Oleh: Huda Hussain

WAJAHNYA pernah memeriahkan pentas peragaan suatu ketika dahulu. Berbekalkan 12 tahun pengalaman dalam dunia peragaan, susun langkah dan gerak gayanya masih berbisa persis model profesional yang disandangnya dahulu. Namun selepas bersara daripada dunia peragaan 10 tahun lalu dan menemui hidayah, semuanya berubah 360 darjah.

Dimensi pemikiran tidak lagi seperti dahulu. Suhara Omar Leitenbauer mahukan kesudahan dan keberlangsungan hidup yang jauh lebih baik serta mahu mendidik anak-anak ke jalan yang tidak pernah dilaluinya suatu masa dahulu.

Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan, dia tetap optimis dan mahu menyampaikan mesej betapa pentingnya ilmu agama dicari dan difahami untuk bergelar Muslim sejati.

Imbas kembali momen bagaimana Suhara menceburi bidang peragaan dahulu?

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk terjun ke dalam bidang ini. Mulanya suka-suka dan sekadar untuk mencuba kerana saya tidak yakin mempunyai kriteria sebagai model.

Namun saya tetap mencuba dan pergi casting. Hasilnya, saya mengabdikan diri dalam dunia peragaan selama 12 tahun dan lebih banyak menghiasi pentas runway.

Kredit foto: Instagram @suhara0302

Menariknya dunia peragaan pada pandangan Suhara?


Sejujurnya kerjaya sebagai model menuntut kesabaran yang tinggi dan perlu komited. Bukan mahu mengejar glamor atau dijadikan sebagai jalan singkat untuk menembusi apa jua cabang profesyen lain.

Saya sering memberitahu kepada sesiapa jua yang ingin bergelar model, walau apa jua bidang yang anda ingin ceburi pastikan anda mempunyai ilmu. Seperti model gagasan dahulu, kami perlu menghadiri kelas untuk mempelajari selok-belok dunia peragaan.

Pengalaman saya dahulu, selama empat bulan saya perlu belajar bagaimana cara jalan (catwalk) yang betul di pentas sehinggakan bengkak kaki untuk memastikan postur yang betul dan lain-lain.

Daripada perspektif lain, dunia peragaan mengajar saya banyak perkara misalnya meningkatkan keyakinan diri, cara berkomunikasi, disiplin diri dan sebagainya.

Pada pandangan orang, dunia peragaan dan model nampak mudah dan indah. Tetapi di sebaliknya, apakah kesukaran yang terpaksa dilalui untuk bergelar model profesional?

The real model is the model on a runway. Jika wajah anda baru sekali dipaparkan di majalah, terpampang di televisyen; anda belum layak digelar model. Tetapi ramai yang salah tafsir mengenai istilah model. Mengapa saya mempunyai tanggapan demikian kerana sebagai model kami bukan sekadar menyarung baju dan berjalan.

Kami harus memastikan ‘roh’ baju itu dapat diterjemahkan sebaik mungkin. Kami mempunyai tanggungjawab untuk memperagakan baju sesuai dengan cara berjalan selain perlu memastikan ekspresi muka, lenggok jalan, lentik jari dan sebagainya selari.

Misalnya jika menyarung helaian baju kurung, takkanlah pula mahu berjalan seperti menyarung busana haute couture bukan? Soal ini menuntut masa dan pengalaman yang mengajar serta mendewasakan kami. Anda perlu profesional dalam bidang ini dan perlu tahu bagaimana pembawaan diri anda di pentas.

Selain itu, anda perlu menjiwai apa yang dipakai dan fahami apa kemahuan klien. Umpamanya, apa yang dirasai itu diterjemahkan dengan cara yang betul. Justeru perlu ada ilmu untuk melengkapi bakat dan kemahiran yang ada.

