Personaliti
Isteri Dalam PANTANG – Bahagianya Apabila Suami Manjakan dan Jaga, Berbaloi Sakit Melahirkan Anakmu.
Teks: Nor Hatina Shuib
Bermula daripada disahkan positif hamil, ia adalah satu perjalanan panjang buat insan bernama isteri dan ibu. Meskipun ia bukan kelahiran pertama untuk anda dan isteri, tetapi prosesnya masih tetap sama. Mengandung, melahirkan, berpantang dan membesarkan bayi sehingga dewasa.
Justeru, siapa individu paling tepat untuk sentiasa menyokong fasa kehamilan dan kelahiran ini? Tentunya suami. Ini kerana dalam hubungan rumah tangga, semua adalah sistem sokongan paling utama dalam mengendalikan perhubungan yang baik dan sihat. Isteri mahukan anda, bukan orang lain dalam segala aspek.
Ketika tempoh berpantang misalnya, isteri sangat memerlukan suami untuk menjaganya dengan baik termasuklah pengurusan mental dan emosi. Sedarilah wahai suami, saat hamil sehingga melahirkan anak, bukan saja fizikal anda berubah dengan ketara, tetapi emosi dan rutin kehidupannya juga turut berubah.
Memiliki suami prihatin, ringan tulang dan tahu ‘apa nak buat’ tanpa disuruh adalah sikap suami yang baik. Jangan lepas tangan dan membiarkan isteri anda melakukan semua tugasan ketika berpantang kerana saat ini mereka memerlukan rehat yang secukupnya. Berkorbanlah sebentar tenaga dan perhatian anda untuk isteri tersayang.
Kredit foto: ruzaini.jamil
Berilah mereka masa seketika untuk rasa dihargai, dimanja dan dibelai dengan kasih sayang anda. Jika boleh, sama-sama melalui keindahan fasa berpantang isteri. Masakkan lauk berpantang dari air tangan anda sendiri. Pasti tersenyum bidadari anda saat anda menyuap dan menyediakan hidangan pantang dari idea anda isteri.
Selagi mampu, anda jagalah pasangan anda sendiri kerana ia membentuk satu momen yang mana anda akan lihat di hadapan mata sendiri, betapa sukarnya menjadi ibu dan betapa besarnya pengorbanan isteri menyusu dan membelai bayi anda.
Isteri Dambakan Suami Di Sisi Saat Melahirkan dan Berpantang
Percayalah, setiap isteri mahu suami berada disisi mereka saat mereka melahirkan zuriat anda sehingga melalui tempoh berpantang. Kerja rumah seperti memasak lauk berpantang, menyediakan hidangan anak lain, memandikan anak, mengemas rumah sehingga kepada membasuh pakaian bayi dan isteri adalah tugasan yang boleh suami lakukan.
Anda juga menjadi pendengar setia dan luahan si isteri sepanjang melalui tempoh mengandung dan bersalin. Dengar dan fahamilah suara hati isteri walaupun ada ketikanya luahan itu seperti remeh bagimu.
Kredit foto: rizman.n
Isteri Berisiko Meroyan Jika Suami Gagal Dalam Pengurusan Pantang Isteri.
Ketahuilah suami, saat anda melakukan tugasan rumah ini, anda sudah melegakan beban emosi isteri yang masih sakit dan letih bertarung melahirkan permata hati anda.
Kegembiraan ini lebih cepat memulihkan kesihatan serta tenaga isteri dan membawa nikmat dan keberkatan dalam rumah tangga anda. Pernah seorang teman berkongsi kisah rakan baiknya berpantang yang sangat menyedihkan.
Sudahlah berpantang sendiri di rumah, tidak disediakan pembantu perawatan tidak mengapalah, namun sikap malas suami makin menjadi-jadi sebaik mereka menimang cahaya mata kedua.
Walaupun masih berpantang, isteri masih perlu menyediakan makanan untuk mengisi perut suami dan anak. Alasannya tidak berselera makan diluar. Sebagai isteri yang taat dan patuh kepada suami, kawan baiknya ikut saja walaupun makan hati teramat sangat sehingga terjadinya meroyan.
Ini kerana isteri tidak berpantang dengan baik, tidak diurut dan dibelai , tidak makan ubat mengikut jadual dan mengalami tekanan serta bebanan tugas yang makin bertambah saban hari tatkala si suami umpama ‘orang bujang’. Makan dihidang, anak dibiarkan tanpa dijaga dan ketawa riang menonton rancangan kartun dan bola kegemaran mereka.
Tidak hairanlah ada yang lebih selesa menghantarkan isteri ke rumah mertua. Jika atas kerelaan isteri dan ibu mertua juga mengalu-alukan isteri berpantang di rumahnya, ia logik diterima akal. Namun, jika sekadar suami mahu melepaskan bebanan ke bahu insan lain, anda selayaknya dianggap suami tidak bertanggungjawab.
Jika isteri meronta-ronta sekalipun mahu pulang berpantang dipantau ibunya, anda ambillah cuti dan turut sama menjaga. Barulah anda lihat dan belajar cara menjaga isteri berpantang dengan baik untuk persediaan anak seterusnya kelak.
