Oleh: Huda Hussain

Kredit foto: Instagram Edika Yusof

EDIKA YUSOF: Wajahnya lebih dekat di hati penonton sekitar 90-an. Bergelar model dan pelakon, dia sering menjadi wajah pilihan bagi iklan komersil dan banyak lagi jenama. Dan filem 'Maria Mariana' adalah antara filem yang melakar sejarah kegemilangan Edika Yusof. Baik di pentas peragaan mahupun layar filem, profesionalisme kekal menjadi jati diri.

Namun siapa sangka, selepas hampir dua tahun perkahwinannya bersama pilihan hati Nurhidayah Yusri, pasangan ini diduga dengan ujian getir. Hilang daripada dunia glamor selama 20 tahun, wang simpanan habis digunakan untuk memberi rawatan terbaik buat isteri tercinta – terbukti kisah pasangan suami isteri ini boleh dijadikan teladan buat kita.

Dua tahun cuba menjejak Edika namun dek kerana kekangan masa, rezeki tidak memihak kepada InTrend ketika itu. Kongsikan perkembangan Edika kini?

Sejak tahun lalu saya sudah kembali aktif berlakon. Dan kemunculan pertama saya selepas 20 tahun meninggalkan dunia lakonan adalah menerusi telemovie Permata Hati arahan rakan baik saya, Dato’ Seri Rezza Shah dan kemudian kira-kira dua bulan lalu saya muncul memegang watak sebagai bapa dalam drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

Itulah pengalaman kali pertama karakter saya sebagai bapa kepada hero. Saya sifatkan ia sebagai pengalaman yang amat berguna apatah lagi selepas 20 tahun tidak berlakon. Dalam masa sama saya masih meneruskan perniagaan sendiri iaitu rekaan grafik dan percetakan. Sudah 20 tahun saya menjalankan bisnes ini sejak saya tinggalkan dunia seni dan peragaan.

Saya melakukan semua urusan dari rumah (home base). Saya memberi perkhidmatan kepada klien dan kami berurusan secara dalam talian (online). Antara projek yang saya usahakan adalah rekaan dan cetakan untuk acara Islamic Fashion, KL Fashion Week, Flora Hijab by Razak (cetakan tekstil) dan lain-lain lagi. Buat masa ini kami fokuskan kepada percetakan majalah, pembungkusan misalnya beg kertas, kotak dan lain- lain. Ada sebahagiannya adalah hasil rekaan saya dan ada juga antaranya hasil permintaan klien atau sub pada pereka grafik.

Bagaimana boleh bertahan dengan perniagaan rekaan dan percetakan selama 20 tahun?

Tidak dinafikan saya perlu lalui pelbagai cabaran untuk pastikan agar kekal bertahan. Bukan senang mahu teruskan perniagaan ini. Kekangan terbesarnya adalah masa kerana perlu fokus. Selain itu saya perlu bijak melayani kerenah pelanggan.

Masih tegap dan profesionalisme sebagai peragawan tetap terserlah. Bagaimana Edika menjaga penampilan diri agar dilihat segar dan kekal muda?

Walaupun sudah berusia 50 tahun, soal penampilan dan kesihatan tetap saya pelihara. Saya masih bersenam cuma tidaklah seligat dahulu. Bab makan terutamanya, saya hanya makan yang perlu. Semua saya ‘bedal’ tetapi bukanlah makan sampai kenyang. Makan apabila betul-betul lapar sahaja.

Apa yang membuatkan Edika kembali berlakon?

Pertamanya, saya mahu lihat apakah perubahan dan perkembangan dunia lakonan selepas 20 tahun saya tinggalkan. Ada pro dan kontranya apabila teknologi mendahului semuanya – semua lebih cepat dan saya sifatkannya sebagai perubahan yang positif.

Saya akui pada mulanya perlu bijak untuk ‘catch up’ rentak generasi kini bekerja. Kerana tidak seperti zaman saya dahulu, selepas tamat sesuatu adegan kami akan berborak dan kini semuanya sibuk dengan telefon bimbit masing-masing. Mulanya agak ‘lost’ tetapi lama- kelamaan barulah saya faham bagaimana cara mereka bekerja kini.

Anak-anak sihat?

Syukur alhamdulillah, sihat semuanya. Hasil perkahwinan saya dan isteri, kami dikurniakan dua anak. Seorang berusia 13 tahun dan seorang berusia 12 tahun. Manakala anak tiri, yang sulung berusia 18 tahun dan kedua 16 tahun. Memandangkan saya berdarah kacukan Pakistan, maka sudah terbiasa melakukan kerja-kerja rumah.