Biarpun nampak kecil tetapi ia memberi impak besar kepada setiap mata yang memandang. Bagi saya sendiri seperti sesi fotogra hari ini, selepas 10 tahun meninggalkan dunia peragaan; saya perlu mengambil masa untuk mendapatkan mood ketika sesi fotogra ini. Dan itulah juga yang dirasai ketika bergelar model dahulu. Bukan mudah mendapatkan mood untuk menyempurnakan sesuatu tugasan.

Perbezaan cara kerja model dahulu dan model sekarang?

Selepas 10 tahun bersara, saya tidaklah terlalu mengikuti perkembangan semasa dalam bidang ini. Namun oleh kerana saya memiliki perniagaan dan apabila ingin mengadakan pertunjukan saya akan melakukan casting untuk mencari model. Dan apabila melihat wajah-wajah yang hadir ke casting, saya tertanya-tanya adakah semudah ini cara model hari ini bekerja?

Mereka tidak tahu saya adalah bekas model dan saya pernah berhadapan dengan masalah disiplin model-model baru ini. Misalnya jika casting bermula pada 12 tengah hari, mereka tiba jam satu petang dan alasan yang diberi adalah kesukaran mencari tempat, sesat dan sebagainya.

Sedangkan sewaktu era saya mula bekerja sebagai model dahulu, jika tiba lewat beberapa minit di belakang pentas (backstage) bayaran akan ditolak oleh agensi, dijerit dan sebagainya. Kami akan membawa bagasi besar berisi tiga kasut tumit tinggi (hitam, putih dan nude), changing scarf (supaya tidak mengotorkan baju klien), inner, tights dan banyak lagi.

Namun apa yang saya perhatikan model hari ini, mereka tiada disiplin malah lebih menyedihkan ada yang tidak tahu apa itu changing scarf. Dan model dahulu lebih bersedia berbeza dengan model hari ini.

Komitmen mereka kurang, tidak bersungguh- sungguh dan tidak melihat bidang ini sebagai satu kerjaya profesional. Mereka anggap bidang ini glamor dan sekadar suka-suka sahaja.

Kredit foto: Instagram @suhara0302

Apa yang membuatkan Suhara bersara daripada dunia peragaan?

Pertamanya kerana saya hamil anak sulung. Kedua kerana saya merasakan sudah terlalu lama bergelumang dalam bidang ini dan paling terasa apabila the finale walk, saya seorang sahaja model yang berusia dan selebihnya masih belasan tahun dan awal 20-an usia mereka. Dan saya terfikir berapa lama lagi harus saya sibuk dan terkejar-kejar dengan Minggu Fesyen, fashion show ke sana- sini dan sebagainya.

Saya bersara ketika dalam lingkungan umur 33 ke 34 tahun dan berasakan sudah cukup puas merasai semuanya. Biarpun sedikit kecewa dengan beberapa perkara yang sehingga kini masih lagi berlaku dalam dunia peragaan, saya kir sudah tiba masanya untuk saya lakukan sesuatu yang lain pula. Dan kerana itulah saya memilih untuk bersara dan mula membuka perniagaan sendiri.

Mengapa memilih barang kemas dan aksesori sebagai cabang perniagaan?

Saya memang meminati kedua-duanya sejak mula lagi. Malah saya memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan di backstage. Saya mula menjual klip rambut, sepit rambut, subang dan lain-lain kepada rakan-rakan model, jurusolek, jurudandan dan alhamdulillah berkembang hingga hari ini.

Syukur kerana saya membuka butik di Bangsar Shopping Centre pada 2009 dan berkembang daripada aksesori hingga barang kemas seperti hari ini. Saya tidak pernah menyangka akan pergi sejauh ini misalnya dapat meluaskan cabang perniagaan hingga ke luar negara (Timur Tengah dan Brunei adalah pasaran baru) dan dalam masa sama dapat mengukuhkan jenama ini.

Daripada kerjaya sebagai pramugari (Singapore Airlines) kemudian sebagai model dan memiliki perniagaan sendiri, saya sifatkan Allah sudah menyusun atur perjalanan hidup saya dengan cukup cantik. Alhamdulillah untuk segalanya.

