Lazimnya orang-orang tua yang lakukan persiapan sebegini. Dan mereka punya sebab kukuh untuk melakukannya. Seperti arwah nenek penulis yang mesra disapa Mak Tok, ketika hayatnya masih ada sudah disiapkan kain telekung untuk pakaian terakhirnya. Juga sedikit wang untuk diberikan kepada insan yang membantu memandikan jenazahnya. Diamanahkan semua perkara itu kepada ibu penulis.

Ya, hati siapalah yang tak sedih kan? Diri sendiri yang siapkan pakaian terakhir supaya tidak menyusahkan anak-anak, menantu, cucu dan waris yang ditinggalkan. Kerana dalam fikiran mereka, pasti ‘hari itu’ semua akan sibuk membantu menguruskan itu dan ini apatah lagi dirundung kesedihan saat pemergian insan tersayang.

Kredit Foto: Facebook Pakar Diari Hati

Begitulah orang-orang tua, rapi sekali persiapannya. Tidak mahu sesiapa yang perlu kendalikan urusan memandikan, mengkafankan jenazah tergendala ataupun tergesa-gesa mencari itu dan ini. Bergelut mencari kain batik lepas, kain kafan dan sebagainya. Dan meniti hujung usia, sisa masa dimanfaatkan dengan pelbagai amal ibadat mengikut kemampuan dan kudrat yang ada. Mengaji dan menonton ceramah di televisyen antara yang selalu dilakukan kerana apabila dirumah ia jauh lebih selesa dan memudahkan pergerakan mereka. Dan berbicara mengenai bekal atau persiapan, penulis ingin membawa dimensi fikiran pembaca untuk menelusuri apa yang dinukilkan Ahmid Shazwan menerusi Facebook Pakar Diari Hati.

Siapkan Bekal Kita Pulang!
Apa jaminan kita akan bangun semula bila kita tidur? Tiada. Kita sendiri banyak mendengar berita tentang kematian semasa tidur.
Apa jaminan kita akan pulang semula ke rumah selepas berangkat ke pejabat? Tiada. Kita sendiri banyak mendengar berita tentang kemalangan yang meragut nyawa.
Bila hidup kita merasa berat membuat ibadah sunat, tidak mengapa. Tapi jangan tinggalkan ibadah yang wajib. Paksakan diri untuk buat yang wajib.
Kredit Foto: Google


Imam al-Ghazali berpesan: "Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati."

Jadikan kematian itu sebagai peringatan dan hidayah. Andai masih tidak mahu berubah ke arah kebaikan, maka dengan cara apa lagi mahu Allah beri hidayah? Doa Rasulullah saw yang paling banyak adalah: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi. Andai terdapat sedikit kebaikan dalam post ini, mohon doakan semoga kebaikan itu dapat membawa kita ke syurga di sisi Allah bersama-sama. Aamiin.