Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

“Inilah Keputusan Terbaik Dalam Hidup Saya,” – Adib Fikir Panjang Sebelum Putuskan Tidak Balik Kampung.

Afiza Kamarulzaman 22/03/2020 | 14:55 MYT
Adib Zarif Azahari, 20 dari Johor Bahru ini kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Mengambil jurusan Pengurusan Hartanah di Fakulti Seni Perancangan dan Ukur, dia antara pelajar yang menjadi mangsa kekeliruan pihak pengurusan tentang arahan penutupan kolej baru-baru ini rentetan daripada Perintah Kawalan Gerakan yang diumumkan kerajaan lima hari sudah.
Adib tinggal di mana?
Saya diberi penginapan di Kolej Indera Mulia, Blok Teratai. Sudah belajar di sini hampir dua tahun
Bagaimana mula-mula mengetahui perihal Perintah Kawalan Gerakan itu?
Pertama kali dapat tahu melalui media sosial, kemudian terus menontonnya di televisyen menerusi pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri. Memang saya akui agak terkejut juga dengan tindakan drastik yang dibuat kerajaan itu. Ramai kawan-kawan sekolej yang gelabah dan sedih kerana memikirkan tidak dapat pulang ke kampung pada waktu itu.
Bagaimana dengan kekeliruan mengenai arahan pengosongan kolej pada awalnya?
Ya, memang pada awalnya pihak kolej ada mengeluarkan arahan untuk pelajar mengosongkan kolej kerana tidak mampu memantau jumlah pelajar yang besar. Tidak lama selepas itu, barulah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan baru bahawa semua pelajar tidak dibenarkan keluar dari kolej masing-masing. Di situlah berlaku kekeliruan dan panik dalam kalangan pelajar yang tidak tahu mana nak dituju, terutamanya pelajar yang tinggal jauh. Malangnya, sebelum arahan KKM dibuat, sudah ramai pelajar yang telah pun pulang ke kampung halaman.
Bagaimana pula Adib membuat keputusan tepat untuk tidak pulang ke kampung?
Saya mengambil masa yang lama juga untuk memutuskan sama ada mahu pulang atau tidak. Pertama sekali yang saya fikirkan tentulah tentang keselamatan diri pada saat sekarang ini. Saya perlu ada plan B jika tidak mahu pulang ke kampung. Saya tahu yang virus ini mudah merebak walau dengan hanya sentuhan dan apa saja yang dipegang oleh si pembawa wabak. Jadi, katakanlah kalau saya bersesak-sesak ketika membeli tiket dan kebetulan pula ada daripada kalangan orang di situ yang membawa virus, apa akan jadi dengan saya? Dan, kemudian saya balik pula ke kampung berjumpa keluarga. Allahu, tak dapat saya gambarkan keadaannya. Syukurlah, tidak lama selepas itu, pihak kolej mengeluarkan arahan baru yang kami masih boleh menetap di kolej asal kami. Inilah keputusan terbaik dalam hidup saya!
Tidakkah keluarga risau waktu itu dan menyuruh Adib untuk balik juga?
Oh, keluarga pastinya risau! Emak memang ada menyuruh saya balik sahaja. Namun, ada kala sesuatu keputusan tentang hidup kita ini haruslah kita tentukan menggunakan akal yang logik juga. Banyak yang saya fikirkan waktu itu. Menangguhkan seketika rancangan untuk pulang adalah sesuatu yang betul dan bukan bermakna kita ‘lembap’ untuk bertindak. Ada tindakan perlu diambil dengan tidak tergesa-gesa. Dan, setelah saya terangkan kepada keluarga yang saya masih boleh tinggal di situ, barulah mereka lega. Saya membuat update setiap hari kepada mereka.
Jadi, bagaimana kehidupan di kolej pada waktu ini?
Pihak kolej tidak mengabaikan kebajikan para pelajar. Kami diberi makan sarapan, tengah hari dan malam secara percuma. Seperti juga rakyat Malaysia yang lain, kami tidak dibenarkan keluar dari kolej sewenang-wenangnya. Perintah berkurung kami laksanakan sebaiknya. Kami tidak dibenarkan keluar bersukan dan sebagainya. Itu mungkinlah membuatkan kami sedikit bosan. Namun, inilah tanggungjawab kami sebagai rakyat Malaysia untuk patuh pada arahan.
Pasti sunyi kerana ramai yang sudah kembali ke kampung halaman?
Ya, tidak ramai pun yang tinggal sekarang ini kerana ada yang sudah terlepas pulang. Kami cuba isi masa yang ada dengan aktiviti seperti membaca dan melayari internet.
Apa harapan Adib kepada rakyat Malaysia dalam menangani wabak Covid-19 ini?
Seperti juga mereka yang lain, pastinya mahukan musibah ini berakhir secepat mungkin. Kita pasti tidak suka dengan berkurung sahaja di rumah dan mahu kembali ke rutin asal. Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya berharap setiap invidu memainkan peranannya dengan tidak keluar sesuka hati. Duduk diam-diam di rumah. Kepada rakan pelajar yang senasib, kita jadikan semua ini iktibar dan pembakar semangat untuk lebih kuat mendepani apa jua situasi pada masa mendatang. Jangan jadikan wabak ini sebagai penghalang untuk kita jadi tidak produktif. Sama-sama kita doakan.
#COVID-19 #Pelajar IPT #Perintah Kawalan Gerakan
;