Highlights

Ieda, Nazia Meratap Kenang Detik Berbaik Semula di Hujung Hayat Arwah Maya. “Ralatnya Sampai Sekarang...”

gempak
Afiza Kamarulzaman
15/07/2021
14:41 MYT
Sponsor Banner
Ieda, Nazia Meratap Kenang Detik Berbaik Semula di Hujung Hayat Arwah Maya. “Ralatnya Sampai Sekarang...”
Dalam episod kali ini, Rumah No 107 menjemput Ratu Latah Malaysia, Ieda Moin dan Nazia Mustafar secara maya berbual santai. Ketika menonton teaser awalnya, penulis menjangkakan akan ketawa sepanjang siaran. Namun, rupanya ada kisah paling sedih yang dikongsikan mereka buat penulis juga bertakung air mata.
Sahabat sejati tidak ramai, selalunya kita ada seorang atau dua ke tiga orang sahaja. Selain keluarga dan pasangan, sahabatlah yang paling banyak berkongsi kenangan sama ada yang suka atau lara. Di sebalik karakter ceria yang selalu dipamerkan kedua sahabat ini, rupanya terselindung cerita paling duka pernah mereka lalui.
Menerusi program itu, Ieda sempat mendedahkan yang mereka sebenarnya mempunyai empat sekawan yang sangat akrab iaitu Ieda, Nazia, Amyza Adnan dan arwah Mya atau dilebih dikenali sebagai Maya Matahari. Persahabatan yang sudah terjalin lama itu akhirnya menjadi renggang atas satu isu yang menjadikan mereka mangsa keadaan.
“Nak dijadikan cerita, satu subuh tu dalam jam 4 pagi, Kak Long Amelina called saya. Dalam nangis-nangis dia nasihat, Ieda dahlah tu, mengalahlah. Kau tahu tak Maya dah tak lama, dia tenat... Masa tahu tu saya terkedu tak tahu nak cakap apa. Terus saya telefon Nazia dan kami sepakat untuk menziarahinya,” cerita Ieda dalam derai air mata.
Sambung Nazia, “kami dah janji sebelum sampai nanti kita jangan nangis tau. Tapi, sebaik saja kami sampai dan pintu dibuka, terlihat katil di tengah ruang tamu dan kelihatan arwah yang dah merenung kami di pintu, meraung juga kami memeluk arwah waktu itu. Dia pula yang tenangkan kami, minta maaf... Allah...”
Seperti yang kita tahu, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Matahari, Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee meninggal dunia akibat barah tisu pada18 Mac tahun lalu. Allahyarham, yang dilahirkan di Johor Bahru difahamkan menghidap barah tisu sejak 2019. Namun, arwah tidak mahu menghebahkannya. Tidak hairanlah apabila mereka pun hanya tahu pada detik akhir pemergian arwah.
Gambar kenangan bersama arwah
Sesuatu Yang Sangat Ralat Mengiringi Arwah
Pastinya pemergian sahabat itu sangat dirasai mereka kerana tidak sempat untuk menyambung kembali ikatan yang terlerai dalam kecepatan masa. Disebabkan ego dan dendam, enam tahun mereka bazirkan masa untuk kembali membina kenangan baru seperti dulu.
Mengenang kembali momen akhir itu, cerita Ieda lagi, “lebih kurang empat hari sebelum arwah pergi, dia telefon saya cakap dia nak krim sapu luka yang arwah pernah belikan untuk saya dulu. Krim tu bagus untuk cepat keringkan luka. Saya kata okey, saya akan belikan. Tapi entah macam mana banyak halangannya, saya dapatkannya agak lewat.
Waktu datang melawat arwah tu, dia merajuk tak mahu cakap dengan saya kerana saya lambat. Kata Maknya, semalaman dia tak tidur mungkin sebab tu juga arwah bad mood. Tapi, tiba-tiba dia suruh saya urutkan kaki dia. Saya pun urut kakinya dan ketika saya rasa tapak kakinya, saya dah tak rasa tulang, lembik. Ya Allah, masa tu air mata dah tak terbendung.
Kak Long Amelina pun urut-urut belakang badannya. Dalam kata dia dah lama tak tidur tu, tiba-tiba sahaja dia boleh terlena ketika kami masih mengurut badannya. Dia tidur sangat lena sampai berdengkur. Jadi, kami pulang tanpa sempat kejutkan atau cium dia, niat kami tak mahu ganggu tidurnya. Rupanya, itulah kali terakhir saya mengadapnya.”
Apabila ditanya apakah perkara paling ralat yang mereka rasakan sehingga kini? Pintas Nazia, “Sampai ke hari ini saya rasa sangat terkilan kerana tak sempat nak cakap kat arwah yang saya sayangkan dia, saya rindukan dia. Memang, sebelum saya tahu dia sakit terdetik di hati saya tiba-tiba rindukan dia tapi tak terucap...” ujar Nazia diiringi linangan air mata.
Tambah Ieda, “inilah yang kami belajar dan menjadi pengajaran dalam hidup kami betapa ego dan dendam itu merugikan kami. Kami sia-siakan beberapa tahun melayan perasaan benci. Sampaikan saya pernah cakap dulu, kalau saya mati pun, saya tak nak dia datang tengok jenazah saya. Allah. Siapa sangka, rupanya dia yang pergi dulu dan saya berpeluang melihat jasadnya...”
Dan kata mereka lagi, sebaik sahaja jenazah arwah selamat dikebumikan, mereka terus membuat ‘group’ untuk mereka bertiga. Untuk apa? Untuk tidak mengulangi lagi perasaan terkilan itu dan menyesal seumur hidup dek sikap tidak mahu ambil peduli lagi.
Al Fatihah buat arwah Mya....
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024