Rasanya macam baru saja lagi membacakan khabar kematian pelakon, Ashraf Sinclair, suami kepada selebriti Indonesia, Bunga Citra Lestari. Namun, ternyata genap setahun pemergiannya pada 18 Febuari ini. Dan pastinya ia masih diratapi dan sukar untuk dilupakan Bunga dan keluarga yang ditinggalkan.


Sisa hiba ini dapat ditelah saat menonton temubualnya bersama Daniel Mananta yang dimuatnaik di Youtube, It’s Me BCL sempena pelancaran single barunya, Love Story yang dinyanyikan semula daripada lagu asal, Ronald Steven yang popular pada era 70-an. Saat mengimbau detik terakhir hujung hayat Allahyarham Ashraf, Bunga sebak.


Seperti yang dilaporkan, Ashraf menghebuskan nafas terakhir di ruang kamarnya pada dini hari saat isterinya berada di situ. Namun, menurut Bunga, dia juga baru pulang ke rumah usai tugasan di luar. Dan, sedihnya walaupun pulang ke rumah lewat, dia masih sibuk menyudahkan baki kerja yang tertangguh. Waktu itu, dia baru pulang dari menjurikan pertandingan Indonesian Idol dan sempat meminta pendapat Ashraf mengenai foto yang ingin digunanya.


“Jam sudah tiga pagi tapi saya masih sibuk menyelesaikan kerja yang banyak. Waktu itu, keutamaan saya masih pada kerja. Ya, itulah penyesalan terbesar saya. Sentiasa mementingkan urusan kerja melebihi segalanya. Saya dulu seperti berlari dan terus berlari. Sedangkan saya tak pasti apa yang saya kerja selama ini. Ternyata, tidak ada,” Ujarnya dengan suara bergetar, menyeka air mata.



A post shared by Bunga Citra Lestari (@bclsinclair)





Walaupun dia cuba dipujuk Daniel ketika wawancara itu dengan mengatakan Bunga tidak seharusnya menyalahkan dirinya sendiri, namun Bunga masih berasakan dia seharusnya lebih menumpukan perhatian terhadap suaminya itu kerana apa yang dikejarnya selama ini bukanlah sesuatu matlamat yang pasti. Hanya kalau Bunga tahu sebegini singkat masanya bersama Ashraf.


“Kalau saya tahu waktu untuk bersamanya tidak begitu banyak, pastinya saya memilih untuk lebih fokus menghabiskan waktu bersama Ashraf. Ternyata, setelah kehilangan seseorang yang disayangi itu, baru kamu tahu itu semua (pekerjaan) tiada ertinya lagi,” Tuturnya jujur.


InTrend mendoakan Bunga terus tabah mendepani hari-hari tanpa Ashraf dan mampu memaafkan dirinya sendiri untuk segala kekurangan yang ‘dirasakannya’ itu. Kita tidak mampu menelah ajal maut seseorang, namun kita masih mampu untuk terus mendoakan kesejahteraan arwah di sana. Semoga Ashraf ditempatkan bersama orang-orang beriman. Amin....