Oleh: Huda Hussain

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

DI MATA orang, kehidupan yang dilalui seorang personal shopper ini indah belaka. Keluar masuk butik berjenama mewah, peluang membelek satu persatu item yang harganya boleh mencecah ratusan ribu ringgit, turun naik penerbangan dan bermacam lagi.

Namun tahukah anda, mereka memegang amanah untuk menyempurnakan hajat pelanggan yang menggunung tinggi? Belum dihitung lagi, jika ditipu, mendahulukan wang sendiri yang oh, bukan calang-calang sikit jumlahnya.

Bersama InTrend, Lenny Resad kongsikan pengalamannya bergelar personal shopper sepanjang empat tahun menggelumangi dunia mewah ini.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Kalau boleh diimbas semula, sejak bila dan bagaimana Lenny boleh menceburi profesyen ini?

Sekitar empat ke lima tahun (2003- 2004). Mulanya Lenny mula menjual cenderamata dan merchandise Hard Rock. Apabila mula meraih kepercayaan daripada pelanggan, maka Lenny cuba pula cabang lain iaitu membantu pelanggan membeli tas tangan, kasut, t-shirt dan banyak lagi item dari luar negara.

Sejujurnya Lenny memang minat berniaga. Hinggakan apa sahaja yang boleh dijual, Lenny akan lakukan. Pendek kata, Lenny memang tak boleh duduk diam. Misalnya yan terbaru, Lenny jual Mee Kolok dan Laksa Sarawak di sebuah restoran di Subang Jaya.

Dalam masa sama, Lenny turut bertanggungjawab mengawal selia operasi tadika di Bukit Jalil. Cuma kini fokus Lenny lebih kepada profesyen ini, bergelar personal shopper.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Kata orang jika ingin berbuat sesuatu, perlu ada ilmu. Dengan siapa Lenny berguru untuk menjadi Personal Shopper?

Ya, betul waima mahu menjadi personal shopper sekalipun; Lenny ambil inisiatif melihat bagaimana cara dan apa yang dilakukan oleh mereka yang turut bergekar personal shopper. Media sosial banyak membantu, lazimnya Lenny lihat di Facebook apa pendekatan dan cara kerja mentor-mentor atau mereka yang lebih berpengalaman dalam soal ini.

Umpamanya, Lenny terinspirasi melihat bagaimana cara kerja mereka. Benar passion itu perlu ada dalam apa jua bidang yang anda ceburi. Dan begitu juga untuk menjadi personal shopper.

Selain perlu perkasakan diri dalam soal cita rasa fesyen, peka dengan trend semasa, cara pemakaian dan bagaimana seseorang selebriti itu berfesyen turut membantu. Misalnya Scha Alyahya, bagi Lenny dia adalah trend setter dalam soal fesyen.

Dan Lenny banyak perhatikan apa yang digayakannya mempengaruhi orang lain untuk turut sama berfesyen. Selain selebriti, insta famous juga sering menjadi rujukan Lenny agar lebih on track dalam pemilihan tas tangan, kasut, baju dan sebagainya yang mungkin koleksi itemnya tidak dapat dalam negara tetapi hanya boleh dibeli di luar negara.

Namun kuncinya, perlu rajin. Bagi Lenny ia akan jauh lebih mudah untuk dilakukan jika kita punya minat terhadap apa yang kita lakukan.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Jika tidak keberatan, boleh Lenny kongsikan berapa modal permulaan yang dilaburkan?

Tiada yang spesifik sebaliknya bergantung kepada satu-satu trip memandangkan Lenny mengikut perubahan kadar pertukaran mata wang asing yang berbeza-beza bagi setiap negara. Tetapi apa yang Lenny boleh kongsikan, modal permulaan yang diperuntukkan untuk menampung kos penerbangan ulang alik dan hotel sahaja bermula sekitar RM15, 000.00 hingga RM20, 000.00.

