Noor Suhada Mohamad, wanita berusia 35 tahun ini bukanlah seseorang yang istimewa di mata masyarakat. Dia bukan idola sesiapa, jauh sekali diagung-agungkan seperti selebriti. Namun, hari ini, dia membuktikan sesuatu yang membuka mata masyarakat betapa khidmatnya kini berada di barisan paling hadapan dalam memastikan negara tidak hancur! Besar bukan peranan beliau kini sebagai jururawat yang terus merawat pesakit positif Covid-19 yang semakin menggila.


Jurururawat ini berasal dari Bagan Serai, Perak. Mula menceburi bidang kejururawatan sejak 14 September 2009 di Hospital Parit Buntar, Perak dan ditugaskan di wad perempuan multidisplin. Punya suami dan anak, namun kini insan-insan tersayang itu ditinggalkan jauh demi perjuangan dan mahu berbakti kepada negara tercinta. Tidakkah kalian semua seharusnya memberikan sekalung penghormatan kepada insan berjiwa mulia ini? Juga teman-teman seperjuangannya yang lain. Wajar bukan?









Bagaimana boleh terpilih untuk menjadi salah seorang jururawat yang bertugas merawat pesakit positif Covid-19?

Pada 9 Mac yang lalu, sister ada membuat taklimat mengenai perkara ini dan bertanyakan kepada kami semua, andai ada yang mahu dipinjamkan ke Hospital Sg. Buloh untuk membantu kakitangan di sana merawat pesakit Covid-19. Dan, saya tanpa berfikir panjang terus menawarkan diri secara sukarela. Pada mulanya, suami agak berat hati untuk membenarkan, namun setelah kami berbincang panjang dan saya luahkan niat saya yang ingin membantu, beliau reda dan izinkan. Maka, pada 10 Mac saya bergerak ke Sg. Buloh.



Bagaimana tergerak hati mahu menawarkan diri?

Saya hanya terfikirkan rakan-rakan di sana yang pasti dalam kesulitan dan memang niat saya mahu membantu negara kita merawat wabak ini. Saya bulatkan hati untuk menunaikan tanggungjawab saya kerana Allah swt. Ini adalah amanah-Nya juga untuk masyarakat. Ia bukan selalu terjadi, dan inilah jasa saya yang tak seberapa untuk negara. Bila lagi?








Bagaimana skop tugasan Suhada merawat pesakit positif ini?

Ketika ditugaskan di Hospital Sg.Buloh, saya diletakkan di pusat saringan. Setiap hari, memang ramai orang yang datang buat saringan. Kami bekerja mengikut syif. Boleh saya katakan sepanjang tugasan itu, kami tiada waktu rehat. Kalau ikut jadual normal, jadual kerja kami masuk pukul tujuh pagi, balik jam dua petang. Namun, sekarang ini kami terpaksa balik jam empat petang. Tugas kami di pusat saringan adalah membantu doktor megambil sampel dan mendaftarkan pesakit. Dan, sekarang saya ditugaskan di Hospital Besar Ipoh di bahagian wad menjaga pesakit positif Covid-19. Saya tidak nafikan ia lebih mencabar kerana perlu memakai Personal Protective Equipment (PPE) dan keselamatan perlu dititikberatkan sepanjang masa.



Khabarnya uniform atau PPE yang perlu kalian sarungkan sangat ‘ekstrem’ pemakaiannya?

Benar. Ia sangat panas, tak selesa dan berlapis-lapis seperti apa yang anda tengok di media sosial sekarang ini. Begitulah yang perlu kami sarungkan setiap hari sebelum memulakan tugas. Kita akan memakai OT Attire, kemudian PPE. Sepanjang memakainya, memang sukar untuk bernafas. Kita perlu mematuhi SOP dalam pemakaian PPE itu. Ia perlu dipakai dan ditanggalkan dengan berhati-hati kerana dengan sedikit kecuaian boleh menyebabkan virus berpindah kepada kita atau orang lain. Setiap kali kita menanggalkan PPE, setiap kali itulah kita perlu terus mandi.









Sudah berapa kes yang Suhada kendalikan setakat ini?

Sewaktu saringan tempoh hari lebih 50 kes tetapi sekarang di wad sekitar 20 kes.



