. Itulah ibu yang sentiasa mahu melihat anaknya tersenyum dan ketawa.
Kredit Foto: Google
Jangan Pinggirkan Ibu Pada Hari Jadimu
Apalah ertinya meraikan sesuatu kejayaan itu tanpa orang yang mencapainya? Seperti kamu bertepuk tangan untuk seseorang yang tiada dalam majlis itu. Begitulah simboliknya bagi sebuah majlis hari jadi. Hari lahir sebenarnya bukan untuk meraikan diri orang yang lahir pada hari itu tetapi lebih afdal ia meraikan orang yang melahirkan insan tersebut. Tanpa insan itu, tidak mungkin kamu di situ meniup lilin kelahiranmu itu. Pastikan insan penting ini menjadi tetamu VVIP kamu pada majlis meraikan hari jadimu.
Ada ibu yang berasa hati apabila setiap kali majlis hari jadi anaknya, anaknya hanya meraikannya bersama teman-teman. Parti yang kononnya diadakan secara tertutup itu tidak layak untuk dihadiri oleh ibu sendiri. Di mana letaknya hati seorang anak itu yang sanggup melupakan insan yang bertarung nyawa melahirkannya pada hari dia meraikan hari kelahirannya?
Ada juga anak yang sanggup ke luar negara meraikan hari jadinya jauh daripada ibunya sendiri. Mengapa tidak dibawa ibu bersama? Tentunya, kalau lebih mahu pergi bersama suami, anak-anak atau BFF sendiri kan? Dan bukannya ibu! Kenapa? Adakah kamu tidak akan berasa gembira jika ibu mengikut sama? Sedangkan ketika kecil, setiap kali menjelangnya hari jadimu, ibulah orang pertama yang akan kamu rapati dan tanya apa rancangan ibu buatmu? Dan hari ini, setelah kamu cukup dewasa dan punya kemampuan untuk melakukannya sendiri? Ibu di mana?
Allah berfirman:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. (Al-Isra’: 23)
Kredit Foto: Google
Lakukan Ini Ketika Hari Jadimu:
- Bangun pagi itu, hubungilah ibumu dan ucapkan kata-kata indah kepadanya sempena hari jadimu. Mohonlah ibu doakan kebaikan untukmu dan doakan juga kebaikan untuk ibu.
- Belikan hadiah untuk ibu dan bukannya mengharapkan hadiah untuk diri sendiri.
- Titipkan kiriman teks kepada ibu atau hantarkan kad kepadanya untuk mengucapkan terima kasih selama melahir dan membesarkan kamu.
- Raikan ibu di hari lahirmu dengan membawanya berjalan-jalan atau makan-makan. Berikan masa untuk ibu berehat dan bergembira pada hari itu.
- Jika mahu menganjurkan majlis hari jadi, pastikan ibu tetamu yang ‘wajib’ hadir. Sekiranya ibu tiada masa, pindalah mengikut waktunya. Ibu ada kala sengaja mahu mengelak tetapi percayalah dia mahu dipujuk rayu.
- Apabila ibu hadir di majlis hari jadimu, pastikan ibu mendapat layan ‘first class’ dan bukannya orang lain hatta VVIP yang hadir di majlismu.
- Berilah ibu rasa sungguh istimewa pada hari lahirmu itu agar dia dapat merasakan momen melahirkanmu sebagai sesuatu yang sangat indah dan berbaloi.
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video