Pergi ke pasar beli ikan, memasak, mengemas, basuh baju dan lain-lain. Pendek kata kerja-kerja perempuan perlu tahu. Saya sendiri memasak di rumah dan kini anak-anak juga sudah mula minat memasak.

Daripada segi rutin lain, sejak mereka kecil lagi (dalam lingkungan tujuh tahun) saya sudah mengajar mereka membasuh pakaian sendiri, kasut sekolah, menggosok baju dan lain-lain.

Ceritakan kembali momen bagaimana segalanya berubah 360 darjah dalam sekelip mata?

Seminggu selepas isteri melahirkan anak kedua kami (12 tahun lalu) dia diserang demam panas yang mengakibatkannya terkena sawan. Dan serangan sawan itu berpunca daripada meningitis yang mengakibatkan jangkitan kuman pada otak. Pihak hospital terpaksa meletakkan keadaan isteri dalam koma selama sembilan hari di Unit Rawatan Rapi (ICU). Menurut doktor yang merawat ketika itu, jika dia kuat dia akan sedar dan jika sebaliknya maka tiadalah masa depan baginya.

Dalam masa sama, anak kedua kami yang baru dilahirkan terpaksa diletakkan di wad NICU kerana kelahiran pra-matang dan komplikasi lain termasuk paru-parunya belum develop dengan baik. Bayangkan sahajalah situasi saya ketika itu apabila perlu berulang-alik menjaga anak (di tingkat satu) dan isteri (di tingkat dua) di hospital yang sama. Alhamdulillah selepas seminggu, anak saya dibenarkan keluar hospital.

Isteri saya masih tidak sedarkan diri dan hanya selepas sembilan hari barulah dia kembali sedar. Namun, semua ingatannya lumpuh seperti lumpuhnya bahagian dada hingga ke kakinya (hingga hari ini). Dia gagal mengingati semua bahawa kami telah berkahwin dan mempunyai anak. Juga tidak kenal ahli keluarga, saudara- mara dan rakan-rakan.

Dia ditahan di wad selama tiga bulan. Dan selama itulah saya berkejar-kejar, ulang-alik ke hospital. Pergi hospital pada waktu pagi dan pulang ke rumah pada waktu malam. Begitulah rutin harian saya selama tiga bulan. Selain lumpuh, bahagian muka sebelah kanan diserang strok. Mata hitamnya juga teralih – sebelah kiri dan sebelah kanan.

Dia juga mengalami masalah pendengaran yakni tidak dapat mendengar seperti orang normal. Dan keadaan ini berlanjutan selama enam bulan. Sepanjang tempoh itu, dia tidak mampu bertutur dan hanya menggunakan pen atau pensel untuk menulis. Kemudian, terdapat back sore yang besar sehingga menampakkan tulang. Selera makannya juga kian merosot.

Hanya makan lima camca nasi sahaja dan rentetan itu tubuhnya semakin kurus dan cengkung kerana tiada selera makan. Dan memandangkan tiada apa yang boleh dilakukan oleh doktor, maka saya bawa isteri keluar hospital dan mencuba rawatan alternatif.

Hingga hari ini saya masih menjaganya sepenuh masa. Mendukungnya ke bilik air, angkatnya kemudian diletakkan di kerusi roda, menyalin lampin itu dan ini. Alhamdulillah isteri saya menampakkan perubahan. Sekurang-kurangnya dia boleh mengangkat tangan tetapi anggota badan yang lain masih tidak berfungsi dan tidak mempunyai deria rasa. Dan kini dia boleh mengendalikan soal rekaan dan sering menggunakan komputer riba. Syukur juga kerana ingatannya kini sudah pulih sepenuhnya berbanding awal kejadian dahulu.

Menurut doktor, penyakitnya tiada penawar atau ubat yang spesifik untuk memulihkan keadaannya. Hal ini kerana ia melibatkan neuro dan bahagian otak. Umpamanya otaknya tidak berfungsi untuk menyampaikan mesej juga menggerakkan anggota tubuh yang lain (dari bahagian dada ke bawah). Sama ada sakit atau tidak, dia tidak terasa. Hanya suku badan sahaja yang ‘hidup’.

