Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isteri – Lepas Kahwin, Suami Dan Anak Kawannya. Ini Antara Sebab Kenapa Isteri ‘Hilang’ Kawan Sebenarnya.

Huda Hussain
02/03/2021 15:00 MYT
Berpuluh kali kiriman Whats App di group menghuraikan perasaan rindu untuk ketemu sahabat handai dan rakan taulan. Yang kalau dulunya tak rancang beria pun tup-tup boleh saja jumpa. Window shopping, pergi tengok wayang, makan, berkelah dan pelbagai aktiviti memenuhi agenda saban minggu.

Tetapi itu semua dahulu, ketika semua masih bujang. Baru mahu belajar erti kehidupan sebelum hati terpaut dengan si jejaka belahan jiwa. Namun demikian, setelah berkahwin dan lebih-lebih lagi selepas beranak-pinak, kawan-kawan yang dahulunya ke hulu-hilir bersama ‘hilang’ begitu sahaja.

Kredit Foto: Huda Hussain

Kehidupan Merubah Segalanya
Bukan disebabkan bergaduh atau apa-apa yang berlaku antara dia dengan kawan-kawannya, tetapi hakikat perubahan yang berlaku dalam kehidupan masing-masing yakni kerana sudah berkahwin. Ada yang terpisah kerana jarak yang jauh. Seorang di Utara, Selatan dan tinggallah dia seorang di Pantai Timur. Dan ada kalanya kesibukan usai memikul peranan sebagai isteri membatasi segalanya. Kapasiti dan kemampuannya untuk bebas bergerak, duduk berlama-lama membelek telefon bimbit atau melayari media sosial tidak lagi galak seperti waktu bujang dahulu. Dan hakikat masa turut menyumbang kepada faktor ini.

Dan bukan mudah untuk aturkan pertemuan atau merancang perjumpaan dengan rakan-rakan. Contoh mudah bila salah seorang ada masa untuk berjumpa, seorang lagi pula tiada masa atau mungkin tak dibenarkan keluar rumah. Dan boleh jadi juga apabila seorang tu ada masa nak bercerita, seorang lagi sibuk dengan anak-anak dan kerja rumah. Sudahnya jarang dapat keluar dengan kawan-kawan, susah nak dapat peluang meluah perasaan atau berkongsi apa jua cerita pada kawan-kawan. Umpamanya masa dengan kawan-kawan dah habis atau tamat begitu sahaja.

Kredit Foto: Huda Hussain

Rindukan Masa Lalu
Lantaran itu, terkenanglah kembali memori atau kenangan silam waktu masing-masing masih bujang. Tidak terikat dan tiada komitmen, ke mana sahaja boleh berpergian. Nak out station pun bisa jadi kurang 24 jam perancangan. Tahu-tahu saja sudah sampai. Ahhh, rindunya! Ya, sebelum berkahwin semua itu boleh dirasai bersama kawan-kawan. Tetapi perlukah bersedih dek kerana kawan mulai ‘hilang’ atau tak ramai kawan? Tidak, kerana begitulah lumrahnya.

Dalam meniti kehidupan, ada fasa dan peringkat perubahan yang mahu atau tidak kita perlu laluinya. Ada masanya kita enjoy, bergembira ke sana sini dengan kawan-kawan, keluar siang balik malam, berlibur dan berhibur dan segala macam lagi. Ada peringkat masanya kita belajar, bekerja dan seterusnya berkahwin. Dan setelah berkahwin, banyak perkara yang dahulunya menjadi kebiasaan tidak lagi dilakukan. Beransur-ansur ditinggalkan atau diketepikan. Apatah lagi jika sudah punya anak. Semestinya tanggungjawab dan komitmen kian berganda. Perlu tahu bezakan mana prioriti dan perlu diutamakan.

Kredit Foto: Huda Hussain

Mujur Ada Aplikasi Dan Media Sosial
Walau tak sama tetapi hubungan itu tetap kembali terjalin. Jarak yang jauh memisahkan jasad masing-masing bagaikan menyatu kembali di medan ini. Ya, perasaannya takkan pernah sama apabila dapat bersua muka, bertepuk tampar, tolak-tendang kaki (oh, ini habit penulis kalau mahu beri isyarat kepada kawan supaya menoleh melihat sesuatu atau seseorang, hahaha). Tetapi hakikatnya disinilah tempat berkongsi suka dan duka, kemas kini perkembangan masing-masing sudah cukup untuk menggamit rindu dengan kawan-kawan.

Maka tak perlulah disesali ke mana ‘hilang’nya kawan-kawan yang sekepala dengan anda. Berkawan saja dengan sesiapa yang sedia ada. Baik di rumah, dipejabat atau di mana sekalipun. Kekalkan berhubung dan teruskan silaturahim ini. Biarpun bertahun tak berjumpa tetapi ingatan dan kenangan akan menjadi tanda mata yang paling istimewa untuk dikenang sampai bila-bila. Ya, saya rindu dengan semua kawan-kawan saya. Moga kalian sihat hendaknya dan berada dalam lindungan dan rahmat-Nya.
#wanita #Perhubungan #Kawan
;