Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Hati Saya Benar-benar Kosong Waktu Saya Mandi Selepas Doffing. Menangis Dalam Shower.” – Dr Hana Hadzrami

Huda Hussain
29/07/2021 14:06 MYT
Membaca coretan doktor ini mengenai pelbagai situasi cemas, pilu lagi menyedihkan cukup meruntun hati. Tatkala masih ada dalam kalangan kita yang menyalahkan orang atasan kerana kes masih tak turun setiap hari, ada yang masih tak mahu mengambil vaksin. Sedangkan mereka yang berhempas pulas siang dan malam tanpa henti, menghadap kematian, menjadi saksi pemergian insan tersayang orang lain sudah tak mampu berkata apa-apa lagi.

Kredit Foto: Google
Coretan Dr Hana Hadzrami, seorang doktor yang aktif mengemas kini muat naik kisah realiti sepanjang mengendalikan kes Covid-19 ini membuatkan penulis terpanggil untuk berkongsi. Bukalah mata. Fahami sedalam-dalamnya bahawa sesungguhnya apa yang mereka hadap setiap hari itu cukup menyakitkan dan menyedihkan. Walau bukan darah daging, tapi atas sifat kemanusiaan dan empati; tembok hati bisa runtuh melihat senario seperti ini. Tulisnya dalam salah satu muat naik di facebook;

Semalam pesakit Covid saya meninggal. Cardiac arrest ketika dalam posisi telangkup, intubated. Kelam kabut kami telentangkan dia untuk CPR. Tekanan saluran pernafasan sangat tinggi namun bukan disebabkan tiub tersumbat atau terbengkok. Memang perubahan ARDS paru-paru beliau sangat teruk dengan tekanan yang tinggi.

Kredit Foto: Google

Beliau baru awal 40an. Semenjak kami tahu yang beliau balu dengan anak dua; kami memang sangat berwaspada.Bayangkan semenjak masuk ICU, kami tak perasan yang setiap hari kami duk update melalui telefon, anak beliau yang baru berumur 15 tahun. Semua sangka bercakap dengan anak dewasa. Sampailah hari saya on call baru tahu.

Beliau tinggal di rumah kuarantin berdua dengan adiknya yang berumur 12 tahun. Kami tanya ada saudara mara lain? Langsung tiada. Tiada datuk nenek. Tiada pakcik makcik. Ayah dah meninggal. Hanya jiran yang baik hati tolong hantar makanan semenjak ibu mereka masuk wad.

Dalam dunia cuma mereka bertiga. Bayangkan. Jadi kami lakukan CPR dengan penuh kesungguhan. Terlalu desperate sambil berdoa dalam hati; Tuhan, ampunkan kami semua, tolonglah selamatkan dia.
Namun dia tetap pergi. Sewaktu saya suruh MO sampaikan berita pada anak beliau pada jam 1 pagi; dalam hati saya tertanya; bagaimana lah budak umur 15 tahun nak uruskan pengkembumian ibunya.

Kredit Foto: Google

Hati saya benar-benar kosong waktu saya mandi selepas doffing. Menangis dalam shower.
Namun kesedihan itu tak bertahan lama. Setengah jam kemudian saya dipanggil masuk ke ICU kerana ada pesakit lain yang berumur 30 tahun tiba-tiba desaturate (paras oksigen darah turun). Tukar tiub, telangkupkan dia. Sibuk sampai ke pagi.

Begitulah keadaan kami. Berapa ramai pakar dan doktor muda menangis kecewa sebab tak mampu selamatkan pesakit Covid muda. Sekarang umur 20-30 tahun pun boleh meninggal secara tiba-tiba depan mata.

Licik sungguh varian baru ini. Kami sedih namun tak sempat berduka. Segala keperitan kami simpan jauh dilubuk hati. Simpan simpan simpan hingga hati keras dan kebas.
Sampai bila?

Hana Hadzrami
Takkan kami lupakan sampai bila-bila, pandemik yang meyatim-piatukan ramai anak-anak ini.
#Kematian #COVID-19 #Frontliners
;