Ini Pesan Jurulatih Taekwondo Kepada Ibu Bapa yang Selalu Paksa Anak ke Tuisyen — Jangan Kecam, BACA INI!
Public Anonymous User
10/01/2019 16:09 MYT
10/01/2019 16:09 MYT
Oleh: Nurulhuda Hussain
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias
Kongsikan latar belakang anda sebelum ini dan bagaimana tercetusnya minat untuk berkecimpung dalam lapangan seni mempertahankan diri (taekwondo)
Sejak berusia tujuh tahun hingga ke peringkat sekolah menengah saya sudah mula menyertai aktiviti seni mempertahankan diri dan sukan taekwondo. Dahulunya sekadar pelatih dan selepas memasuki peringkat kolej, saya mula berjinak-jinak sebagai pembantu jurulatih taekwondo.
Selepas itu saya mula menyertai kursus kejurulatihan bersama Persatuan Taekwondo Malaysia, selain kursus-kursus sampingan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), kursus Sains Sukan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan lain-lain.
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias
Rata-rata ibu bapa kini kurang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas seni mempertahankan diri. Adakah disebabkan kekangan masa atau ibu bapa melihat aspek pendidikan lebih utama atau bagaimana? Komen?
Sekarang kalau kita lihat anak-anak lebih cenderung memperuntukkan masa untuk bermain gajet. Jika ada yang keluar bermain dengan rakan-rakan di taman permainan pun tidaklah ramai atau meriah berbanding dengan zaman kecil kita dahulu.
Umpamanya ketika kita kecil dahulu sudah ada lokasi dan tempat untuk beriadah dan meluangkan masa waktu petang. Banyak faktor yang memainkan peranan dalam soal ini. Misalnya rata-rata warga ibu kota kini tinggal di pangsapuri atau kondominium.
Dan secara tidak langsung ada limitasi untuk anak-anak kecil bermain dan bersosial waktu petang mereka. Dan oleh kerana pengaruh gajet juga melekakan perhatian anak-anak untuk mencuba aktiviti fizikal lain.
Dan mungkin juga tidak dapat disangkal, ibu bapa lebih fokus kepada pendidikan anak-anak dengan menghantar mereka ke kelas tambahan, kelas muzik dan lain-lain. Tetapi ibu bapa tidak melihat aspek mempertahankan diri sebagai satu keperluan.
Benar, pendidikan adalah prioriti tetapi soal mempertahankan diri anak-anak juga jangan dipandang enteng. Mereka harus dibekalkan dengan ilmu asas untuk membantu melindungi diri mereka sendiri.
Saya ambil contoh, jika latar keluarga itu terdiri daripada ibu atau bapa yang bekerja daripada unit beruniform seperti polis atau tentera dan lain-lain; secara tidak langsung mereka sudah mempunyai ilmu asas mempertahankan diri, rutin atau disiplin tetentu lantas diturunkan kepada anak-anak.
Tetapi berbeza dengan ibu bapa yang bekerja dalam sektor pekerjaan (swasta misalnya) mereka kurang mempunyai kesedaran dalam soal ini.
Mereka mungkin punya anggapan, “Oh, anak saya selamat” sedangkan kita tidak tahu apa jua boleh berlaku ke atas diri kita dan anak-anak apabila mereka keluar rumah.
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias
Sepanjang detik penceburan dalam sukan taekwondo, apa momen yang berharga juga bernilai untuk dikenang?
Sejak berumur tujuh tahun, secara asasnya ibu bapa saya menghantar saya ke kelas ini untuk lebih berdisiplin. Dan selepas itu barulah timbulnya keyakinan, membina jati diri dan lebih berani untuk mempertahankan diri.
Dan sepanjang tempoh itu memang saya teruja. Selepas melalui siri latihan asas hingga meraih junior black belt, saya diberi pendedahan menyertai pertandingan di peringkat kelab, peringkat remaja kebangsaan, peringkat kebangsaan hinggalah bergelar jurulatih sepenuh masa kini dan menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Soal cedera, bengkak sana sini itu disifatkan sebagai lumrah dan asam garam dalam sukan ini. Begitu juga soal menang dan kalah di gelanggang. Semuanya membantu membina keyakinan, membentuk jati diri dan lebih berani.
