gaya hidup

Jangan Bandingkan Suami Atau Isteri Dengan Pasangan Lain. Hargai Dan Terima Seadanya. Bukan Asyik ‘Complaint’ Saja!

gempak
Huda Hussain
04/12/2020
13:45 MYT
Sponsor Banner
Jangan Bandingkan Suami Atau Isteri Dengan Pasangan Lain. Hargai Dan Terima Seadanya. Bukan Asyik ‘Complaint’ Saja!
Hakikat hidup berumahtangga sudah pasti ada pancarobanya. Tanyalah sesiapa yang berkahwin, sudah tentu ramai yang melalui ujian masing-masing. Ada diuji dengan wang ringgit, misalnya dalam situasi pandemik Covid-19 ini. Ada diantara kita yang pasangannya diberhentikan kerja. Ada juga diuji dengan kesihatan, suami atau isteri jatuh sakit ataupun didiagnosis dengan penyakit tertentu. Tidak kurang diduga dengan isu anak. Sudah lama berkahwin tapi masih belum dikurniakan zuriat. Ada pula yang diduga apabila kematian pasangan, soal perebutan harta, perhubungan keluarga, sesama adik-beradik atau ibu mentua, ipar duai yang berantakan dan banyak lagi kalau mahu disenaraikan.
Kredit Foto: Google
Kerana ujian dalam rumahtangga ini takkan pernah surut dan hilang selagi hayat dikandung badan. Dan ujian inilah juga yang akan menguatkan atau meruntuhkan ikatan sesebuah perkahwinan. Jika antara suami dan isteri sudah punya benteng yang kuat, perhubungan dibina atas dasar kepercayaan, kejujuran dan ketelusan selain mencari reda Allah; pasti bisa menempuh pelbagai ranjau mendatang. Namun andainya hubungan yang didasari atas sebab-sebab tertentu, bimbang nanti di masa depan tidak cukup kuat berhadapan dengan badai yang melanda. Lantas ikatan perkahwinan yang suci itu lebur dan hancur begitu sahaja.
Kredit Foto: Google
Membandingkan Pasangan
Soal meletakkan perbezaan, membandingkan suami atau isteri dengan pasangan lain adalah salah satu ujian dalam rumahtangga. Apabila terbit rasa tidak puas hati dengan pasangan, mulalah kita mencari kesilapan. Yang kecil diperbesarkan, yang remeh disulitkan semata-mata mahu terus-terusan menyalahkan pasangan. “Awak tengok Linda bini Mamat tu. Pandai aje berhias, pakai cantik-cantik, mekap. Awak ni, tak habis-habis dengan baju kelawar aje. Saya tengok pun tak berselera. Tu, perut berlapis dah macam kuih lapis. Cubalah exercise, jangan malas”. Itu antara contoh sikap suami yang tidak bersyukur dengan kehadiran seorang isteri. Daripada asyik merungut, menyalahkan isteri tak pandai berhias diri, tanya diri anda terlebih dahulu. Ada atau tidak nafkah diberi untuk mencantikkan isteri agar sedap mata anda memandang? Jika jawapannya tidak, maka menjadi kewajipan anda sebagai suami untuk menyediakannya demi keperluan isteri. Jangan salahkan isteri semata-mata kalau dia tidak cantik pada pandangan mata anda. Bantu isteri dan perbetulkan sika panda juga sebelum membandingkan isteri dengan sesiapa.
Kredit Foto: Google
Begitu juga dengan isteri. Belajarlah bersyukur selagi suami masih menunaikan kewajipannya sebagai suami. Tetapi andai berhadapan dengan situasi seperti ini, pasti pening kepala juga dibuatnya. “Si Zul tu boleh aje tolong isteri dia masaklah, kemas rumah, tengok anak-anak. Tapi awak, asyik main game aje. Saya penat tau tak? Tangan ada dua aje, tapi semua benda saya yang buat seorang. Awak tak membantu langsung! Tahu order aje nak itu ini,” keluh si isteri.
Mungkin situasi ini juga pernah berlaku dalam kebanyakan daripada kita. Bagi isteri bukan tak bersyukur punya suami tetapi itulah, dia dengan hal dia. Dan kita pula terkial-kial perlu uruskan semua perkara. Alahai suami, ke mana perginya sifat tanggungjawab anda? Takkanlah terus-terusan mahu duduk senang lenang di ruang tamu, pesan itu ini tanpa sedikitpun rasa ingin membantu? Kasihanilah si isteri. Ingatlah anak-anak akan mengikut apa yang kita lakukan. Kalau beginilah caranya, jawabnya menantu kita nanti pun akan merungut perkara yang sama.
Kredit Foto: Google
Jaga Maruah Dan Aibnya
Saat anda membandingkan perlakuan pasangan dengan pasangan-pasangan lain, ketahuilah disitulah bermulanya anda hilang sifat hormat dan sayangkan pasangan. Ya, tiada manusia yang sempurna. Setiap daripada kita ada kekurangannya, kesilapannya. Maka dengan itu, jika terlihat kelemahan, kekurangan tegurlah dengan cara yang baik dan penuh hemah tanpa menjatuhkan air muka pasangan. Kerana pasangan kita juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Jangan sampai pasangan berkecil hati atau terasa dengan apa yang anda tuturkan. Ia hanya akan membuatkan pasangan jauh hati dan hilang keyakinan dalam diri. Seolah-olah dirinya tidak dihargai oleh insan yang dicintainya selama ini. Hati-hatilah.
Kredit Foto: Google
Hargai, Terima Dan Bersyukur
Pokoknya, selami nilai-nilai diatas sedalamnya. Seburuk manapun pasangan kita, kurang atau lebihnya dia hargailah sebaiknya. Sudah-sudahlah membandingkan dia dengan isteri atau suami orang lain. Jangan sesekali ungkit-mengungkit segala kebajikan mahupun kebaikan yang telah dilakukan. Kerana masing-masing punya cara tersendiri untuk menghargai dan meraikan pasangan. Bersyukurlah kerana Allah masih pinjamkan dia untuk kita. Supaya sisa-sisa masa yang ada dapat dimanfaatkan sehabis baik. Kerana hakikatnya pasangan bukan milik mutlak kita. Mereka adalah milik-Nya. Bila-bila masa sahaja Allah beri dan bila-bila masa juga Allah boleh ambil. Terima segala kekurangan dan kelemahan pasangan dengan berlapang dada. Dan pujuk hati supaya diberi kekuatan untuk memperbetulkannya dengan cara paling rasional. Pasangan kita adalah cerminan diri kita yang sebenar. Kalau mahu cermin itu berkilat dan cantik, maka gilaplah ia. Perihal yang sama juga dalam memperbetulkan kesalahan dan kekurangan pasangan. Berhati-hati tanpa mengecilkan hati. Insya-Allah pasti dirahmati dan diberkati Ilahi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live