Personaliti
“Ingatlah Disebalik Setiap Ujian Ada Rahmat Yang Allah Nak Beri. Dia Mahu Kita Kuat, Tabah” – Ustaz Ebit Lew
Keikhlasannya menyantuni dan membantu setiap lapisan masyarakat seharusnya dipuji dan dijadikan inspirasi. Setiap pelusuk dan ceruk ditembusi, dilalui demi menyebarkan kasih sayang dan membantu sedaya yang mampu. Itulah figura yang dekat dihati semua, Ustaz Ebit Lew.
Kredit Foto: Astro Prima
Menyantuni Anak-Anak Istimewa Di Paramount Coffee House, Putrajaya
Setelah lama hasrat dipendam dan niat tersimpan, akhirnya takdir Allah diizinkan jua bagi Ustaz Ebit Lew untuk menyantuni anak-anak down syndrome dari Yayasan Kiwanis Sindrom Down, Klang. Ibu bapa, penjaga dan anak-anak istimewa ini diraikan di Paramount Coffee House, Putrajaya yang juga merupakan restoran milik Ustaz Ebit Lew.Teruja dan gembira anak-anak ini apabila melihat pelbagai maskot dari watak animasi misalnya Mickey Mouse juga watak kartun lain yang popular satu persatu menyapa mereka. Selain menjamu selera, sedikit sumbangan dan hadiah turut dihulur kepada mereka. “Ada anak special macam ni kita memang perlu ada support group yang kuat. Sebab kalau nak harapkan emak sendir mungkin macam tak kuat” ujar Hidayah Mustafa salah seorang ibu yang mempunyai anak down syndrome.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Kekuatan emak ayah yang mempunyai anak syurga ini bukan senang seperti apa yang tuan puan lalui. Benar, ia berat untuk ditempuhi tetapi jawapannya satu sahaja kerana tuan puan terpilih sebab Allah nak beri anak-anak ini syurga dan juga kepada penjaga-penjaga mereka. Mudah-mudahan akan dimasukkan ke syurga kerana khidmat tuan puan menjaga anak-anak ini. Moga tuan puan terus sabar dan kuat. Bila Allah sayang, Dia ampun dosa dan dinaikkan darjat. Dia beri pahala. Saya doakan anak-anak ini sihat, menjadi orang hebat di dunia dan akhirat. Anak Syurga di Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Klang
Meninjau pusat pendidikan Yayasan Sindrom Down Kiwanis di Klang ia menempatkan seramai 60 orang murid down syndrome dengan kekuatan enam tenaga pengajar. Menurut Ardinsoon Mohamed Yusof selaku Pengetua, pusat ini mempunyai dua Physiotherapist, seorang Occupational Therapist dan tiga guru pendidikan khas.
Lensa Jejak Ebit Lew sempat merakam keletah salah seorang murid, Hasya Nur Azra yang didiagnosis mempunyai masalah microcephalus iaitu bayi berkepala kecil. Walaupun bukan mempunyai masalah down syndrome tetapi dia mempunyai sebahagian ciri-ciri ini. Menurut ibunya Haniza Harman, “Alhamdulillah syukur waktu itu saya pregnant kembar. Siapa yang tak happy pregnant kembar kan? Tapi kegembiraan itu tak lama apabila 29 minggu mengandung doktor sesuatu pada bayi dalam kandungan. Twin 1 normal tapi Twin 2 sedikit kecil. Dan waktu bayi berusia 32 hingga 35 minggu, berat baby tak naik masih 1.5kg. Malah doktor assume dia akan meninggal dalam perut waktu 35 ke 36 minggu. Tapi saya percaya perancangan Allah saya doa jikalau ini terbaik untuk saya, saya mohon Allah beri yang sempurna. Dan jika tak baik untuk saya, saya reda” ceritanya lanjut.
