Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Isteri Nak 'ME TIME'? Ini Faktor Mengapa Suami Perlu Izinkan Dan Lebih Rasional Memahami Sebabnya.

Huda Hussain 03/11/2020 | 14:45 MYT
Mengimbas zaman emak-emak kita dahulu terutama yang bergelar surirumah sepenuh masa mungkin tidak pernah terfikir untuk menikmati waktu sendirian. Tempoh 24 jam, 365 hari hanyalah diperuntukkan untuk berkhidmat kepada keluarga. Dan waktu ‘me time’ mereka pula mungkin terhad lantaran ketika itu tidak banyak kemudahan seperti zaman sekarang. Malah kekangan dari segi pergerakan atau jarak membataskan emak-emak dahulu untuk ke sana-sini. Ini andaian penulis kerana ketika zaman itu tiada pendedahan tentang mengapa pentingnya kaum ibu dan isteri memperuntukkan waktu untuk diri mereka sendiri.
Kredit Foto: Google
Zaman Dah Berubah
Berbeza dengan milenial ini. Rata-rata kaum ibu dan para isteri punya pendidikan dan berkelulusan universiti, kolej dan sebagainya. Walaupun ada yang terpaksa berhenti kerja dan menggalas tanggungjawab surirumah sepenuh masa, tetapi asas pendidikan dan pendedahan tentang apa yang berlaku di sekeliling itu memang ada. Bahkan lebih daripada itu, ia dikuasai sepenuhnya. Ramai surirumah yang turut mempunyai akaun media sosial selain dalam masa sama menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti bisnes dalam talian (online) dropship, ejen dan lain-lain. Semuanya dilakukan demi menampung pendapatan sampingan juga menjana wang sendiri.
Dan lantaran kaum ibu era kini sudah mempunyai pendedahan tentang perlunya mereka untuk menikmati me time; ia menunjukkan mereka peka dengan isu kesihatan mental dan pemikiran diri sendiri. Hal ini kerana, perihal emosi dan perlakukan amat penting untuk sentiasa dipantau khususnya dalam kalangan wanita yang menguruskan rumahtangga sepenuh masa. Mengapa ia penting? Ini butirannya:
Kredit Foto: Google
  1. Lebih Produktif
Aik, surirumah pun perlu produktif kah? Bukannya ada Kpi pun! Ya, tiada pun penilaian di atas kertas. Tetapi semuanya berbalik kepada pengendalian emosi, kekuatan mental dan dalaman isteri. Sungguh, bukan mudah bergelar surirumah sepenuh masa. Penatnya, stresnya, letihnya, Tuhan saja yang tahu. Dan para suami tak perlu angkuh dengan mengatakan boleh lakukan apa yang isteri buat secara total. Sehari mungkin boleh, dua hari mula tertekan dan kalau sebulan boleh depresi atau gila agaknya. Kesihatan dalaman yakni emosi, perasaan amat penting untuk dijaga. Pemikiran yang sihat akan melahirkan tindakan yang proaktif dan produktif. Taklah isteri mengeluh penat, muram atau monyok sepanjang hari kalau emosinya terganggung. Kalau isteri bahagia, seluruh rumah juga akan ceria. Percayalah!
  1. Sebelum Sibuk Fikir Perihal Anak Dan Suami, Fikir Diri Sendiri Dahulu
Bukanlah bermakna mementingkan diri sendiri. Tetapi pokok pangkalnya, bahagiakan diri anda terlebih dahulu sebelum anda membahagiakan orang lain. Senyuman atau riak wajah mungkin boleh menipu atau mengaburi pandangan mata orang lain. Tetapi hakikatnya dalam hati, tersimpan 1001 perasaan yang tidak dilepaskan. Rasa geram, tertekan, marah, tidak puas hati dan sebagainya tidak diluahkan. Lantaran itu mana mungkin anda mampu membahagiakan orang lain? Ya, ibu mana yang tak sayangkan anak. Isteri mana yang tak sayangkan suami. Jadi, sebelum menyayangi orang lain, sayangi dan ambil beratlah tentang diri anda dahulu.