Jumlah itu tidak termasuk kos pengangkutan untuk pergi ke outlet atau butik juga kos pembelian barang-barang yang dikirim. Dan jika dihitung, anggaran perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membeli semua barang yang dikirim sekitar RM150,000.00 hingga RM200,000.00 (bergantung kepada satu-satu trip dan negara tertentu).

Manakala anggaran kos sebuah beg tangan yang lazimnya dikirim pelanggan bermula sekitar RM3,000.00 hingga RM10,000.00.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Dalam setahun, berapa kerap Lenny terbang ke luar negara untuk shopping?

Tahun ini agak kerap, misalnya pergi ke Eropah dalam dua bulan sekali. Boleh dikatakan dalam setahun lima ke enam kali Lenny akan terbang ke luar negara. Dalam masa sama, Lenny turut menawarkan khidmat membeli barangan pre-loved yang dibeli di Jepun.

Sejujurnya, Lenny lebih puas dan seronok apabila Lenny sendiri yang memegang, memilih satu persatu, membelek setiap beg tangan, kasut, baju dan lain-lain daripada menyerahkannya kepada orang lain.

Ia berlandaskan kepada kepercayaan yang diberi oleh pelanggan dan Lenny pikul amanah itu sebagai satu tanggungjawab untuk disempurnakan sehabis baik.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Sepanjang bergelar Personal Shopper, kongsikan pengalaman atau momen pahit manis yang mungkin tidak dapat Lenny lupakan?

Oh, tentulah ada! Pahit manis itu Lenny anggap sebagai asam garam dan sudah lali dengannya. Baru-baru ini, dua minggu lalu Lenny kali pertama berhadapan dengan pelanggan yang ‘gigih menipu’.

Mengapa Lenny berkata di ‘gigih menipu’ kerana plot ceritanya seakan sudah disusun dan dirancang. Mulanya dia tidak membayar wang deposit dan memandangkan Lenny tidak mengenalinya kerana dia kali pertama berurusan dengan Lenny, maka Lenny tidak mahu mengambil risiko untuk meneruskan pembelian.

Kemudian katanya mahu buat pembayaran secara online, tetapi alih-alih tidak jadi pula. Dan ia berlanjutan hingga dia mengatakan sudah beratur di mesin pendeposit. Namun akhirnya dia senyap dan menghiangkan diri begitu sahaja.

Pernah juga sewaktu membeli barang, ketika di Itali dahulu; Lenny berhadapan dengan penyeluk saku (sekumpulan anak muda membawa beg kertas yang sudah renyuk) telah membuka sebahagian beg sandang belakang.

Lenny juga pernah ditipu apabila pelanggan yang mulanya beriya-iya mau membeli lantas usai pulang ke KL, dia menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi. Mana lagi mahu menjaga amanah pelanggan, dan apabila berada di tempat orang, banyak halangan yang perlu Lenny lalui.

Misalnya masalah jurang bahasa ketika berada di Paris dan Itali, membuatkan urusan jual-beli itu lebih sukar. Namun tidak kurang juga ada jurujual yang sudah mengenali Lenny dan berhubung menerusi Whats App untuk update item baru.

Boleh dikatakan hampir 100 item dibeli dalam satu-satu trip pembelian. Ia termasuk beg tangan, kasut, dompet, baju, laat solek, produk kecantikan kulit, vitamin dan lain-lain.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Apa yang susah, senang dan mencabar bergelar Personal Shopper?

Bagi Lenny kudrat sebagai perempuan sedikit sebanyak menyukarkan keadaan kerana baynagkan sahaja, 100 item yagn dibawa pulang semuanya berat belaka! Apalah sangat kudrat perempuan untuk mengangkat semua itu.

Lazimnya Lenny akan peruntukkan wang yang lebih sedikit untuk menginap di hotel kerana memikirkan barang kiriman yang rata-ratanya terdiri daripada jejanam mewah, faktor keselamatan perlu diambil kira.

Adakalanya Lenny perlu berlari-lari persis peserta rancangan Amazing Race dari satu butik ke butik yang lain. Semuanya dilakukan semata-mata mahu memenuhi hajat pelanggan.

