Highlights
“Hikmah PKP Duduk Dirumah? Saya Tak Merasainya. Yang Ada Cuma Derita Yang Menyiksakan” – Suraya
Bagi sesetengah orang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi hikmah daripada pelbagai sudut. Sama ada mengukuhkan hubungan suami isteri, mengeratkan jalinan kemesraan sesama anak, meningkatkan kemahiran memasak, memperbaiki hubungan dengan Maha Pencipta dan banyak lagi. Walaupun ada yang merungut kebosanan, mengadu hilang mata pencarian tetapi di penghujungnya ia tetap dipatuhi. Walaupun bukan semua kerana ada sahaja yang mengingkari arahan kerajaaan itu, namun demikian secara majoritinya masih ramai yang duduk diam-diam dirumah. Tetapi bagi Suraya lain pula ceritanya. Tempoh PKP yang dijalani selama 45 hari bagaikan tsunami dan malapetaka yang tidak akan luput dalam ingatan sepanjang hayatnya. Ini kisahnya.
Kredit Foto: Google
Tanggung Derita 45 Hari
Suraya dan Azli baru lima tahun mendirikan rumahtangga. Dikurniakan sepasang cahaya mata kembar perempuan, hidup mereka awalnya cukup bahagia walau serba-serbi sederhana. Suraya bekerja sebagai pembantu taska manakala suaminya Azli bertugas sebagai juruteknik di salah sebuah syarikat telekomunikasi secara kontrak.
Namun dek kerana tempoh perkhidmatannya tidak disambung susulan PKP, maka hilang sudah punca utama pendapatan mereka sekeluarga. Duit simpanan yang ada pun tidaklah sebanyak mana. Dan sungguh, mereka amat terkesan dengan tempoh PKP ini.
Jika sebelum ini kalaupun Suraya tak punya wang mencukupi, menjadi tanggungjawab Azli untuk membantu. Memandangkan gaji Azli lebih besar, maka segala bebanan kewangan seperti sewa rumah, bil utiliti, ansuran kereta, belanja dapur tergalas dibahunya. Manakala Suraya pula membantu menguruskan rumahtangga dengan menyediakan keperluan anak-anak mereka iaitu susu, lampin pakai buang, pakaian dan bayaran bulanan taska. Mujur dia pembantu di taska itu, lantas dengan ihsan pemilik taska; wang yuran bulanan hanya perlu dibayar separuh. Itu sudah cukup melegakannya.
Lantaran sudah hilang pekerjaan, saban hari yang dilalui cukup membuatkan Azli dan Suraya tertekan. Tempoh PKP menjadi halangan bagi Azli untuk mencari pekerjaan lain. Dan mereka kerap bergaduh kerana soal duit. Azli sering kali memarahi Suraya kerana dikatakan isterinya tidak pandai berjimat-cermat dalam perbelanjaan dapur. Hari yang bersilih ganti terus diharungi dengan pelbagai siri pergaduhan dan pertelingkahan. Bahkan hingga berlanjutan dalam soal hubungan intim. Dek kerana penat menguruskan kembar mereka yang baru berusia dua tahun, dan dalam masa melakukan kerja-kerja rumah; menyebabkan Suraya tidak dapat memenuhi tuntutan batin suaminya.
Kredit Foto: Google
Bila ‘Tak Dapat’ Dibelasahnya Cukup-Cukup
Tekanan emosi yang dialami Azli turut mengheret Suraya dalam situasi sama. Tidak pernah seharipun mereka tidak bergaduh dan bermasam muka. Dan apabila Suraya tak dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk melayani hubungan intim, Azli akan terus mengugut dan mencederakannya. Dilibasnya tubuh Suraya dengan tali pinggang, penyangkut baju, getah paip dan apa jua yang sempat dicapainya.
Berbirat, berdarah dan penuh dengan kesan lebam pada tubuh Suraya. Tidak tahu kepada siapa harus dia mengadu dan tuntuan PKP jadi penghalang untuk Suraya keluar mencari perlindungan dan meminta pertolongan. Semuanya gara-gara suaminya itu mengugut akan tularkan rakaman video hubungan intim mereka yang dirakam tanpa pengetahuan Suraya.
Sungguh, Suraya tersepit dan situasi semasa menambahkan lagi derita yang ditanggung. Namun hati isteri tetap teguh menginsafi apa yang berlaku. Dia tidak menyalahkan takdir sebaliknya terus mendekatkan diri dengan Maha Pencipta. Berdoa dan terus berdoa moga Allah beri petunjuk dan jalan keluar daripada masalah yang dihadapinya.
Jauh disudut hati dia masih mengharap agar hubungannya dengan Azli kembali pulih. Doa terus dititipkan agar Allah angkat doanya, mendengar rintihannya supaya ada ‘kuasa’ yang mampu menundukkan suaminya. Melembutkan ego suaminya yang sebelum ini tidak pernah panas baran terhadapnya.
Talian Kasih Jadi Penyelamat
Kiriman SMS oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diterima 20 Apri lalu mengenai Talian Kasih dibuka untuk memaklumkan kes keganasan rumahtangga dan penderaan sepanjang tempoh PKP; sedikit sebanyak menguatkan semangat Suraya. Dia nekad untuk menghubungi talian ini dan meluahkan masalah yang dialami bersama kaunselor.
Kredit Foto: Google
Hinggalah keesokan harinya, kaunselor bertandang ke rumah dan minta Azli mengikut mereka untuk membuat siasatan lanjut. Tercengang Azli kerana tidak menyangka isterinya berani bertindak sejauh itu. Ditahan amukannya dengan menumbuk kuat ke dinding kerana tidak berpuas hati diperlakukan sebegitu. Hinggakan beberapa anggota polis turut meredakan keadaan. Namun sudahnya dia akur kerana mengakui kesalahannya yang melakukan penderaan terhadap Suraya. Tidak mengendahkan jiran tetangga yang keluar melihat apa yang berlaku, Suraya terus membisu. Dia membawa anak-anak bersama ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kes ini. Dan siasatan mendapati Azli bersalah dan kini menjalani tahanan reman sehingga dibicarakan.
Inilah yang diceritakan Suraya usai taska dibuka kelmarin. Tidak hairanlah mengapa dia lama tidak muncul berkongsi foto kembar dan mereka sekeluarga di Facebook. Rupa-rupanya ada cerita lain disebaliknya. Seolah-olah mencari kekuatan sendiri, dia nekad menceritakan perihal rumahtangga kepada keluarga mentua dan keluarganya sendiri. Tak tertanggung kesakitan dan derita yang dialaminya dan mujur keluarga mentua memahami. Semoga ada sinar di penghujungnya buat Suraya dan anak-anaknya. Kerana sesungguhnya Allah tidak menguji hamba-Nya melainkan Dia mengetahui kemampuan seseorang untuk menghadapinya. Terus kuat Suraya demi Sarah dan Farah yang masih kecil itu. Allah akan sentiasa bersama kamu.