Bagaimana pula kisah di sebalik penghijrahan Suhara yang memilih untuk berhijab?


Apabila saya berhenti daripada dunia peragaan dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, saya punya banyak waktu terluang. Tahu-tahu sahaja saya sudah melepasi peringkat umur 20- an, 30-an, daripada bujang dan sudah berkahwin juga mempunyai anak. Maka dengan itu tidak semena-mena saya terfikir, adakah ini yang dinamakan kehidupan?

Apakah sekadar ini sahaja perjalanannya? Apa tujuan kita hidup di bumi ini dan banyak lagi. Dan apabila mula ter kir perihal ini, saya mencari ilmu untuk mendalami apa sebenarnya tujuan kehidupan kita.

Sejujurnya pada kehidupan lalu, saya tidak mempraktikkan cara hidup Islam dalam erti kata sebenar. Saya merasakan solat terlalu berat. Sehinggakan pernah terfikir, memakai tudung adalah agenda terakhir dalam hidup saya (sambil beristighfar).

Lebih rumit, saya mengahwini lelaki dari Eropah (beragama Kristian) dan bertambah keliru dengan soal agama. Kami sering berselisih pendapat kerana percanggahan agama terutamanya soal halal dan haram, dosa dan pahala.

Suami sering bertanya mengapa saya tidak boleh minum alkohol, mengapa tidak boleh makan daging khinzir, mengapa perlu solat lima waktu, mengapa perlu bertudung dan banyak lagi. Saya tiada jawapan kepada semua persoalan ini sehinggakan berasa dangkalnya saya kerana tidak mampu memberi jawapan kepada suami.

Bertitik-tolak dari itulah saya pergi ke kelas untuk mencari ilmu agama. Dan ia bukan kelas biasa kerana saya mengambil kelas comparative religion. Saya belajar agama Buddha, Hindu, Kristian dan Islam.

Sepanjang pembelajaran itu, saya gugurkan daripada mempelajari agama Buddha dan Hindu. Dan apabila tiba suatu masa, saya seolah-olah dalam dilema dan berada di persimpangan sama ada mahu mengikut agama anutan suami atau apa yang saya mahukan.

Saya bebas memilih kerana tiada siapa yang menghalang atau memberi kata putus. Memandangkan kedua-dua ibu bapa sudah meninggal dunia, dan abang saya pula sudah berkeluarga dan sibuk dengan urusannya; maka semuanya terletak di tangan saya. Dan apabila perkara ini terjadi, saya keliru dengan setiap yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Mengapa ada yang baik dan buruk, itu dan ini sehinggakan saya keliru lantas saya membuat perbandingan sendiri bahawa sesungguhnya Islam adalah kebenaran segalanya. Alhamdulillah dengan kuasa dan izin Allah, saya memilih Islam dan saya memilih agama ini bukan kerana saya dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam tetapi hakikatnya Islam adalah agama yang sebenar dalam segala segi. saya selama ini.

Juga seperti saya sudah jatuh cinta kepada agama ini. Mungkin kerana saya gemar membaca buku, maka ia lebih memudahkan segalanya. Dijadikan cerita, saya pernah membeli sebuah buku sirah junjungan Rasulullah SAW yang tebal, 17 tahun lalu. Dan hanya selepas 17 tahun baru saya membuka dan membacanya.

Sebelum ini saya tidak pernah kenal siapa Nabi Muhammad SAW dan hanya tahu menyebut namanya sahaja. Saya mengambil masa tiga hari untuk membacanya. Selepas habis membaca, saya menangis kerana mengagumi sahsiah dan akhlak Baginda seolah- olah saya jatuh cinta pada lelaki agung ini. Betapa mulianya Rasulullah SAW yang diciptakan Allah SWT untuk kita.

Itulah detik mulanya penghijrahan saya. Saya tidak lagi menoleh ke belakang dan memandangkan selepas 10 tahun meninggalkan bidang ini, saya tidak lagi merindui bidang ini.