Contohnya jika ke Itali, dari Milan ke Florence, jaraknya jauh maka Lenny perlu fikirkan soal pengangkutan ke sana, menyimpan beg yang dibeli sebelum itu dan lain-lain. Kekangan masa banyak mempengaruhi dalam soal kelancaran proses pembelian.

Kadangkala Lenny dan jika berkesempatan membawa pembantu hanya sempat sarapan sahaja. Usai sarapan, kami perlu bergegas ke butik atau outlet. Cari barang yang dikirim, itu dan ini.

Apa yang mencabar termasuk kesukaran untuk dahulukan modal, apabila tidak boleh shopping last minute, kos itu ini dan banyak lagi. Pernah juga Lenny over limit shopping, perlu bayar kos ekstra sehingga mencecah RM4,500.00 hanya kerana melepasi had bagasi yang ditetapkan, mana lagi terkejar-kejar masa, mahu membalas Whats App pelanggan dan oh jika disenaraikan banyak lagi yang telah Lenny lalui.

Tetapi kesudahannya, Lenny memikirkan ini sebagai tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Ia adalah amanah yang diberi dan apabila memikirkan Lenny mahu memelihara hubungan baik dengan pelanggan dalam jangka masa yang lama, lebih baik Lenny telus dan menyudahkannya sebaik mungkin.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Pengalaman Lenny sendiri sebelum ini, pernah mengirim, membeli menggunakan khidmat personal shopper?

Ada juga, Lenny turut menyokong personal shopper yang lain. Misalnya sebelum bergelar personal shopper, Lenny turut mengirim kepada personal shopper membeli barangan yang Lenny sendiri teringin mahu jadikan koleksi atau barangan yang bukannya hanya terdiri daripada designer bag.

Sejujurnya dahulu, Lenny akui cerewet dan memilih personal shopper. Lenny perlu tahu dengan siapa Lenny berurusan. Misalnya jika mesej tidak berbalas, pasti ada sesuatu yang kurang baik disebaliknya.

Kepuasan yang dirasai?

Penat tapi gembira kerana dapat memuaskan hati pelanggan. Misalnya apabila melihat mereka yang sudah lama menambung untuk membeli beg tangan Louis Vuitton, tatkala membuka kotak berisi beg tangan dambaan; terpapar kegembiraan di wajah mereka.

Itu sudah cukup memberi kepuasan pada Lenny. Dan kepuasan itu juga dapat dirasai apabila berjaya mencari apa yang dinginkan pelanggan. Misalnya jika beg tersebut tiada di outlet A, Lenny pergi pula ke butik dan terus mencari untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.

Lenny juga menawarkan khidmat menjual barangan pre loved. Khususnya kepada pelanggan yang mungkin belum berkemampuan untuk mendapatkan beg yang baru tetapi masih original pada harga yang berpatutan. Dan Lenny perhatikan, pasaran itu semakin mendapat permintaan.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper

Tips kepada mereka di luar sana yang teringin benar mahu menceburi profesyen ini, apa do’s and dont’s yang harus dilakukan dan dijauhi?

Janganlah kejarkan duit semata-mata atau ingin cepat meraih keuntungan. Kepercayaan pelanggan itu jauh lebih penting untuk diraih. Pokok pangkalnya perlu jujur dengan diri sendiri dan jujur dengan pelanggan.

Janganlah mudah ‘gelap mata’ saat melihat ratusan atau ribuan ringgit ‘selepuk’ dalam akaun anda. Ingatlah itu satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Jangan ambil kesempatan terhadap pelanggan, jangan mudah putus asa dan lainnya sukar untuk Lenny huraikan kerana ia perlu dilalui dan dirasai sendiri.Lenny tidak boleh huraikan bagaimana anda perlu lakukan, apa yang perlu dikatakan untuk proses negosiasi dan soft skill yang lain.

Jika benar mahu menjadi personal shopper, lakukannya atas rasa tanggungjawab.

Kredit foto: Instagram @lenny_personalshopper