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias
Kepuasan yang dirasai dalam penceburan sukan ini, apakah tumbukan padu atau tendangan tepat ke sasaran memberi kepuasan pada diri?
Sejujurnya, apabila anda seorang pengamal seni mempertahankan diri; perubahan itu akan dirasai dalam diri. Contohnya kesan daripada rutin latihan dan pendedahan dalam sukan ini memberi pengaruh tersendiri dalam tingkat keyakinan dan disiplin diri.
Tetapi jika dilihat daripada perspektif jurulatih; ilmu yang ada ini harus dimanfaatkan. Ia perlu diperturunkan dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Barulah ilmu itu akan berterusan.
Kepuasan yang dapat dirasai apabila melihat anak murid yang dulunya hadir tanpa apa-apa ilmu tetapi setelah dibentuk dan dilatih, dia mula menunjukkan perubahan. Lebih berdisiplin, mendengar arahan dan dapat melihat perkembangan kemahiran motor.
Tidak kurang juga pengalaman saya melatih anak istimewa yang mempunyai masalah hiperaktif, disleksia dan down syndrome. Seperti anak-anak yang hiperaktif ini, saya perlu bijak mengawal dan memantau pergerakan mereka di dalam kelas.
Misalnya saya akan memanggil mereka dan menjadikan mereka sebagai contoh supaya murid lain mengikuti pergerakannya. Ia sekali gus menghantarkan isyarat dalam mindanya agar dia perlu melakukannya dengan betul kerana pergerakannya diperhatikan dan menjadi ikutan.
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias
Menyentuh isu buli, adakah ia menjadi penyebab mengapa ibu bapa gusar untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas taekwondo kerana bimbang anak-anak menyalah gunakan ilmu yang ada atau bagaimana?
Pada pengamatan saya, mereka yang terjebak dalam kes-kes buli bukanlah pengamal seni mempertahankan diri. Mereka lebih terarah kepada gejala gengsterisme yang dilakukan secara berkumpulan.
Faktor latar keluarga, peranan dan layanan ibu bapa, kawasan perumahan juga mempengaruhi dalam isu ini. Tiada isu jika ibu bapa menghantar anak ke kelas seni mempertahankan diri, anak-anak mereka akan menjadi pembuli sebaliknya ia adalah langkah membela diri anak-anak.
Misalnya ilmu asas yang saya ajarkan kepada pelajar adalah, penggunaan suara sebagai senjata. Malah dalam seni mempertahankan diri, suara juga memainkan peranan untuk meningkatkan keyakinan, memacu tenaga dan memperkasa diri.
Secara tidak langsung, jika pelajar diragut, sekurang-kurangnya reaksi pertama yang akan dipraktikkan adalah menggunakan vokal yakni menjerit meminta pertolongan.
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias
Harapan anda agar seni mempertahankan diri bukan lagi dipandang sebagai pilihan kedua mahupun alternatif terakhir untuk memperkasa anak-anak generasi kini?
Saya lebih fokus kepada ibu bapa agar mereka mempunyai tanggapan bahawa seni mempertahankan diri adalah prioriti. Tidak kiralah sama ada taekwondo, silat dan lain-lain cabang tetapi ubahlah pemikiran anda demi memikirkan keselamatan anak-anak ketika mereka berada di luar rumah.
Menjadi harapan saya juga agar ia menjadi ilmu asas untuk dikuasi dalam setiap diri anak-anak. Misalnya di peringkat kecil (tadika mungkin) juga sepanjang berada di sekolah rendah. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai asas agar ia tersemat dalam minda mereka sebagai benteng untuk membela diri.
Dalam pada itu, ilmu mempertahankan diri juga membantu ketahanan fizikal dalam diri anak-anak agar lebih aktif, bertenaga, membentuk daya antibodi dan lebih sihat.
Kredit foto: Mohd Ridzuan Alias