Saya tidak pernah menerima tawaran atau undangan mana-mana sesi fotografi sembilan tahun lalu dan inilah kali pertama saya melakukannya. Mengapa? Mungkin sekadar mahu berkongsi secebis kisah dan pengalaman saya untuk diteladani bersama.

Saya percaya, apabila kita membina hubungan dan mendekatkan diri dengan Allah, menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, rasa kecintaan terhadap agama ini lebih menebal dan mendalam. Sehinggakan tiada apa lagi yang mahu saya kejarkan.

Itulah yang saya rasai. Baik saya mahupun suami, kami masih belajar untuk mendalami dan memahami perjalanan ini. Kami masih muda dalam perihal ini. Kini saya berasakan hidup lebih tenang, terisi, serba cukup, bersyukur dan paling penting saya merasakan matlamat dan hala tuju kehidupan lebih jelas berbanding kehidupan dahulu.

Rentetan itu saya sering berkata kepada rakan- rakan, kerana berdasarkan pengalaman sendiri; sejujurnya walaupun kita dilahirkan sebagai orang Islam, kita dituntut untuk mencari ilmu dan mendalami agama kita sendiri.

Dan perlu memahami yang mana agama, budaya dan sebagainya. Apabila mendalami Islam barulah saya mendapat gambaran yang jelas dan sangat luas. Umpamanya cahaya yang menerangi segala kegelapan dan kekusutan.

Bagaimana pula dengan kepentingan dan kesedaran untuk mendidik anak-anak dengan ilmu agama?

Kesedaran itu hadir untuk memberi didikan agama kepada mereka lebih awal. Saya mula terapkan nilai tauhid dalam diri mereka. Kerana saya tidak mahu anak-anak melalui apa yang telah saya jalani sebelum ini.

Berdasarkan pengalaman sendiri, apabila saya membesar ibu bapa hanya menyuruh bersolat, puasa, memakai tudung dan lain-lain tanpa memberi penerangan secara teliti dan mendalam.

Dan sebagai anak kita sekadar mengikut sahaja tanpa memahami apakah sebab-musabab, hukum dan sebagainya. Dan apabila tidak faham, bagaimana mahu memupuk nilai tauhid dan akidah dalam diri?

Dan apabila tiada tauhid, bagaimana mahu mengenali Allah lantas memupuk rasa cinta dan merasai keterkaitan dengan-Nya? Apabila nilai tauhid sudah sebati dalam diri, barulah kita mudah dan senang sekali mengikut segala perintah-Nya.

Kredit foto: Instagram @suhara0302

Apa cara yang dipraktikkan untuk Suhara kekal istiqamah dalam penghijrahan ini?

Saya bersyukur, biarpun ramai yang pelik kerana tidak ramai wanita bersuamikan seorang lelaki Eropah tampil dengan imej berhijab. Alhamdulillah, kembali kepada perkara asas kerana semua yang berlaku adalah ketentuan dan kuasa Allah SWT.

Walaupun saya tidaklah alim atau warak, dan masih ada lagi ruang kosong yang perlu saya tampung tetapi Allah memberi kekuatan melalui sedikit ilmu yang saya ada untuk kekal dalam perjalanan ini. Sejujurnya iman kita umpama graf yang ada turun dan naiknya. Dan apa yang membuatkan saya segera kembali ke jalan ini adalah konsistensi ilmu yang saya cari.

Jika tiada iltizam yang kuat, pasti dengan mudah anda akan terpesong dan hanyut kerana itu janji Allah. Dan berbicara soal kehidupan, setiap seorang daripada kita pasti menempuh detik sukar atau ditimpa dengan kesusahan dan masalah.

Dan bagaimana kita boleh tenang menerima hakikat hidup ini adalah dengan kembali kepada Al-Quran. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT ber rman bahawa setiap daripada kita pasti diuji.

