Read

Happy Anniversary! 10 Teladan Rumahtangga Kekal Sweet Walau Dah Bertahun-Tahun Sambut Ulangtahun

gempak
Huda Hussain
14/11/2019
08:52 MYT
Sponsor Banner
Happy Anniversary! 10 Teladan Rumahtangga Kekal Sweet Walau Dah Bertahun-Tahun Sambut Ulangtahun
Setelah bertahun-tahun melayari bahtera perkahwinan sebagai suami isteri dan apabila terlalu selesa dengan hubungan yang terjalin, membuatkan tanpa disedari masing-masing mengambil mudah pada ikatan yang ada.
Tiada lagi bait-bait puitis yang bikin hati cair kala bercinta dahulu. Ke mana menghilang seri itu? Situasi ini mungkin menjadikan hubungan semakin hambar dan hilang ‘magisnya’. Justeru, sebelum hadirnya orang ketiga yang mampu mengancam hubungan kamu, pulihkan hubungan dan eratkan cinta sekali gus bangkitkan asmara dalam rumahtangga.
Kredit Foto: Google
  1. Kucupan Mesra
Diriwayatkan Saidatina Aisyah bahwa ia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah mencium salah seorang isteri baginda kemudian berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wudhu’.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).
PENGAJARAN & TELADAN: Cinta itu lebih bermakna jika dilestarikan dengan sentuhan yang membuai perasaan lantas membangkitkan rasa kasih kepada pasangan. Sementelahan hubungan kamu suami isteri adalah halal di sisi agama, maka bertindaklah dengan rasional.
Buktikan rasa kasih kamu wahai isteri dengan melakukan ritual sensual yang bukan sahaja menterjemahkan rasa sayang kepada suami malah sebagai tanda penghargaan bahawa kamu menghargai hidup bersamanya sebagai pasangan suami isteri.
Teladanilah apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w ke atas salah seorang isterinya dan masih sempat melayangkan kucupan sebelum menunaikan kewajipan kepada Allah S.W.T. Lantaran itu wahai para suami dan para isteri, luangkan sedikit masa bermanja-manja agar hubungan bertambah erat dan mesra.
Kredit Foto: Google
2.Cemburu Tanda Sayang Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa orang yang tidak memiliki rasa cemburu kepada isterinya tidak akan masuk syurga.
PENGAJARAN & TELADAN: Sikap cemburu jika diletakkan pada tempatnya merupakan antara faktor yang dapat menambahkan rasa cinta dan kemesraan antara suami isteri. Namun awas! Jangan sekali-kali cemburu buta sesama suami isteri tanpa usul periksa. Selidiki satu persatu dan lakukan cara yang berhemah dengan berbincang agar segala kekusutan dapat dihuraikan.
Usah gusar jika suami cemburu kerana kamu tiba-tiba merisaui bentuk paha dan pinggulmu yang sudah kembang, suami cemburu kerana kamu tiba-tiba tampak lebih cantik, berseri-seri lagi menggoda berbanding biasa, suami juga cemburu kerana kamu tiba-tiba menerima perhatian daripada teman-teman sepejabatnya.
Suami yang berasa terancam dan cemburu pasti mempertingkatkan daya tarikan dirinya sendiri, malah mahu kehadirannya lebih terkesan di samping isteri. Percayalah, cemburu itu ‘penyakit’ rumahtangga yang positif, dengan syarat, cemburu itu ‘ditakluk’ dengan minda, bukan dengan perasaan. Lagipun, bukankah kamu pun biasa mendengarnya; cemburu itu tandanya sayang, kan?
Kredit Foto: Google
  1. Hiburkan Hatinya
Rasulullah s.a.w dalam hadisnya pernah bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya, kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”
PENGAJARAN & TELADAN: Sesungguhnya bukanlah satu tugas yang mudah untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai isteri. Ketaatan, keikhlasan, budi pekerti yang mulia adalah sebahagian daripada elemen yang dituntut dalam membina rumahtangga yang bahagia. Malah ganjaran pahala menanti khususnya buat para isteri yang menggembirakan dan menyenangkan hati suami.
Menyediakan segala kelengkapan, pakaian, makanan dan pelbagai keperluan malah memberikan ‘layanan’ yang sempurna pasti dapat menggembirakan hatinya. Banyak perkara yang kamu boleh lakukan untuk menghiburkan hati suami apatah lagi masingmasing sudah mengenali ‘luar’ dan ‘dalam’ semenjak di alam percintaan langsung ke alam rumahtangga.
Gunakan masa yang ada agar kamu dan pasangan dapat menggembirakan hati masing-masing misalnya dengan bercerita atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan dapat mengubat hati dan mengeratkan hubungan suami isteri.