Kredit Foto: Google
  1. Meredakan Tekanan
Bukan calang-calang hebat ujian saat memikul peranan sebagai surirumah. Pendek katanya, saat suami keluar bekerja, semua yang berlaku dirumah adalah tanggungjawab dan amanah kita. Dalam pada sibuk memasak anak-anak di hadapan berkelahi, berebut dan menangis. Apabila waktu makan, baru mahu menyuap si adik, abang pula tumpahkan air. Bangunlah ibu ke dapur ambil kain lap. Si bongsu yang bayi pula menangis minta didukung ataupun mahu menyusu. Itu baru sedikit. Belum lagi siri pergaduhan, perebutan, perang mulut ejek-mengejek atau rumah bagai tongkang pecah berselerak dengan alat mainan anak-anak. Siapa yang tak tertekan? Jadi perlu ada ruang dan masa untuk ibu leraikan kekusutan dan tekanan melalui ‘me time’.
  1. Lapangkan Fikiran
Penting untuk menikmati ‘me time’ bagi mengosongkan seketika fikiran yang senak dengan bermacam input. Si adik mengadu kakak mencubitnya, si kakak pula berlagak diva mengarah-arah adik buat bermacam benda, si abang pula sibuk bermain game di telefon bimbit hinggakan apabila disuruh cebok si adik pun buat takt ahu sahaja. Ya, dalam sehari bermacam-macam perkara yang masuk dalam kotak memori ibu. Itu belum lagi dikira apabila kita sudah rancang mahu lakukan sesuatu, tergendala dek kerana ragam anak yang menguji kesabaran kita. Lantaran itu, perlu ada masa untuk kita lapangkan fikiran seketika daripada memikirkan soal anak dan urusan rumahtangga tanpa henti. Berehatlah, berhentilah seketika. Tarik nafas sedalamnya dan hembus perlahan-lahan. Pejamkan mata dan lupakan sekejap segala kucar-kacir yang perlu anda hadam saban hari.
Kredit Foto: Google
  1. Mengeratkan Hubungan Suami Isteri
Menurut Happify Daily, kajian oleh Universiti Michigan mendapati bahawa kurangnya masa untuk diri sendiri adalah salah satu punca utama dalam rumahtangga yang bermasalah. Ia turut disokong oleh Psychology Today yang menyifatkan ‘me time’ dapat membantu otak seseorang berfikir dengan lebih mendalam. Secara tidak langsung, ia menjadikan seseorang lebih menghargai perhubungan dan mampu membuat keputusan yang lebih baik untuk diri sendiri dan juga orang sekeliling. Kalau suami bertanyakan, “Sayang okey harini? Kalau ada apa-apa beritahu abang. Abang tahu sayang penat.” Sebenarnya sudah cukup melegakan segala tekanan atau bebanan yang dirasai sepanjang hari kan? Seolah-olah rasa penat melayang dan berlalu pergi begitu sahaja. Suami yang mengambil berat perihal isteri adalah lambang sistem sokongan yang efisien dan baik. Sekali gus tidak meletakkan segalanya dibahu isteri. Dan membuktikan suami tidak meminggirkan isteri walaupun suami tiada dirumah. Malah ia juga mampu mengeratkan hubungan dan kasih sayang sesama suami isteri.
Nikmati ‘Me Time’ Walau Hanya Sekejap
  1. Tunaikan Solat-Solat Sunat
Apa kata luangkan masa seketika sebelum masuk waktu Subuh untuk menunaikan solat-solat sunat. Misalnya ibu-ibu boleh lakukan solat sunat taubat, solat taubat dan solat hajat. Luangkan waktu bersama Maha Pencipta itulah yang paling afdhal. Memohon untuk diberikatan kekuatan dan kecekalan hati, dikuatkan kesabaran dalam menempuh pelbagai ujian mendatang selain mendoakan keharmonian rumahtangga. Merayu dan pintalah, bisikkan pada-Nya, luahkan segala yang terpendam. Moga Dia berikan kekuatan dalam sanubari kita, insya-Allah.
Kredit Foto: Google
  1. Mengaji Al Quran
Tiada yang paling menenangkan jiwa dan menenteramkan nurani selain menyebut atau membaca kalimah-kalimah dari surat cinta Yang Maha Esa yakni Al-Quran. Memadai dengan membiasakan diri membaca satu muka surat setiap hari. Jika anda istiqamah pasti dapat merasai kelainannya apatah lagi lakukannya sebagai sebahagian daripada rutin harian sebelum melakukan kerja-kerja rumahtangga yang lain. Sedikit sebanyak, ia juga dapat membantu menguatkan kesabaran sekali gus memelihara tindak-tanduk kita sebagai perisai yang menghalang daripada bertindak di luar kawalan dan kewarasan akal fikiran.