Lantas apabila kita mengetahuinya dan dalam masa sama punya kaitan dan mendekatkan diri kepada-Nya, pasti anda akan lebih tenang kerana semua daripada-Nya. Saya bersyukur melaluinya.

Sejak bila mula berhijab?

Saya mula memakai tudung ketika berumur 37 tahun. Bukan soal terdetik tetapi apabila mula mendalami ilmu Allah kita sendiri akan merasa nikmatnya. Apalah sangat nilai sehelai kain ini di dunia yang sementara ini jika mahu dibandingkan dengan Jannah yang Allah janjikan?

Saya dengan rela hati menutupinya. Memandangkan karier saya dahulu daripada bidang peragaan, tidak dina kan ada yang berkata, “Eh, sayangnya rambut you cantik, kenapa you tutup? You kan muda lagi,” dan macam- macam lagi.

Saya sekadar mampu tersenyum selain mengucapkan alhamdulillah kerana sudah bersedia. Selain itu saya tanamkan dalam diri anak-anak mengenai pengisian ilmu akhirat kerana kita diciptakan di dunia ini sekadar persinggahan sahaja. Detik penentuan nanti adalah akhirat. Maka dengan itu tidak perlulah kejarkan dunia glamor umpamanya.

Apa yang menjadi keutamaan Suhara kini?

Perbaiki dan tingkatkan amalan buat bekalan di sana, itu jauh lebih penting daripada kejarkan dunia semata-mata. Selain itu, membesarkan anak- anak dengan memberi didikan agama secukupnya menjadi matlamat saya.

Ramai yang berkata, “Anak you cantik dan tinggi, boleh jadi model macam you,” dan saya sekadar tersenyum sambil berkata dalam hati, mungkin tidak. Dan tahukah anda, salah satu lindungan daripada tujuh kategori yang Allah beri di hari pengadilan nanti adalah orang muda yang membesar dan muda yang taat kepada Allah? Dan saya sudah terlepas daripada perlindungan itu.

Maka dengan itu, saya tidak mahu anak-anak saya melalui apa yang telah saya lakukan ketika zaman muda remaja mereka. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa kerana pada saya semua yang telah berlaku ada pengajarannya tersendiri.

Ia umpama peringatan kepada saya agar lebih bertanggungjawab dan melakukan sesuatu kerana ilmu juga tidak mengulangi kesilapan lalu. Pada saya lebih baik kita bertindak daripada menyesali perbuatan lalu tanpa berbuat apa-apa.

Kredit foto: Instagram @suhara0302

Penerimaan dan tanggapan suami apabila Suhara memilih jalan ini?

Tidak timbul percanggahan atau pertelingkahan yang ketara kerana apabila kita memahami agama dan agama dipraktikkan berdasarkan Al-Quran dan hadis dan bukannya kerana seseorang berkata apa jua; ia akan menjadi lebih mudah.

Misalnya apabila saya memilih untuk berhijab, saya buka Al-Quran dan bentangkan ayat-ayat yang menunjukkan wajib menutup aurat sebagai persediaan apabila suami bertanya. Ketika itu 30 Syaaban.

Walaupun pada mulanya dia bertanya mengenai kepastian saya untuk berhijab dan mendalami ilmu agama. Saya tetapkan pendirian dan menyatakan keputusan saya dan alhamdulillah dia menyokong. Seperti mana dia menyokong karier model saya dahulu, begitu juga dengan penghijrahan ini.

Kami sama-sama belajar dan menekuni agama Islam dengan menghadiri kelas-kelas agama. Begitu juga dengan anak- anak, saya tukarkan sekolah mereka; dari sekolah antarabangsa ke sekolah agama dan syukur suami tidak membantah. Tetapi apa yang lebih penting adalah perlu kekal istiqamah dalam mencari dan mendalami ilmu kerana itulah benteng keimanan.

Pernah rasa terbeban mahu pastikan suami benar-benar di jalan yang betul?