Carilah peluang dan ruang untuk bertindak romantis terhadap suami kamu. Antara cara yang paling mudah dipraktikkan termasuk senyum, tutur kata yang lemah lembut, ungkapan sayang tiga kali sehari, lakukan sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah pasti dapat awetkan asmara sesama kamu.
Kredit Foto: Google
4. Biarlah Rahsia
Rasulullah s.a.w bersabda, “Seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari Kiamat adalah seorang lelaki yang menceritakan hubungan dengan isterinya dan isteri yang berhubungan dengan suaminya lalu menyebarluaskan rahsia mereka.”
PENGAJARAN & TELADAN: Rahsia dalam kain itu adalah hak eksklusif kamu sesama suami isteri sahaja. Malah dalam Islam juga tidak mengesyorkan apa yang berlaku di kamar tidur dihebahkan kepada sesiapa kerana bimbang ia akan mendatangkan aib seolah-olah membuka pekung di dada. Biarlah apa yang berlaku itu menjadi rahsia dan simpanan untuk kamu berdua.
Jangan sekali-kali merendahkan martabat mahupun menceritakan kelemahan apatah lagi memuji kehebatan masing-masing kepada sesiapa walau dengan apa tujuan sekalipun.
Berpeganglah kepada sabda Nabi s.a.w bahawa sesungguhnya seorang lelaki yang menceritakan hubungannya dengan isteri dan isteri yang berhubungan dengan suaminya itu menyebarkan rahsia mereka adalah seburuk-buruk manusia di sisi Allah S.W.T.
Kredit Foto: Google
  1. Tidur di Pangkuan Isteri
Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah berkata: “Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca al-Quran.” (Hadis riwayat ‘Abdurrazaq)
PENGAJARAN & TELADAN: Meski diri dalam keadaan yang tidak mengizinkan untuk bermesra berlebihan atau berhubungan badan dengan suami, itu bukan alasan isteri menolak ‘permintaan permintaan kecil’ suami untuk bermanja.
Mengawetkan asmara bukan terbatas kepada soal hubungan badaniah semata-mata; ia adalah tentang perlakuan kecil lagi bersahaja, melibatkan sentuhan fizikal dan kesediaan isteri untuk berkongsi kepenatan atau kelelahan suami.
Walaupun dalam keadaan tidak suci, pastikan kamu menjaga kebersihan intim dan menjaga rapi kesegaran bau tubuh, agar suami senang lagi selesa mendampingimu, sebagaimana isteri Nabi s.a.w, Saidatina Aisyah melayan dan menjadi ‘bantalnya’ yang paling empuk dan nyaman.
Kredit Foto: Google
6. Membersihkan Diri Bersama Isteri
Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah, pernah berkata: “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi dengan satu bejana (bekas menyimpan air). Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).” (Hadis riwayat ‘Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
PENGAJARAN & TELADAN: Ritual mandi atau membersihkan diri sesama suami isteri mungkin amat janggal dan dianggap taboo di kalangan masyarakat kita. Namun, telah diriwayatkan bahawa ia pernah dilaksanakan dalam sejarah rumahtangga Rasulullah s.a.w, dan sememangnya satu cara yang amat indah untuk suami isteri saling menghargai suasana menyucikan tubuh badan sambil mengakrabkan perasaan.
Sementelahan perhubungan suami isteri adalah perkara yang halal, maka mengapa tidak kamu dan suami saling menyapukan dan meratakan air dengan tertib, dengan cara yang elok, sekali-sekala pada waktu-waktu yang membenarkan kamu melakukannya?
Misalannya pada hujung minggu yang santai, di mana kalian tidak terkejar-kejar ke pejabat dan punya waktu yang panjang untuk beristirehat dan melaksanakan ‘terapi’ kasih sayang di kamar mandi.
Namun berhati-hatilah kerana jika anak kecil turut serta, maka pastikan rutin membersihkan diri dilaksanakan dengan cara yang elok. Sekurang-kurangnya mengenakan kain pelikat atau kain batik dan kamu sedar bahawa ada aurat yang perlu dijaga apabila berhadapan anak kecil.
Kredit Foto: Google
7. Memberi Wangi-wangian Pada Auratnya
Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi apabila meminyakkan badannya, baginda memulakan dari auratnya dan menyapunya dengan nurah (sejenis bubuk pewangi) dan isterinya meminyakkan bahagian lain seluruh tubuhnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
PENGAJARAN & TELADAN: Bukti cinta dan kasih antara suami isteri harus diterjemahkan dalam apa jua bentuk yang menjurus ke arah penyatuan sekali gus mengukir aura romantis dalam rumahtangga.
