Penulis ada seorang kenalan yang mulut sentiasa laju mengirim ole-ole kalau ada kawan-kawan yang ke luar negara. Kita yang tak sampai hati ini pun belikanlah, tak mahu dia berkecil hati. Tapi, apabila dia pula kemana-mana dan kita kata ‘jangan lupakan kami ya’, balik-balik tangan kosong juga. Alasan, “Tak cukup masa berjalan.” Tahu pula dia ya.


Budaya suka memesan barang ini sepatutnya dielakkan. Jangan dijadikan kebiasaan kerana yang pertamanya; kita tidak tahu kemampuannya. Ke dua, batas masa dia di sana, apa program dia? Sama ada bekerja atau ada sesuatu misi penting. Ke tiga, daripada segi muatan dan bagasi, adakah kerana barang kita itu, had muatan begnya akan bertambah?


Jadilah, manusia yang bertimbang rasa sedikit. Walaupun ada yang mungkin manis mulut menawarkan, “Mahu pesan apa-apa ke?” Fikirlah dengan akal yang matang. Kirimlah benda yang mudah untuk dicari dan bersaiz yang tidak menyusahkan untuk dibawa pulang. Fahamkan keadaan mereka yang mungkin mahu pergi dan balik dengan tenang tanpa memikirkan tanggungjawab mencari pesanan kamu itu.



Kredit Foto: Google


Ada Pula Yang Kirim Dengan Air Liur Saja


Ini yang paling menyakitkan hati. Mesti ada pernah kena dengan kawan-kawan atau saudara-mara ketika mahu memesan katanya; “Pakailah duit kau dulu ya. Nanti balik aku bayar.” Tambah-tambah kalau kita ke luar negara dengan mata wang berbeza. Pastinya duit yang ditukar cukup-cukup untuk belanja sendiri di sana.


Disebabkan kiriman tanpa wang itu, kita terpaksa berkorban kurangkan belanja sendiri. Atau terpaksa menukar lagi sejumlah wang di sana. Ini yang dikatakan orang tak berotak. Pentingkan diri, asal sahaja keinginan sendiri tercapai, dia tidak kisah masalah orang lain. Tidak difikirkan masalah dan perasaan orang lain.



Kredit Foto: Google


Ada Sesetengah Barang Itu Di Mana-Mana Pun Ada


Kalau tak percaya cuba tengok di belakang barang itu. Made from mana? Kebanyakannya dari China, bukan? Jadi, apa yang dihadap sangat ole-ole dari negara orang itu. Kalau setakat magnet peti ais, poskad atau t-shirt untuk melambangkan sesebuah negara itu, mungkinlah boleh diterima, tapi kalau dipesannya pinggan mangkuk, pasu, karpet bagai, bukankah pelik?


Ada juga yang memberi alasan, harga barang itu lebih murah di sana berbanding di negara sendiri. Sebagai contoh beg tangan buatan negara itu. Ya, mungkinlah. Namun, sekarangkan sudah ada pembelian atas talian atau boleh sahaja menggunakan khidmat personal shopper. Apa saja yang kamu mahu boleh dicari, melainkan kamu ‘berkira’ untuk bayar caj penghantaran?


Dan, tidak pula kamu terfikir orang yang terpaksa pergi membeli barangan kamu itu kemungkinan terpaksa menambah duit pengangkutan ke kedai terbabit? Atau caj tambahan berat bagasi berlebihan? Atau menanggung cukai tersembunyi? Atau terpaksa membatalkan sesuatu agenda lain kerana kesuntukan masa semata-mata mahu mencari kirimanmu itu?


Jadi, fikirlah sejenak sebelum membuat senarai pesanan. Jika tidak ditanya oleh orang itu, tidak perlulah beria-ia mahu mengirim. Jika ditawarkan sekali pun, berpadalah. Tanyakan juga kemampuan orang itu untuk merealisasikan permintaanmu itu. Jika tidak, simpan duit, ada rezeki, kamu pergilah sendiri, okey?



Kredit Foto: Google