Maklum sajalah memandangkan situasi sukar sekarang, ramai diantara kita yang emosinya tak stabil dan terganggu. Mana lagi perlu berdepan dengan tekanan hidup, ada yang sesak dada dek mengajar anak-anak, memikirkan masalah-masalah lain dan banyak lagi.

Rentetan itu, ada dalam kalangan isteri yang mudah melenting. Pendek kata silap sikit mulalah menyinga. Dan suami perlu faham jika berhadapan dengan situasi seperti ini. Kalau kita nampak isteri tengah naik marah, membebel, mula cakap merapu, menjerit, tengah naik angin dan lain-lain; apa perlu dibuat?

Kredit Foto: Google

Tak payah buat benda lain. Jangan tanya, tak perlu tegur. Apatah lagi beri tazkirah, ceramah berjela-jela. Tak perlu itu semua. Lebih-lebih lagi, jangan marah isteri semula. Ambil apa saja yang ada di tangannya, letakkan di tepi. Pimpin tangannya, bawa di satu sudut. Peluk isteri seeratnya. Tak perlu berkata apa-apa. Tak perlu pujuk. Cukup dengan pelukan.

Isteri mungkin akan menjerit, meronta-ronta minta dilepaskan dan marah. Mungkin kelihatan isteri macam energinya banyak dan kuat waktu itu. Tetapi percayalah, sebenarnya saat itu dia berada pada tingkat emosi yang paling lemah.

Kredit Foto: Google

Kalau ada orang memeluknya waktu itu, dia boleh menangis teresak-esak. Dia boleh mengadu tersedu-sedu seperti anak kecil. Dan ketahuilah juga, bahawasanya isteri tak mahu jadi begitu. Dia tak mahu merasai momen seperti itu. Dalamannya berperang dengan emosi. Dia nak jadi anak yang baik, isteri yang solehah dan ibu paling sempurna lagi terbaik di dunia.

Dan tindakan suami yang merangkul isteri dengan satu pelukan itu amat bermakna baginya. Pelukan itu cukup membuatkan dia faham bahawa suami memahami.

Bukan sifat semula jadi si Isteri untuk menjadi seorang yang pemarah tanpa sebab-sebab kukuh. Dia bukan terlahir sebagai orang yang suka marah-marah. Semua itu dipengaruhi persekitaran, apa yang berlaku disekelilingnya yang mempengaruhi spiritualnya. Kalau dia memang jenis yang mudah marah, baran atau berdendam, percayalah waktu bercinta lagi suami takkan berkenan dan dah lama dia ditinggalkan.

Kredit Foto: Google

Jangan biarkan isteri sendirian memujuk rasa. Jangan biar isteri lama-lama menyimpan dan memendam. Biar isteri luahkan hanya melalui bahasa tubuh yang suami tunjukkan. Perjalanan rumahtangga ini adalah satu destinasi yang paling panjang, memakan masa dan sebenarnya ia adalah titian menuju ke syurga.

Memang tak mudah untuk melalui itu semua. Ada onak dan liku, ranjau dan duri yang mencuit diri. Suami perlu memahami, sedar dan pamerkan sifat mengambil berat. Beri perhatian, luangkan masa sendirian bersama. Perjalanan ini memang tak mudah yang kita gambarkan. Cuba fahami dan sokonglah dia sepenuh jiwa raga. Pasti lapang dadanya, lega rasanya andai suami juga ambil peranan, ketepikan ego dan tidak mementingkan diri sendiri. Barulah rumahtangga lebih harmoni.