Alhamdulillah walaupun keadaan isteri saya sebegitu tetapi jiwanya kuat dan semangatnya tinggi. Rentetan itulah saya tidak lagi berlakon dan menerima undangan peragaan. Setahun saya tidak bekerja.

Saya berterima kasih juga kepada anak-anak kerana mereka benar-benar memahami keadaan ibu mereka dan apa yang perlu saya lakukan. Misalnya selepas mereka pulang dari sekolah, barulah saya boleh keluar untuk menyelesaikan urusan kerja.

Bagaimana ‘survive’ ketika itu memandangkan Edika tidak lagi bekerja?

Saya menggunakan wang simpanan. Habis semua wang simpanan kami suami isteri dahulu digunakan untuk menampung kos rawatan dan pelbagai rawatan alternatif sebagai usaha dan ikhtiar untuk memastikan keadaan isteri kembali pulih. Tetapi rakan- rakan banyak membantu misalnya dengan pemberian projek rekaan dan percetakan. Daripada situlah saya peroleh sumber pendapatan. Berdikit-dikit.

Hanya selepas enam ke tujuh tahun isteri saya kembali pulih sedikit demi sedikit. Ingatan dan pergerakannya beransur-ansur menampakkan perubahan. Berbeza dengan lima tahun pertama selepas peristiwa itu, keadaannya masih lemah. Sehinggakan dia tidak mampu untuk duduk di kerusi roda. Hanya baring sahaja.

Cara Edika kendalikan emosi ketika menempuh saat genting seperti itu memandangkan anak-anak masih kecil?

Pada saya semua orang mempunyai cara tersendiri. Dan sebenarnya tidak mudah untuk menguruskan semuanya baik daripada segi spiritual, emosi dan fisiologi. Saya tidak menafikan pelbagai perkara yang bermain dalam fikiran saya ketika itu. Macam-macam perkara saya fikirkan. Saya berdoa dan menetapkan iltizam, seandainya Allah SWT memberi peluang untuk isteri saya hidup, saya berjanji akan menjaganya sehabis baik.

Dan jika Allah ingin menjemputnya kembali pun saya akan tetap reda dan menerima hakikat hidup. Dan syukur hingga hari ini Allah panjangkan usia isteri dan saya cuma kotakan janji yang telah saya lakukan pada Allah SWT.

Ini bukan soal kesetiaan dan sebagainya. Saya melihat dugaan ini sebagai ujian dan menggalasnya dengan penuh rasa tanggungjawab. Hingga ke akhir hayat saya akan sempurnakan sebaik mungkin, insya-Allah.

Pernah rasa putus asa dengan ujian ini?

Perasaan itu tidak boleh menipu. Malah ia sesuatu yang normal bagi seorang manusia untuk berperasaan demikian. Dan saya tidak menafikan bisikan, hasutan juga usikan nakal itu pernah hadir menjentik emosi. Kadangkala saya sering tertanya kepada diri sendiri apakah benar apa yang saya lakukan ini? Inikah caranya? Betulkah tidak salah? Umpamanya bergolak juga jiwa dan emosi saya. Tetapi saya tidak biarkan ia berlarutan dan terus hanyut dibuai perasaan itu.

Misalnya selepas 14 tahun berkahwin, boleh sahaja jika saya mahu berpergian dan mengembara serata dunia melihat ragam manusia. Tetapi atas rasa tanggungjawab dan belas ihsan kepada isteri, saya undur langkah. Biarpun isteri menggalakkan saya untuk melakukan apa jua yang saya impikan tetapi saya tidak boleh.

Dia beri dorongan sepenuhnya supaya saya kembali berlakon tetapi pada mulanya saya tidak yakin. Kerana saya sering memikirkan keadaan isteri yang memerlukan saya sentiasa bersama dengannya. Saya selalu memikirkan saya perlu memandikannya setiap hari, menyiapkannya itu dan ini kerana sudah terbiasa dengan rutin itu. Dan kerana itulah saya enggan menerima tawaran berlakon lebih-lebih lagi jika ia memerlukan saya keluar (out station).

Jika keadaan mendesak sekalipun, saya perlu balik atau cuba balik ke rumah pada waktu malam dan jika tidak anak-anak perlu ponteng sekolah untuk menjaga ibu mereka. Atau jika tidak, saya meminta bantuan ibu atau ibu mentua untuk datang ke rumah menjaga isteri. Tetapi keadaan kesihatan mereka kadangkala tidak mengizinkan.

