Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ingat 6 Pesanan Orang Tua Dahulu Kalau Nak Hidup Bahagia Dan Kekalkan Kasih Sayang Suami Isteri.

Huda Hussain
10/07/2020 15:10 MYT
Melayari kehidupan dan bahtera rumahtangga bukanlah semudah yang disangka. Ada masa gembira, ada ketikanya bermasam muka hingga tak bertegur sapa dan begitulah pasang surutnya. Tetapi pilihan terletak di tangan kita. Bagaimana kita mengemudi atau mencari jalan keluar daripada sesuatu masalah, terpulang kepada kebijaksanaan kita dan pasangan.
Dan mengekalkan kasih sayang sesama suami isteri memerlukan kerjasama dan usaha kedua-duanya. Yalah, kalau tepuk sebelah tangan masakan berbunyi? Berikut disenaraikan petua dan pesanan orang lama bagaimana mengeratkan hubungan kasih sayang sesama suami isteri.


Pesan 1: Cerialah Selalu
Lupakan seketika masalah dipejabat atau gangguan lain. Selalulah bergurau, berinteraksi dengan pasangan. Kenapa? Kalau kita selalu bergurau secara tidak langsung hidup kita bertambah ceria, penuh dengan pelbagai warna. Dengan bergurau, hati yang gundah gulana akan menjadi tenang dan lapang. Tidaklah serius memanjang.


Kredit Foto: Google

Pesan 2: Mandi Bersama
Ops, ada yang tersipu malukah ketika tiba dalam huraian ini? Janganlah begitu. Apa nak dimalukan? Kaliankan sudah menjalin ikatan halal disisi agama. Makanya banyak lubuk pahala boleh dicipta bersama. Mengapa digalakkan suami isteri mandi bersama? Kerana waktu mandi bersama adalah momen untuk kita saling bersihkan diri. Dan tahukah anda dengan mandi bersama dapat mengeratkan kasih sayang kerana sama-sama membersihkan badan. Akhiri mandi dengan mengambil wudhu dan apabila masuk waktu solat, teruslah berjemaah suami isteri. Mandi bersama juga adalah salah satu sunnah Rasulullah S.A.W dalam memelihara kerukunan rumahtangga.


Pesan 3: Baca Doa Ini
Saat memeluk suami atau isteri, digalakkan membaca bersama doa ini “Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman pada Allah.” Mengapa? Hal ini kerana kita sepatutnya meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT. Mohonlah pada-Nya agar dikekalkan kasih sayang sesama suami isteri. Allah jua yang memiliki sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, lantaran itu sentiasalah berdoa supaya kasih sayang berkekalan kasih dan sayang kita terhadap pasangan hingga hujung nyawa.


Kredit Foto: Google


Pesan 4: Selalulah Peluk Pasangan
Janganlah berkira siapa yang sepatutnya mulakan dahulu. Tetapi kalau mood isteri swing, berilah masa supaya isteri cool down. Andai kena pada masa dan tempatnya, ambil peluang untuk memeluk isteri secara spontan. Pasti hati isteri berbunga sekali gus membuatkan isteri berasa lebih dihargai apabila dipeluk suami. Apabila isteri berasa diri mereka dihargai secara semula jadinya kasih sayang akan bercambah dari hati yang ikhlas. Mulalah si isteri akan melakukan semuanya dengan berlapang dada, disulami reda suami. Barulah hubungan kekal mewangi sampai bila-bila.


Pesan 5: Tidur Berbantalkan Lengan Suami
Tangan suami lenguh saat isteri lelapkan mata? Bolehlah alih perlahan-lahan. Kalau dibiar hingga ke pagi, bimbang lain pula sakitnya nanti, hehehe. Apa kelebihan tidur atas lengan suami? Kalau mahu suami kasihkan isteri dan dalam masa sama isteri juga menghormati suami, bolehlah cub acara ini. Kenapa? Kata orang tua, pelukkan suami ada magis tersendiri yang mampu menerbitkan rasa kasih dan sayang. Manakala apabila kedudukan isteri dibawah bahu suami pula menterjemahkan simbolik kepada rasa hormat kepada suami.


Kredit Foto: Google

Pesan 6: Cium Tangan Suami
Sementelah sudah sah disisi agama, maka rebutlah peluang untuk gandakan pahala. Bagaimana? Apabila isteri mencium tangan suami akan gugurlah dosa-dosa kecil isteri. Restu suami bukan sahaja penting dan berharga tetapi memacu kerukunan hubungan dalam rumahtangga. Selain mendapat pahala, ia juga jadi antara bekalan agar sering merindui suami terutamanya saat keluar bekerja dan tidak berjumpa dalam tempoh yang lama. Seperkara lagi, apabila isteri mencium tangan suami seraya suami pula akan mengucup dahi isteri bisa menyejukkan hati sesama sendiri. Kalau selepas akad nikah boleh buat, takkanlah pula selepas kahwin tak mahu teruskan ritual ini? Rugi tau!
#Tips #Suami Isteri #Perhubungan
;