Kalau boleh Suhada kongsikan sedikit keadaan pesakit yang didapati positif?

Alhamdulillah, keadaan mereka yang berada di bawah jagaan saya sudah okey. Tiada masalah, semuanya memberikan kerjasama yang baik dan mereka kuat semangat. Walaupun mereka sedih, apa lagi sakit ini tidak boleh menerima kunjungan seisapa, namun mereka kuat melawan sakit itu. Sepanjang pengalaman saya, yang paling tidak dapat saya lupakan apabila mendepani pesakit wanita yang sedang hamil tujuh minggu. Allah saja yang tahu melihat dia diuji saat-saat genting seperti itu. Tetapi, syukurlah beliau nampak tenang saja. Dan, ada lagi satu kes yang sungguh menyayat hati apabila bayi berusia sembilan bulan terpaksa datang untuk ambil swab kerana ibunya positif Covid-19 tapi ayahnya negatif. Allahu, sedih sangat melihatnya kerana ia agak menyakitkan apabila perlu ambil swab di hidung dan mulut.



Ada tak perasaan give up atau penat yang keterlaluan?

Alhamdulillah, tiada give up. Saya akui ia memang memenatkan kerana bertugas tanpa rehat namun kami sentiasa berfikir positif dan tak mungkin give up. Dalam hati, sudah tekad untuk membantu seramai boleh masyarakat untuk menangani wabak ini.








Siapa kategori pesakit yang berada di bawah jagaan Suhada?

Pesakit biasanya daripada golongan yang sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan seperti asma kerana golongan ini mudah dijangkiti.



Ada tak perasaan takut atau risau mengendalikan kes ini?

Saya bersyukur sepanjang saya mengendalikan saringan dan pesakit, Allah berikan saya kekuatan dan tidak langsung ada perasaan takut itu. Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk jelaskan perasaan ini? Hanya dengan satu niat kerana Allah swt, Insya-Allah semuanya akan okey. Saya tidak sabar mahu melihat pesakit-pesakit sembuh semula. Itulah yang membuatkan kami kuat. Kami sangat gembira apabila mendapat perkhabaran ada pesakit yang sembuh. Ia bagaikan satu kepuasan buat kami di sini. Hanya rasa syukur yang mampu kami panjatkan kepada Yang Maha Esa.


Ada rakan-rakan seperjuangan yang positif Covid-19?
Ada.







Bagaimana berjauhan dengan suami dan anak?

Sudah hampir sebulan saya tidak bertemu mereka. Hanya sesekali kami berhubungan melalui panggilan telefon dan video call untuk melepaskan rindu. Kalau ditanya perasaan sekarang ini, tipulah kalau tak sedih. Tapi macam yang saya katakan tadi, kesibukan kami menjadikan misi ini satu keutamaan buat masa ini. Semoga semua ini akan berakhir secepatnya dan kami pun boleh kembali ke pangkuan keluarga. Amin.


Suhada antara insan terpilih yang dapat berbakti di saa-saat kritikal seperti ini dan melihat sendiri wabak ini secara dekat, apa pengajaran terbesar yang Suhada pelajari?

Banyak sebenarnya. Namun, yang paling penting adalah mendidik saya menjadi lebih sabar kerana tanpa kesabaran kami tidak mampu melalui detik-detik ini. Ke duanya, keikhlasan dan akhir sekali hargailah orang di sekeliling kita selagi dipinjamkan masa yang kita sendiri tidak tahu bila dan bagaimana akhirnya?








Harapan dan nasihat Suhada kepada rakyat Malaysia?

Saya harap semua rakyat Malaysia sedar akan bahaya virus ini dan tidak memandang ringan mengenainya. Tolong ambil serius arahan kerajaan untuk sama-sama menangani wabak ini. Amalkan pencucian tangan yang betul dan penjagaan diri yang sempurna. Usah pentingkan diri sendiri hanya untuk kepuasan nafsu yang seketika. Ini bukan lagi tentang diri kita tetapi ia melibatkan keseluruhan masyarakat. Terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama anda. Sama-samalah kita berdoa semoga wabak ini akan berakhir dan kita semua dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala. Pasti semua kita merindui kebebasan dulu, kan? Insya-Allah kita mampu lakukannya.