Highlights

Indahnya Kalau Kita Berlapang Dada, Memahami Tafsir Rezeki Itu Luas Maknanya. Pasti Kita Takkan Tertanya-Tanya.

gempak
Huda Hussain
20/08/2020
02:00 MYT
Sponsor Banner
Indahnya Kalau Kita Berlapang Dada, Memahami Tafsir Rezeki Itu Luas Maknanya. Pasti Kita Takkan Tertanya-Tanya.
Kerana masih terdapat lagi segelintir dalam kalangan kita yang belum memahami konsep sebenar rezeki. Juga masih ada lagi yang suka membanding-bandingkan kehidupan yang dijalani dengan kehidupan orang lain. Secara tidak langsung terbit rasa cemburu, iri hati, dengki dan semuanya yang berkisarkan sifat negatif semata-mata. Hingga mungkin kita lupa, setiap apa yang Dia aturkan untuk kita takkan pernah sama perjalanannya. Ada yang perlu meniti jalan yang susah, berliku dan beranjau onak duri barulah dapat mengecap manisnya nikmat pemberian Tuhan. Tidak kurang pula ada yang mudah sahaja laluannya. Singkat dan tak perlu menunggu lama. Tahu-tahu saja sudah ada di depan mata.
Kredit Foto: Google
Inilah uniknya perjalanan dalam meniti kehidupan sehari-harian. Betapa perlunya kita memahami sedalamnya setiap yang ditentukan untuk kita. Seperti kata Buya Hamka atau nama lengkapnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (dilahirkan di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia pada 17 Februari 1908 – 24 Julai 1981) seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia. Memetik antara hasil tulisannya yang cukup mengesankan dalam soal rezeki adalah keterkaitan soal penerimaan dan usaha.
Kau belajar tentang sirah dan tahu Mariam tidak berkahwin tetapi mendapat anak. Itu rezeki dia. Kau lihat pula sirah Aishah, kahwin tetapi tidak mendapat anak. Itu pula rezeki dia. Allah S.W.T menghantar Musa ke rumah Firaun sebagai anak angkat untuk membawanya ke Syurga. Tetapi, tetap juga Firaun menjadi manusia paling celaka yang memilih neraka. Allah S.W.T menghantar Nuh untuk menyelamatkan kaumnya tetapi anak isterinya sendiri derhaka dan enggan menerima dakwah Baginda. Pelajari sesuatu dari kisah-kisah seperti itu.
Kredit Foto: Google
Sesungguhnya, rezeki masing-masing tidak sama. Ada baik dan buruknya. Orang yang ada suami, ada isteri, ada anak-anak, bermakna ada tanggungjawab. Mudah dapat pahala dan mudah juga mendapat dosa.
Yang tidak bertemu jodoh, yang tidak dikurniakan zuriat pun satu rezeki juga. Rezeki terlepas tanggungjawab dan risiko menjawab depan Allah S.W.T kelak. Jadi sebelum kau mengeluh tentang itu ini, kau fahami dahulu apa itu Rezeki. Ada tidak semestinya untung dan tiada tidak semestinya rugi.
Kau perolehi apa yang kau mahu tidak semestinya kau boleh terus bergembira. Kau tidak dapat apa yang kau mahu, tidak semestinya kau tidak boleh bahagia. Takdir Allah S.W.T ini misteri sifatnya. Mungkin air mata reda yang kau titiskan dalam mengharung kepayahan itulah yang akan menghanyutkan kau ke Syurga.
Kredit Foto: Google
Oleh itu, ingatlah sentiasa dan bertaqwalah. Rezeki itu bukan bermakna kau dapat apa yang kau mahu. Tetapi, bila kau terima (reda) apa yang Allah S.W.T berikan. Kau akan bahagia jika kau ikhlas menerimanya. Percaya dan terimalah. Berusaha dan bertawakal. Redalah pada apa yang ada dan apa yang kita dapat dan nikmati hari ini.
Bersyukurlah agar kita menjadi orang yang terhindar dari sifat angkuh dan sombong. Moga juga kita terhindar dari orang-orang yang rugi dan ditipu serta lalai.
Sumber: tzkrh.com
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live