Awetkan asmara antara suami isteri tidak terhad kepada hubungan intim semata-mata malah ia merangkumi semua aspek dalam kehidupan seharian. Misalannya membantu pasangan ketika sedang bersiap-siap ke pejabat juga mampu awetkan asmara dan meninggalkan kenangan tersendiri dalam kisah rumahtangga kalian berdua.
Teladanilah apa yang dilakukan isteri Nabi s.a.w ketika memakaikan wangi-wangian kepada tubuh suami tercinta. Bukan sahaja ikatan yang terjalin semakin erat malah rasa kasih dan sayang terhadap suami juga semakin bercambah.
Wahai isteri yang budiman, janganlah kamu memandang enteng akan apa jua perbuatan dan tingkah laku yang mampu menghangatkan hubungan suami isteri. Berilah perhatian dan cuba jadikan ia sebagai budaya untuk mengeratkan lagi hubungan kamu.
Kredit Foto: Google
8. Hubungan Intim
Sabda Nabi S.A.W “Sekiranya kamu bersetubuh dengan isteri kamu, kamu akan mendapat pahala.”
PENGAJARAN & TELADAN: Islam telah menjadikan hubungan intim antara suami isteri sebagai ibadat kepada Allah S.W.T berdasarkan manfaatnya yang besar kepada diri, masyarakat dan agama Islam.
Antaranya ia dapat menjaga diri, menyambung keturunan, memakmurkan agama dan sebagainya. Maka para isteri yang budiman, usahlah menolak permintaan suami untuk bersama, melainkan kamu dalam keadaan uzur atau menghadapi masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.
Namun, harus diingat hubungan intim haruslah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab; bukan dalam keadaan marah, penat, geram, terpaksa atau tidak ikhlas.
Jika tidak berdaya lantaran fizikal dalam keadaan penat, maka adalah lebih baik kamu menolak dengan lemah-lembut, namun jadi bijak dan ciptalah kejutan untuknya pada hari berikutnya apabila kamu terasa segar dan benar-benar bersedia untuk suami.
Ingat, hubungan asmara harus berlandas teras cinta, bukan untuk melampias nafsu sematamata. Dan zuriat yang didatangkan daripada-Nya, itu adalah kurniaan Tuhan dan jangan sekali-kali kamu menyesali atau mensia-siakannya.
Kredit Foto: Google
9. Bercantik-cantik Untuk Suami
“Sebaik-baik perempuan adalah yang menyenangkanmu apabila engkau memandangnya, mentaatimu apabila engkau perintahkan dan menjaga dirinya dan hartamu apabila engkau tidak di rumah” (Hadis Riwayat Thabrani).
PENGAJARAN & TELADAN: Ganjaran pahala menanti para isteri jika berhias cantik-cantik untuk suami. Suami mana yang tidak sayang apabila melihat penampilan isteri terurus kala menyambut kepulangan suami di rumah.
Ditambah pula dengan aroma sensual yang menyenangkan pasti bikin hati suami berbunga menguntum bahagia. Untuk menyenangkan hati suami, maka isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik.
Ketika berada di rumah, apa kata sekali-sekala kamu mengenakan solekan yang sewajarnya agar suami tertarik melihatnya. Bukankah bercantik-cantik itu indah dan menyenangkan?
Justeru, gunakan medium yang ada seperti majalah, internet, televisyen dan lain-lain lagi supaya kamu sentiasa peka dengan aliran trend fesyen mahupun solekan yang sesuai diterapkan dalam penampilan kamu seharian. Barulah suami bertambah sayang.
Kredit Foto: Google
10. Berbaik Kepada Isteri
Suami wajib menggauli isterinya dengan cara yang baik. Dengan penuh kasih sayang, tanpa kasar dan zhalim. (An-Nisa’: 19)
PENGAJARAN & TELADAN: Memelihara pergaulan yang baik dengan isteri-isteri serta menanggung segala keburukan yang mungkin berlaku daripada mereka sebagai menunjukkan tanda belas kasihan terhadap mereka itu.
Para isteri, perhatikanlah bagaimana suamimu memberikan layanan zahir dan batin kepadamu; adakah dengan tertib, penuh hemah dan tinggi rasa hormat? Atau adakah suami cenderung melayanmu dengan sikap sambil lewa, endah tak endah, malah ada saatnya berkasar sehingga naik tangan dan kaki!
Awas! Jika suami mula naik tangan, maka kamu harus bijak dan lekas mengetahui apakah hak-hak kamu sebagai isteri yang harus dipertahankan, dan ke mana harus kamu ajukan dilema rumahtanggamu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live