Tidak dinafikan ada ketikanya saya merasa terlalu berat untuk memikul tanggungjawab itu memandangkan suami adalah saudara baru yang memeluk agama Islam.

Sedangkan saya sendiri punya kelemahan dan kekurangan, inikan pula mahu membimbing suami, sukar sebenarnya. Namun saya tidak pernah berhenti berdoa, memohon kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan untuk mendidik suami, anak-anak, dipermudahkan perjalanan saya, diteguhkan iman dan sebagainya.

Itulah doa saya saban hari. Tetapi kami pastikan berkomunikasi setiap hari dan selebihnya berserah kepada Allah. Saya akui bukan mudah bagi saya yang punya kelemahan dan kekurangan ilmu, rasanya seolah- olah tidak mampu untuk menariknya kembali kepada jalan ini.

Tetapi semuanya berbalik kepada ilmu. Apabila kita mempunyai ilmu, insya-Allah dengan izin-Nya Allah akan menunjukkan ke jalan yang betul.

Konsep berhijab pada pandangan Suhara yang perlu difahami?

Tudung bukanlah satu tanda mutlak anda sudah berhijrah, tidak semestinya. Ada yang memakai tudung mungkin kerana fesyen, atau kerana terikut-ikut. Jika orang bertudung anda pun mahu bertudung. Pada saya itu adalah tafsiran yang tidak tepat.

Hijrah yang sebenar-benar adalah lahir dari dalam diri, hijrah yang sebenarnya adalah bagaimana kita mampu melawan nafsu sendiri. Niat adalah tunjang dan punca segalanya. Tudung itu padasayaumpamanyasalahsatukenderaanyang mendekatkan diri kita dengan Allah.

Tetapi terdapat banyak cara yang boleh mendekatkan diri kita kepada-Nya. Selama hidup ini, kita makan atau apa yang diambil misalnya penjagaan diri untuk kulit 'luaran' sahaja.

Makan sehingga kekenyangan dan tidak kurang juga memudaratkan kesihatan. Tetapi pernahkah kita ter kir bahawa jiwa dan dalaman kita juga perlu dibekalkan dengan ‘makanannya’.

Rentetan itulah yang menyebabkan jiwa kita bercelaru, kusut dan sebagainya. Kerana Allah SWT berkata, hanya dengan mengingati-Nya jiwa kita akan tenang dan meraih kebahagiaan. Inilah mesej yang ingin saya kongsikan. Dan apa yang lebih penting adalah, jangan jumud walaupun sudah berhijab. Biarpun kepala anda tertutup tetapi hati dan pemikiran juga harus terbuka.

Jangan mudah menjatuhkan hukum atau memandang serong terhadap orang lain. Bukankah bersangka baik itu lebih manis? Atau perkara mudah yang boleh anda lakukan adalah mendoakan sahaja yang terbaik untuk sesiapa jua kerana hakikatnya kita sebagai manusia tidak sempurna. Perbaiki, tampung yang mana kurang dan cari cara agar kekal istiqamah itu jauh lebih baik.

Kredit foto: Instagram @suhara0302

Apabila melihat semula koleksi foto terdahulu, apa yang terlintas dalam fikiran Suhara?

Ya Allah, malunya! Pernah terjadi, anak saya melihat koleksi foto peribadi saya sewaktu aktif di pentas peragaan dahulu. Mulanya saya menyimpan foto tersebutdi dalam kotak besar. Namun entah bagaimana dia terjumpa, membuka lalu terperanjat.

Katanya, “Mummy, you did not obey Allah? You show your aurat?” Dia membebel kepada saya. Tetapi saya jelaskan semuanya secara terperinci mengenai kesilapan lalu kerana tidak mempunyai ilmu ketika itu yang membuatkan saya tidak sedar dengan segala tindak-tanduk itu.

Dan kerana itu saya terangkan mengapa saya mendidiknya dengan ilmu agama, mengapa saya menghantarnya ke sekolah agama dan sebagainya. Apa yang saya harapkan adalah kehidupan saya berakhir dengan kesudahan yang baik, mendidik anak-anak ke jalan yang diredai-Nya.

