Nafsu, bisikan halus syaitan akan sentiasa berbisik. Jika bukan ditelinga, ia akan mencucuk-cucuk hati dan akhirnya mempengaruhi pemikiran serta penilaian seseorang. Lantaran itulah berlakunya kemaksiatan, kecurangan, pergaduhan, perebutan kuasa dan pelbagai perbuatan lain yang membuatkan seseorang itu bertindak diluar kewarasan akal fikirnya.


Sungguh, bukan mudah untuk mendidik hati kita. Bersangka baik, berfikir yang elok-elok dan banyak lagi perbuatan yang menjurus ke arah kebaikan. Kerana pada pandangan penulis, untuk menjadi seorang yang baik itu cukup payah namun untuk menjadi seorang yang zalim, kejam, jahat dan seumpama dengannya cukup mudah.

Kredit Foto: Google

Kita ambil contoh mudah dalam perihal solat. Betapa kita sering diingatkan untuk solat di awal waktu. Tetapi apabila tiba masanya, pasti ada sahaja urusan dan kerja yang mungkin menjadi kekangan bagi kita cuba memenuhi seruan Ilahi ini. ‘Eh nanti kejaplah, nak makan dulu lepas tu baru solat’. Namun selepas tersandar kekenyangan pula, mulalah pancaindera bagaikan kabur dan layu bagai ada gam yang melekat. ‘Eh tidur sekejaplah. Tak lama manapun, 15 minit aje cukup’. Dan akibat bertangguh serta sengaja melengah-lengahkan waktu solat, maka akhirnya berlalu begitu saja waktu solat kita. Lalu syaitan iblis pun bertepuk gembira kerana dengan mudah kita lalai dan mengikut hawa nafsunya.


Hati Itu Sifatnya Berbolak-Balik

Percayalah dalam perjalanan atau niat kita untuk berbuat kebaikan pasti akan diuji dengan pelbagai rintangan dan halangan. Sama ada ia didatangkan kepada kita untuk menguji sejauh mana kita kuat melawannya atau hanyut dengan 1001 alasan. Itulah sifat hati kita. Ada masanya ke cenderung ke kanan dan ada ketikanya condong ke kiri. Kadang kala menuju kebaikan tetapi ada ketikanya menyukai keburukan. Oleh kerana itulah hati kita perlu diberi perhatian dan penjagaan selalu.


“(Mereka berdoa dengan berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.'” Surah Ali-Imran 3:8

Kredit Foto: Google

Didik Hati Sentiasa Bersangka Baik


Kata Imam Syafie, “Sesiapa yang mahu dilayan baik, maka hendaklah dia bersangka baik dengan orang.” Mudah sajakan prinsipnya? Tetapi pasti sukar untuk dilakukan. Dan berapa ramai pula yang sudah biasa dengan syak wasangka seperti “Alah dia tu, adalah nak apa-apa tu?” Sekali gus telah mendorong dan secara tidak langsung menghasut orang lain untuk turut sama berfikiran sepertinya.


Hati harus ada beberapa nilai kebaikan, salah satunya adalah nilai bersangka baik kepada orang lain. Jangan mudah memandang serong dan bersangka buruk kepada mereka. Bersangka buruk menyebabkan hati tidak tenang. Terasa resah dan menjadi lemah. Belajar untuk bersangka baik kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik dan teratur. Hati akan menjadi tenang tatkala sangka baik menjadi satu kebiasaan.


“Tidak halal seorang Muslim yang mendengar suatu perkataan daripada saudaranya, lalu dia terus bersangka buruk dengannya sedangkan dia mampu mengandaikan sesuatu maksud yang baik sebagai jalan keluar.” Umar Al-Khattab

Kredit Foto: Google

Makanan Untuk Hati

Andai kita jatuh sakit, pasti perlukan ubat untuk mengubati atau menyembuhkannya. Begitu juga dengan hati atau nurani kita. Walau tak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi naluri kita dapat merasainya. Perlunya ada makanan dari sumber tertentu untuk terus memelihara lalu menguatkannya agar kita lebih kebal dan cekal. Antara makanannya adalah:
  1. Membaca al-Quran
  2. Berzikir
  3. Berpuasa sunat
  4. Berselawat
  5. Bersedekah
  6. Berbakti kepada kedua ibu bapa
  7. Memelihara anak yatim
  8. Membantu orang miskin
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.” Surah Al-Anbiya’ 21:31

Kredit Foto: Google

Hati Jangan Sombong!

Jangan mengikut sifat Iblis yang sombong dan tidak mahu untuk sujud kepada Nabi Adam A.S. Perintah tersebut adalah perintah dari Allah S.W.T, namun kerana ada sifat sombong pada Iblis, dia ingkar. Sombong hanya menyebabkan diri kita di dalam kerugian. Tidak ada apa yang patut kita banggakan kerana semua yang kita ada adalah milik Allah S.W.T. Semuanya hanya pinjaman. Ia akan ditinggalkan juga pada suatu hari nanti. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


“Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur.” Surah An-Nahl 16:23. Sifat sombong bukan sifat yang layak untuk kita yang berstatus hamba kepada Allah S.W.T. Bersihkan hati dari sifat sombong kerana ia dapat merosakkan segala kebaikan. Rugi sahaja kebaikan dibuat tetapi terselit dengan secebis kesombongan.


“Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” Surah Al-Isra’ 17:25


Bersihkan hati agar terbit keikhlasan dan kejujuran yang bukan dibuat-dibuat jauh sekali untuk meraih perhatian dan pujian manusia. Didiklah hati dengan penuh rasa keinsafan kerana hati yang suci menghadirkan ketenangan walau hakikatnya ditimpa dengan ujian atau ketika dalam kesusahan.

Kredit Foto: Google

Sumber: https://tzkrh.com/