Ibu saya dahulunya penghidap kanser esofagus dan ibu mentua pula menghidap kanser payu dara. Dan ada ketikanya apabila mereka sakit, saya akan menjaga mereka. Bagi isteri saya, dia adalah anak tunggal perempuan dan walaupun dia sendiri sakit, tetap mahu menjaga ibunya yang sakit.

Dalam sela-sela masa seperti itulah kadang-kadang saya berfikir, telah banyak yang saya korbankan tetapi apa yang saya peroleh? Tetapi saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Dalam masa sama saya perlu memikirkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan keluarga.

Perniagaan rekaan dan percetakan yang saya usahakan selama ini juga tidak menjanjikan sumber pendapatan yang tetap.Ia bergantung kepada projek yang diperoleh. Ada ketikanya dua hingga tiga bulan tiada projek. Setiap hari saya perlu berfikir apa yang perlu disediakan untuk keesokan harinya dan begitulah hari-hari yang seterusnya.

Bagaimana Edika kekal positif sepanjang menempuh ujian ini?

Apa yang membuatkan saya optimis dan positif adalah apabila saya melihat ramai usahawan yang masih muda tetapi berjaya mencipta nama dan empayar perniagaan mereka sendiri. Jika mereka boleh berjaya, mengapa tidak saya? Pada saya, berbekalkan pengalaman sedia ada, misalnya dahulu pernah berkhidmat sebagai pramugara selama lima tahun; ia banyak mengajar saya tentang pelbagai perkara.

Daripada kembara hampir suku Atlas dunia ke bidang perniagaan – membuka pintu yang luas kepada saya. Peluang dapat mengenali pelbagai ragam manusia, turun naik dan untung rugi dalam perniagaan banyak mematangkan fikiran saya. Daripada situlah saya belajar dengan melihat bagaimana cara kerja mereka yang berkecimpung dalam bidang perniagaan percetakan dan sebagainya. Apakah kebaikan dan kekurangan di sebalik sesuatu dan lain-lain.

Serentak itu, saya mengambil inisiatif untuk membuka pernigaan berasaskan kecantikan hasil kerjasama dengan isteri. Isteri saya dahulunya punya kepakaran dalam bidang solekan ketika dia masih muda. Dia pernah bekerja secara freelance sebagai jurusolek artis dan filem. Dan saya pula punya serba sedikit ilmu mengenai penjagaan kulit ketika aktif bergelar peragawan dahulu.

Maka kami gabungkan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk menghasilkan produk. Kami hasilkan mist spray yang formulanya sesuai diaplikasi untuk lelaki dan wanita. Ia adalah sejenis serum berasaskan penggunaan air. Hanya semburkan pada wajah untuk efek kulit lebih glowing, segar dan cantik. Bukan sekadar boleh diaplikasi pada wajah, jika sesiapa yang mengalami masalah kulit juga boleh mencuba mist spray ini.

Kami jalankan penyelidikan dan pembangunan produk selama setahun untuk memastikan keberkesanannya. Boleh didapati secara online dengan melayari laman Instagram @f1astavita juga Facebook FIASTAVITA. Sudah 10 bulan berada di pasaran dan sambutan yang kami terima setakat ini amat menggalakkan. Ramai yang sudah memesan untuk kali kedua kerana ia juga bertindak memulihkan pelbagai masalah kulit.

Penerimaan anak-anak melihat ibu mereka yang sakit, bagaimana?

Sejak kecil lagi mereka sudah biasa melihat ibu mereka duduk di kerusi roda. Apabila meningkat usia dan sudah bersekolah, semua urusan dan kendalian anak-anak saya yang uruskan.

Misalnya jika ada aktiviti di sekolah yang memerlukan penglibatan ibu bapa, hanya saya yang akan sertai. Isteri sendiri tidak mahu memperlihatkan keadaan dirinya yang duduk di kerusi roda di hadapan rakan kepada anak-anak. Kerana dia bimbang anak-anak akan diejek oleh rakan mereka.

Pernahkah anak-anak merasakan kurangnya penglibatan ibu dalam soal menguruskan mereka?

Mereka memahami keadaan dan kurangnya keupayaan ibu mereka. Namun demikian ibu mereka menunjukkan perkembangan dan sekurang- kurangnya mencuba melakukan sesuatu. Misalnya kini hanya tangan yang mampu digerakkan dan dia juga membantu dengan memasak walaupun duduk di kerusi roda elektrik.