Sesungguhnya dunia glamor ini tidak membawa ke mana-mana dan tidak menjanjikan apa-apa. Biarpun orang berkata, “Oh, gambar you cantik, you carry the dress well,” tetapi hakikatnya apabila pulang ke rumah, anda keseorangan yang membuatkan anda berasa sunyi. Itulah yang membuatkan saya tertanya-tanya dan akhirnya memilih jalan ini dan berdoa agar kekal istiqamah.

Hikmah selepas berhijab?

Tidak dina kan selepas saya berhijab ramai yang terkejut. Kata mereka, bagaimana saya mahu menjual koleksi aksesori dan barang kemas sementelahan saya berhijab?

Kembali kepada perkara asas, bukankah rezeki itu pemberian Allah? Dan alhamdulillah biarpun sudah berhijab dan dalam masa sama menjalankan perniagaan ini, rezeki itu hadir dari sumber yang tidak disangka- sangka.

Misalnya pintu-pintu istana di Abu Dhabi terbuka luas selepas saya berhijab. Bukan mahu membangga diri tetapi inilah kuasa dan pemberian Allah SWT. Rezeki semakin bertambah apabila saya berpeluang masuk ke istana yang seperti mahligai, dapat bertemu dengan puteri-puteri pembesar di sana yang akhirnya menjadi klien saya.

Memasuki istana di sana, membuatkan saya terpempan melihat kekayaan yang mereka ada. Dan tidak semena-mena terdetik dalam hati kecil, saya memulakan perniagaan ini di backstage dan tidak pernah menyangka sama sekali akan dapat melangkah ke istana di luar negara.

Betapa besar dan benarlah janji Allah. Apabila saya menerima hidayah-Nya kemudian saya cuba mempraktikkan apa yang dipelajari, alhamdulillah Allah SWT lorongkan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Misalnya saya menutup kedai ketika solat Jumaat, walaupun kakitangan dan klien saya adalah wanita kerana maklum dan sudah termaktub dalam Al-Quran urusan jual beli diharamkan ketika itu. Dan mungkin apabila dipraktikkan, ia menjadi keberkatan.

Malah saya tidak pernah merasa takut akan kerugian dan sebagainya. Kerana sudah tahu,jelas dan faham bahawa sesungguhnya rezeki adalah pemberian Allah SWT. Jika kita tekun mengikutinya ,insya-Allah akan dipermudahkan segalanya.

Selain itu, ada juga dalam kalangan klien saya yang rata-ratanya terdiri daripada golongan kenamaan, VIP dan lain-lain meminta bantuan dan pendapat saya mengenai pemakaian hijab.

Ada antaranya meminta saya membelikan tudung dan bertanyakan bagaimana dan apakah langkah permulaan yang perlu dilakukan? Saya sifatkan mungkin ia jihad kecil saya untuk sama-sama membantu mereka ke arah jalan yang lebih baik. Dan selebihnya saya serahkan kepada Allah.

Apa mesej yang ingin Suhara sampaikan buat semua pembaca InTrend?

Carilah ilmu dan tekunilah ia sebaiknya. Janganlah hanya kita bersandarkan pada agama Islam semata-mata, ia bukan tiket selesa untuk kita merasa lengkap dan sempurna.

Lakukan sesuatu kerana ilmu dan bukan sekadar ikut-ikutan. Zaman kini lebih mudah dengan segala teknologi justeru manfaatkan sebaik mungkin. Juga pada saya, untuk mendalami ilmu agama anda perlu berguru.

Cari dan rujuklah kepada mereka yang lebih arif dalam soal ini. Belum terlewat untuk kita mencari dan mendekatkan diri kepada-Nya kerana sesungguhnya hidayah dan setiap sesuatu yang berlaku kepada kita adalah dengan izin dan ketentuan-Nya. Jangan pernah berhenti mencari dan memohon pada-Nya.