Kredit Foto: Astro Prima
Berhadapan dengan pelbagai cabaran misalnya daripada masyarakat yang ada ketikanya memandang seakan pelik melihat anaknya, ada yang bertanya kenapa kepala anak kecil, cacat kah dan sebagainya. Tetapi ibu ini tetap cekal, sabar dan reda. Walaupun menurut doktor Azra mengalami kecacatan otak yang kritikal, tetapi sebagai ibu dia tidak mahu berputus asa dan akan berusaha yang terbaik demi anak syurganya nan satu ini. Dan syukur kini, Azra sudah boleh berjalan berkat ikhtiarnya juga bantuan tenaga pengajar di Kiwanis.Lain pula ceritanya bagi Asmah Abu Talhah, ibu kepada Mohd Zakuan Jama. Tidak mengalami sebarang komplikasi semasa hamil tetapi takdir Allah, anak bongsunya disahkan menghidap down syndrome semasa lahir. Diuji dengan pelbagai masalah kesihatan semasa lahir seperti jantung berbunyi dan usus melekat, namun ibu ini tetap kuat menempuh liku-liku membesarkan anaknya berkat sokongan keluarga dan masyarakat. Walaupun berdepan dengan masalah kewangan, dia tetap cuba memastikan Zakuan mendapat pendidikan terbaik selagi hayatnya masih ada. “Mungkin saya fikir dia anak syurga, anugerah Allah. Waktu dia sakit saya memang dah berazam sesungguhnya kalau dia sihat berilah saya peluang untuk jaga dia sebaiknya. Sebab saya fikir kalau saya sakit, siapa nak jaga dia? Cuma saya selalu pesan pada kakak-kakak dan abang dia, kalau mak taka da jagalah dia. Sebab dia anak syurga. Harapan saya supaya dia dapat berdikari, urus diri dan saya selalu berdoa adik-beradik yang lain boleh jaga dia,” ceritanya lanjut.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Asnaf, Kg Bukit Tandak, Rantau Panjang, Kelantan
Muat naik Raja Anita Raja Mukhtar seorang sukarelawan di Facebook yang berkongsi kisah sedih sepasang warga emas yang uzur dan buta juga mempunyai seorang anak OKU menjentik hati Ustaz Ebit Lew. Tidak menunggu lama, keluarga ini diziarahinya untuk melihat sendiri kedaifan yang dilalui. “Saya tengok gambar di FB si ayah dan anak terbaring di atas lantai, rasa kasihan sangat” ujar Ustaz Ebit Lew.Meninjau keadaan rumah yang bagaikan tiada apa-apa menyentak nurani mata yang melihatnya. Mengharapkan Shahirah Osman, cucu kepada pasangan warga emas ini; dialah yang datang menjenguk dan menjaga kebajikan mereka tiga beranak. Memandikan bapa saudaranya, menukar pampers, itu sudah menjadi sebahagian rutinnya. Jiran-jiran dan saudara terdekat pula membantu memberikan makan untuk keperluan keluarga ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Dek kerana demam panas sejak kecil telah merencatkan anggota badan bapa saudaranya yang sudah tidak boleh bergerak. Hanya terlantar baring dan mengharapkan kudrat orang lain untuk bergerak menyukarkan lagi keadaan. “Takdir Tuhan nak uji kesabaran saya, nak beri saya lalui benda ni. Adakah saya boleh terima, susahnya nak lalu, betapa pahitnya nak hadap. Tapi saya sabar sebab setiap ujian Allah yang tentukan,” ujar Shahirah.Bagi membantu keluarga ini, Ustaz Ebit Lew bermurah hati menyumbang katil hospital bagi memudahkan pergerakan dua beranak ini selain bekalan pampers, barang keperluan dapur dan sedikit sumbangan kewangan. Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Ada orang tak sama nasib hidup dia macam kita. Alhamdulillah JKM ada bantu keluarga ini dengan memberikan sumbangan RM400 sebulan selain masyarakat sekeliling yang turut bersimpati dengan keluarga ini. Tapi mereka masih lagi perlukan bantuan daripada orang ramai. Saya doakan supaya Allah mudahkan keluarga ini dan sama-sama kita cari jiran-jiran yang keadaannya sedemikan, kita bantulah sedaya upaya kita Insya-Allah.
Must-Watch Video