  1. Mandi Lebih Lama Daripada Kebiasaan
Bangun lebih awal dan nikmatilah waktu mandi tanpa gangguan anak-anak yang selalu terjerit-jerit memanggil ‘Mama.. dah ke belum? ‘Mama adik nak makan’ dan bermacam permintaan anak-anak. Lebih menarik jika anda luangkan masa untuk skrub tubuh badan, lumurkan masker dan lain-lain. Bersyampu dan oleskan perapi, mencuci wajah dan pendek kata nikmatilah waktu mandi sepuasnya. Ibu-ibu pasti boleh anggarkan jam berapa selalunya si kecil bangun pagi kan? Jadi faktor pengurusan masa memainkan peranan penting dalam soal ini. Selamat mencuba!
Kredit Foto: Google
  1. Tidur Dan Rehat Yang Cukup
Ya faham, kerja-kerja rumah ini memang takkan pernah habis atau tamat tempoh. Celik saja mata akal kita sudah mula berfikir mahu lakukan apa. Nak masak apa untuk sarapan, apa menu makan tengah hari, minum petang dan sebagainya. Itu belum dikiran soal membasuh pakaian, menyapu, mop lantai, mengelap habuk, mencuci tingkap, sapu sawang dan eh… Berjela senarainya! Lantaran itu, ibu-ibu perlu pastikan mendapatkan waktu tidur dan rehat yang cukup. Ya, waktu tidur juga sebahagian daripada ‘me time’ kerana pada ketika itulah tubuh kita berehat seketika daripada bekerja dan bergerak di sebelah siangnya. Bagi memastikan tubuh kekal bertenaga dan bermaya untuk menempuh satu lagi hari keesokannya, maka waktu tidur yang berkualiti amat membantu.
  1. Keluar Sekejap Pergi Kedai Pun Jadilah…
Bukan tak sayangkan anak-anak tetapi hakikatnya ibu-ibu perlu memikirkan betapa pentingnya menjaga kesihatan diri sendiri. Kalau ibu-ibu tak sihat, pasti kucar-kacir seisi rumah dibuatnya. Dapur tak berasap, baju tak bersidai dan berlipat, rumah berselerak dan sebagainya. Justeru, jangan berkira untuk meluangkan masa untuk diri sendiri. Mudah saja, usai suami pulang dan berehat minta izin untuk keluar seketika. Keluar untuk ringankan kepala daripada uruskan fiil anak yang bermacam ragam dan karenahnya. Keluar untuk menghirup udara, keluar untuk melupakan seketika apa yang berantakan di rumah. Walau cuma pergi ke kedai dan makan aiskrim dalam kereta pun, anda pasti sudah gembira kan? Ya, sekejap sahaja. Dan selepas itu, anda mampu ‘refresh’ diri dan minda. Serap pula aura positif, energi yang positif lantas tak perlu lagi memarahi anak-anak kerana tertekan.
Kredit Foto: Google
  1. Bertemu Kawan
Hai cik abang, ingat awak saja suka melepak di kedai mamak dengan geng? Berilah peluang sesekali kepada isteri untuk dia keluar dengan rakannya. Sama ada membawa anak bersama atau giliran suami pula menjaga anak dirumah, itu terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing. Bukan apa, berilah peluang dan ruang untuk isteri mengeratkan silaturahim bersama kawan-kawannya. Lagipun bukannya selalu. Dua minggu sekali pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya isteri maklumkan dengan siapa dia pergi, ke mana lokasi dan asalkan tidak lupa menjaga maruah diri dan nama baik suami.
Apa yang penting komunikasi suami isteri dalam soal ini amat penting. Agar ia disepakati dan difahami mengapa dan perlunya bagi suami memberi ruang kepada isteri untuk menikmati waktu sendiriannya dengan lebih privasi. Ia juga demi kebaikan hubungan suami isteri dan kelangsungan keharmonian rumahtangga.
#Isteri #Me Time #Kesihatan Mental
;