Kredit foto: mawarashid
Belai Isteri Umpama Bidadari Ketika Hamil dan Fasa Berpantang
Bagaimanapun, tidak semua lelaki bersifat pentingkan diri di saat isteri mereka amat memerlukan perhatian untuk dikasihi dan dimanja umpama bidadari saat menempuh 44 hari atau 100 hari berpantang.
Ramai anak muda zaman ini, sudah bijak mengendalikan isteri mereka berpantang. Sebulan atau beberapa bulan sebelum kelahiran bayi, mereka sudah menempah bidan kampung atau penjagaan moden untuk mengurut dan menjaga bayi serta isteri sepanjang tempoh awal berpantang.
Ada juga yang tidak berkemampuan tetapi berdikari menjaga isteri dan anak serta memasak hidangan lauk pantang . Walaupun menu ringkas seperti membakar ikan dan menggoreng bilis, ia sudah mampu membuatkan isteri berbangga memiliki suami budiman seperti anda.
Tidak seharusnya anda inginkan anak ramai, tetapi gagal dalam mengendalikan urusan keluarga anda dan meletakkan bebanan di bahu isteri saja atau orang sekeliling mereka.
Ingatlah lelaki yang bernama suami, tidak semestinya anda perlu ada wang yang banyak untuk melengkapkan keperluan isteri ketika hamil dan berpantang. Cukup ada niat dan usaha untuk meringankan bebanan isteri saat melalui fasa berpantang, Allah akan permudahkan urusan anda.
Tidak semua isteri berani menyuarakan suara hati mereka yang terkilan dan sedih dengan sikap sambal lewa melayan mereka saat tubuh masih lemah selepas melahirkan. Jadi, berfikir secara matang dan rasional dan pelajarilah ilmu rumah tangga supaya mudah untuk anda menguruskan ia kelak.
Jangan ambil ia terlalu mudah, kesannya berpanjangan kepada rumah tangga anda kelak. Inilah masanya anda tunjuk rasa cinta dan sayang anda kepada bidadari yang bakal anda bawa ke syurga nanti.
Kredit foto: yanasamsudin
Perkara Yang Suami Boleh Bantu Isteri Ketika Berpantang
Sediakan sarapan
Korbankan sedikit masa tidur anda. Bangun awal untuk menyiapkan keperluan isteri seperti sarapan. Walaupun cuma hidangan ringan tetapi berkhasiat, anda memulakan hari berpantang isteri dengan penuh kebahagiaan. Secawan coklat panas bersama roti kosonh mungkin anda boleh fikirkan sebagain antara menu sarapan isteri.
Bantu Isteri Mandi
Saat tempoh berpantang, isteri masih lemah dan memerlukan sokongan anda. Cuba dapatkan maklumat berkenaan bagaimana untuk memberi kesegaran dan memulihkan tenaga isteri denhan mandian herba.
Jika boleh lakukan sendiri, anda boleh cuba dan jika tidak mampu, upah bidan moden atau tradisional untuk membantu isteri menerusi mandian herba pada awal minggu pertama pantang.
Mandikan bayi
Bagi yang baharu cuba belajar untuk mandikan bayi anda walaupun bayi anda masih lembut badannya, berhati-hati. Mungkin anda boleh belajar daripada orang berpengalaman seperti ibu atau mentua anda.
Bayi biasanya dimandikan dengan air suam untuk mengelak hipotermia. Pada peringkat awal, kawalan suhu badan bayi masih lemah dan anda boleh juga mendapatkan maklumat daripada klinik kesihatan.
Kredit foto: yanasamsudin
Tolong Jaga Anak Lain
Sekiranya kelahiran ini bukan kelahiran yang pastikan semua urusan anak-anak anda yang selesaikan. Elakkan mengharap bantuan isteri yang baru melahirkan anak untuk menjaga urusan yang lain dan bagi isteri tempoh berehat serta bertenang. Sebaliknya anda uruskan makan minum, mandi, menyediakan pakaian sekolah sehingga menidurkan anak-anak yang lain.
Pastikan Persekitaran Bersih dan Kemas
Elakkan isteri banyak bergerak dan melakukan kerja berat. Oleh itu, sebelum ke tempat kerja, pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas.Basuh pakaian kotor dan jemur di bahagian yang tidak terdedah dengan hujan. Mudah untuk anak atau sesiapa membantu jika musim hujan .
Sentiasa Ucapkan Kata-Kata Indah dan Romantik
Isteri akan rasa lega jika anda sentiasa mengeluarkan ayat positif dan berbentuk pujian. Ini menunjukkan anda ikhlas dan benar-benar mahu membantunya supaya mengelakkan si dia rasa stress kerana menyusahkan anda. Ramai isteri lebih memikirkan perasaan suami daripada pengorbanannya sendiri.
Sama – Sama Rasai Pengalaman Bangun Tengah Malam
Jarang suami yang bersama-sama isteri ketika isteri menyusukan bayi mereka. Apa kata sebagai tanda anda sangat menghargainya, buatkan secawan coklat panas dan hidangan biskut ketika isteri menyusukan bayi. Ini tanda kasih sayang dan cara anda menghormati seorang wanita yang berkorban nyawa melahirkan anak anda.
Must-Watch Video