Dia menggunakan bantuan kawalan jauh pada kerusi roda tersebut untuk memudahkan pergerakan. Dia masih lagi ke dapur memasak untuk kami sekeluarga. Dan dia cuba mengikut kemampuan dirinya. Cuma kesukaran itu timbul apabila saya tiada di rumah. Misalnya jika isteri mahu duduk di sofa, anak- anak perlu bantu untuk mengangkat atau menggunakan board khusus untuk menginjakkan badan isteri.

Memandangkan isteri kini menggunakan beg urin maka aspek kebersihan perlu dititikberatkan. Dalam hal lain, keadaan isteri fragile dan mudah dijangkiti kuman atau penyakit misalnya demam, batuk dan selesema.

Antibodi dan daya ketahanan tubuhnya untuk melawan penyakit lemah berbanding manusia normal. Justeru saya mendisiplinkan anak-anak untuk turut membantu menjaga kebersihan rumah, baik dari dapur hingga bilik air.

Pasti tidak mudah bukan untuk Edika lakukannya selama ini?

Benar, bukan senang bagi saya menyempurnakannya. Bukanlah mahu merungut atau merintih tetapi itulah hakikatnya. Tetapi kami mencuba, baik saya mahupun isteri dan anak-anak kami bersatu dalam perihal ini.

Malah secara peribadi, saya sendiri sukakan cabaran dan saya anggap ini sebagai satu cabaran besar dalam rumahtangga kami. Walau sukar sekalipun, saya akan mengharunginya dan tetap menitipkan doa dan harapan agar suatu hari nanti isteri kembali sihat.

Apa kata doktor, adakah isteri mempunyai potensi untuk kembali berjalan seperti sebelumnya?

Menurut doktor hanya keajaiban sahaja yang akan memulihkan kondisi dirinya. Hal ini kerana faktor tulang belakang isteri ketika ditahan di ICU dahulu sudah lama tidak digerakkan dan keadaannya mengecut. Justeru untuk memastikannya kembali pulih sepenuhnya, terlalu sukar. Tetapi kami tidak pernah berputus asa.

Malah sejak awal insiden ini berlaku, pelbagai kaedah rawatan sudah kami cuba lakukan. Dan kami melakukan apa yang termampu. Kini hanya bergantung kepada ubat-ubatan dan suplemen.

Misalnya pengambilan antioksidan banyak membantu dalam memulihkan penglihatan dan struktur mata hitamnya kembali normal. Namun demikian, saiz kakinya mengecil. Secara keseluruhannya isteri saya menampakkan perubahan walaupun terlalu perlahan. Maka dengan itu aspek pemakanan perlu diberi penjagaan dan tumpuan.

Apakah ujian ini dianggap tsunami besar dalam rumahtangga kalian?

Jika tsunami di Indonesia dahulu bisa surut, begitu juga dengan rumahtangga kami. Bukan mahu mendabik dada tetapi saya reda dan looking forward dengan apa jua cabaran mendatang. Jika ujian ini kami bisa lalui, insya-Allah apa jua yang datang menduga akan membuatkan kami lebih kuat.

Ini janji Allah, bahawa setiap umat-Nya akan diduga dengan pelbagai perkara. Mungkin kerana faktor usia saya juga kini yang sudah 50 tahun, membuatkan pemikiran saya tidak teralih kepada soal lain. Jika janji Allah mahu menjemput saya kembali sekalipun, apalah daya saya untuk menidakkannya. Hanya pasrah dan bersedia sahaja.

Hikmah di sebalik ujian getir ini, adakah ia lebih mengeratkan kasih sayang sesama kalian?

Ya, benar. Ada ketikanya kami juga seperti pasangan suami isteri lain. Kata orang sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri bukan? Kadangkala kami juga bergaduh kerana soal-soal biasa dalam rumahtangga. Dan lebih daripada itu, saya memberi layanan kepadanya seperti biasa.

Saya tidak pernah mengasingkan dirinya dari tempat tidur. Apa jua aktiviti kami lakukan bersama. Dan selepas dia mampu duduk di kerusi roda, saya beri tumpuan agar dia tahu bagaimana menggunakan komputer riba. Supaya dia dapat belajar sesuatu yang akan memberikan kebaikan buat dirinya. Saya melihat kemahiran ini sebagai suatu kemestian dalam menjalani kehidupan era kini.

