Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Highlights

Jangan Jaja Kisah KELUARGA Di Media Sosial. Air Dicincang Tak Akan Putus. Nanti Dah Berbaik, Malu Sendiri.

Afiza Kamarulzaman 29/06/2020 | 15:18 MYT
Media sosial bukanlah medan tepat melempiaskan semua yang bersarang di hati. Apatah lagi membuka pekung di dada sendiri. Menyelak kisah dalam kelambu, meneriakkan keaiban keluarga, menyebarkan kisah ipar duai atau memperdebat kekabutan saudara-mara di situ bukan langkah bijak dan ternyata ia salah di sisi agama juga moral sebagai manusia yang berakhlak mulia.
Apa jua alasan yang diberi untuk memaparkan kisah keburukan keluarga, tidak dapat menghalalkannya. Matlamat tidak menghalalkan cara. Menaip kata-kata emosi atau status mengecam darah daging sendiri sama sahaja seperti kita mengumpat perihalnya terus kepada individu lain. Malah, ia lebih berat kerana dibaca oleh ramai orang dan jika dikongsi oleh orang seterusnya, bayangkanlah bagaimana dosa berkait itu terus bertebaran?
Kredit Foto: Google
Jaga Aib Orang, Allah Jaga Aib Kita
Sabda Rasulullah bermaksud; “Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.”
Jelasnya, jika kita menjaga aib orang (walaupun dia melakukan kesalahan kepada kita), maka Allah juga akan menjaga aib kita. Jangan berasa diri kita tidak punya sebarang silap atau keaiban hanya kerana kekhilafan kita tidak diketahui umum. Tiada manusia sempurna di dunia ini.Ssekali Tuhan mahu mempertontonkan dosa kita kepada umum, pasti kita sendiri tidak mampu melihatnya. Malah, mahu keluar rumah pun kita tidak sanggup jika dihitung satu persatu dosa yang pernah kita lakukan.
Kredit Foto: Google
Berfikir Panjang Sebelum Menaip Ayat
Sama ada menaikkan sebarang status, berkongsi kisah atau memberi komen, fikirlah semasak-masaknya. Jangan diturut emosi pada ketika sedang marah atau dendam, kerana ternyata pada ketika itu syaitan sedang berada di telinga kita berbisik hasutan yang maha jahat. Dan, apabila kita terus menulis kata-kata keabaian itu, berteriak gembiralah syaitan kerana umat manusia berjaya masuk ke perangkapnya.
Orang yang hebat adalah orang yang mampu mengawal marahnya. Maka, jika dalam keadaan marah dan beremosi itu, jauhi telefon bimbit kamu. Jangan dibuka media sosial itu lagi. Hentikan seketika. Jika sedang tidur, bangunlah. Jika bangun, duduklah. Kemudian, ambillau wuduk. Sejukkan api yang sedang marak dalam jiwa itu. Jika berkemampuan, buatlah solat sunat dua rakaat. Mohon petunjuk kepada Allah yang satu untuk memujuk hati yang celaru.
Kredit Foto: Google
Jangan Retakkan Hubungan Silaturahim
Sangat menyedihkan apabila melihat begitu banyak tali persaudaraan terputus dek media sosial. Adik-beradik renggang kerana terasa. Mentua dan menantu bermasam muka kerana status memerli. Ipar duai bersengkata kerana kata-kata kecaman tanpa usul periksa. Maka, tiadalah lagi hubungan silaturahim terjalin erat yang menggugurkan banyak pahala dan rugilah kita kerana terus berada dalam zon dosa bertelagah sesama saudara.
Orang luar tetap orang luar. Tidak perlu meminta pandangan secara umum tentang permasalah dalam keluarga sendiri. Sebolehnya tutuplah apa yang boleh ditutup. Ia mungkin menyakitkan jiwamu untuk seketika tapi percayalah dengan menyebarkan di media sosial tidak mungkin dapat melegakan jiwa itu. Malah, ia akan memburukkan lagi keadaan dan menjadikan hatimu lebih hitam. Kita adalah apa yang kita coretkan di ruang itu.
Kredit Foto: Google
#Media Sosial #Keluarga #Aib
;