Apatah lagi, seandainya ditakdirkan dia tidak mampu pulih sepenuhnya seperti dahulu; sekurang-kurangnya dia tahu dia masih boleh bekerja. Dan dia mampu berdikari jika takdir Allah menjemput saya terlebih dahulu.

Kami suami isteri bukanlah daripada keluarga yang kaya-raya atau punya harta yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Justeru, semua perkara harus disiapkan sendiri. Dan perihal yang sama saya ingatkan kepada anak-anak.

Perancangan selepas ini, apa lagi yang mahu dilakukan?

Esok tidak menjanjikan kepastian. Selebihnya hanya ikhtiar dan perancangan yang mampu difikirkan. Saya akui bekerja sendiri cabarannya tetap ada. Jika saya lihat perniagaan percetakan dan rekaan perlahan, saya alihkan tumpuan kepada menggerakkan produk keluaran kami. Dan jika kedua-duanya juga kurang memberangsangkan mungkin saya akan membuka kelas atau sekolah yang melatih sesiapa untuk belajar berenang.

Saya tidak boleh menunggu jika sesuatu ikhtiar atau kerja itu tidak menjadi, maka saya harus bingkas mencari alternatif lain. Umpamanya kepala ini tidak pernah berhenti berfikir.

Apa kata-kata semangat yang diberikan kepada isteri supaya dia juga turut positif seperti Edika?

Saya sering mengingatkan isteri bahawa kami saling memerlukan antara satu sama lain. Baik saya mahupun dia, kami harus memberi galakan sesama sendiri. Walaupun dia sakit, dia perlu memberi dorongan dan galakan kepada saya.

Selain itu saya sering memberi peringatan kepadanya jika orang lain boleh lalui pelbagai ujian getir, kita pasti boleh lakukan perkara yang sama. Lakukan selagi apa yang kita mampu dengan sehabis baik.

Dalam masa sama, kami perlu tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Belajar erti bagaimana mahu mengatur perjalanan hidup. Juga tidak semua yang diingini akan diperoleh dengan mudah. Semuanya menuntut usaha dan kerja keras.

Galakan isteri salah satu faktor penguat Edika mahu kembali aktif?

Ya, dia yang menyuruh agar saya mencuba. Dahulunya saya sudah mula bosan dan tawar hati untuk masuk semula dalam industri. Biarpun banyak produksi yang memberi tawaran tetapi saya fikir sukar untuk saya terima. Pada hemat saya ketika itu, mereka tidak lagi sealiran dengan saya. Seolah-olah hilang keyakinan saya pada peringkat itu. Tetapi lama-kelamaan isteri yang berikan semangat dan sokongan.

Katanya, “Pergilah cuba. Anak-anak pun nak tengok macam mana you berlakon dahulu.” Lantas anak-anak juga memberi galakan yang sama malah mereka turut menyimpan koleksi foto daripada iklan komersil yang pernah saya peragakan dahulu.

Dan hasilnya, alhamdulillah perlahan-lahan saya dapat kembali dalam industri. Malah, undangan sesi fotografi ini juga adalah hasil dorongan dan desakannya.

Nasihat Edika kepada pasangan suami isteri yang baru berkahwin?

Perkahwinan umpama perjanjian sebuah syarikat. Anda sudah menandatangani kontrak, itu dan ini. Dan pastikan apa jua yang berlaku antara suami dan isteri itu perlu dikongsi, 50-50.

Senang dan susah, faktor kewangan, keluarga masing-masing atau apa jua masalah kemukakan dan bincang bersama. Belajar untuk berkongsi dan jangan sesekali berkira sesama suami isteri.

Lakukan apa jua dengan penuh tanggungjawab. Buat suami-suami pula, ringankan tangan membantu tugas dan kerja isteri. Seorang isteri ditakdirkan kepada kita bukan untuk menjadi maid tetapi soul mate.

Hargai dan lakukan kerja-kerja rumahtangga bersama-sama. Kerana perlu diingat, apa yang kalian lakukan akan diperhatikan oleh anak-anak. Anak-anak akan ingat bagaimana layanan anda terhadap isteri.

Harapan Edika?

Jika dapat kembali mewarnai dunia seni, ia umpama batu loncatan dan peluang kedua untuk saya meneruskan perjalanan hidup. Menjadi harapan saya dan isteri agar perniagaan yang kami usahakan ini terus berjaya. Saya memasang angan-angan untuk membuka syarikat percetakan sendiri. Doakan kami semoga berjaya mencapai apa yang dirancang.