Highlights
“Jangan KECAM Mereka Yang Berbelanja Saat Ini. Wang Tunai Umpama Air Yang Perlu Mengalir,” – Pengurus Dana.
Ramai yang mengecam apabila melihat kebanyakan orang kita mula membanjiri pusat membeli-belah. Ada yang berpendapat, dalam situasi sekarang ini, kita sepatutnya berjimat-cermat. Elakkan membazir dan sifat boros kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang – dalam keadaan seluruh dunia sedang berdepan dengan dilema pandemik, yang memberi impak besar terhadap ekonomi.
Benarkah kita tidak boleh berbelanja sekarang ini? Adakah duit yang ada harus disimpan baik-baik di dalam bank sahaja? InTrend bertanyakan pandangan Pengurus Dana di sebuah syarikat swasta terkemuka, En. Faiz Hamsidi yang berpengalaman hampir 12 tahun dalam bidang pelaburan dan hal ehwal kewangan. Bagaimana beliau melihat situasi ekonomi hari ini dan sikap berbelanja rakyat Malaysia?
Kredit Foto: Faiz Hamsidi
Impak PKP Terhadap Ekonomi
Seperti yang kita tahu, kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah diumumkan sejak 16 Mac tempoh hari, kemudian dilanjutkan sehingga 9 Jun nanti sangat besar terhadap ekonomi negara dan dunia. Walaupun kita tahu objektif arahan ini adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19, namun tidak ramai yang benar-benar senang dengan perintah tersebut.
Sektor ekonomi antara yang paling terkesan apabila PKP ini dijalankan. Setelah beberapa lama ia berlarutan dan dilanjutkan minggu ke minggu, ada penganalisis yang mencadangkan agar kerajaan memberikan sedikit kelonggaran kepada sektor-sektor tertentu bagi meringankan beban perniagaan-perniagaan yang sedang tenat.
Menurut En Faiz, langkah ini secara tidak langsung telah memberi kesan yang besar terhadap rakyat, terutamanya yang bekerja di syarikat-syarikat kecil dan sederhana, dan yang menjalankan perniagaan sendiri. Ada yang dipotong sebahagian gaji, malah ada juga yang terpaksa diberhentikan kerja. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara, jumlah penganggur di negara kita melonjak ke 610,500 orang pada bulan Mac, iaitu 3.9% berbanding 3.3% pada bulan Februari.
“Walau bagaimanapun, ini adalah fenomena global dan bukan hanya berlaku di negara kita sahaja. Malah negara kita muncul antara negara terbaik dalam mengendalikan wabak pandemik Covid-19 dengan berkesan. Pujian harus diberikan kepada barisan hadapan dan pihak berkuasa kerana telah menangani wabak ini dengan cemerlang,” Tambahnya lagi.
Kredit Foto: Google
Rakyat Masih Berbelanja Tapi Pada Skala Kecil
Apabila kerajaan melonggarkan syarat PKP dengan memperkenalkan pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, maka banyak sektor perniagaan mula dibuka seperti butik pakaian, kedai elektrik dan sebagainya. Ini memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja seperti biasa. Adakah ini petanda positif atau sebaliknya? Adakah ia akan menjejaskan ekonomi keluarga masing-masing?
“Mengikut pemerhatian saya, walaupun sebahagian besar rakyat masih mampu berbelanja untuk barangan keperluan harian, namun ia dibuat dengan berhati-hati. Ini disokong oleh Indeks Sentimen Pengguna yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) yang menunjukkan sentimen pengguna telah jatuh ke paras paling rendah dalam 32 tahun pada suku pertama tahun ini.” Ujar En. Faiz lagi.
Tambah beliau, perbelanjaan ini juga sebenarnya sedikit sebanyak ditampung oleh beberapa siri pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan. Bantuan-bantuan tersebut telah mula diagihkan dan sebahagian besarnya telah sampai ke tangan penerima yang layak. Namun, jangan pula disalahkan kerajaan atas bantuan tersebut kerana tanpa bantuan-bantuan ini, keadaan mungkin menjadi lebih buruk kepada individu yang terjejas pendapatannya.
Kredit Foto: Google
Berbelanja Perlu Untuk Rangsang Ekonomi Negara
Jika kita perhatikan, objektif utama skim-skim seperti Bantuan Prihatin Nasional, pengeluaran wang KWSP melalui i-Lestari, dan moratorium pinjaman bank adalah untuk menyalurkan wang tunai terus ke tangan rakyat agar boleh dibelanjakan. Ini kerana, apabila aktiviti perniagaan berjalan, ia sebenarnya telah menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Bayangkan jika semua orang tidak mahu berbelanja dan hanya menyimpan wang tunai, tentunya ia akan menjejaskan perniagaan terutamanya peniaga-peniaga kecil. Justeru, kita perlu terus berbelanja tetapi dengan berhemah.
Sebagai Pengurus Dana yang sudah biasa berdepan dengan aliran tunai dan pegangan aset ini, baginya adalah sesuatu yang merugikan jika wang tunai hanya dipegang sahaja tanpa mendatangkan apa-apa pulangan. Wang tunai seharusnya digunakan untuk sesuatu yang bermanfaat dan boleh mendatangkan keuntungan. Jadi, daripada dibiarkan sahaja, adalah lebih baik jika wang tunai itu digunakan atau dibelanjakan untuk sesuatu yang bermanfaat.
Malah dalam agama Islam pun kita dianjurkan untuk bersedekah dan berkongsi jika mempunyai lebihan rezeki, kerana di situ terdapat keberkatan yang tidak dapat dinilai dengan angka. Analoginya seperti air. Air yang sentiasa mengalir lebih bersih daripada air yang bertakung. Maka ia perlu sentiasa bergerak. Saya percaya begitulah juga konsep wang. Untuk memaksimakan manfaatnya, ia perlu bergerak dan dipindahkan agar tidak hanya berlegar di dalam kelompok kecil dan tertentu sahaja.
Kredit Foto: Google
Tips Berbelanja Sambil Berjimat dan Penuh Hemat
Ini tips yang diberikan En. Faiz tentang bagaimana untuk berjimat pada situasi sekarang ini?
- Latar belakang dan keperluan setiap kita tidak sama. Sebaiknya, kita teruskan sahaja berbelanja dengan berhemah. Jika situasi kewangan dan pekerjaan kita tidak stabil, saya cadangkan agar kita menagguhkan dahulu pembelian-pembelian besar seperti rumah dan kereta kerana ini memerlukan komitmen jangka panjang.
- Tidak dinafikan sekarang adalah masa yang baik untuk melabur. Tetapi pada pendapat saya, adalah lebih baik kita pastikan dahulu keperluan-keperluan yang lebih utama sudah dipenuhi. Gunakan kemudahan moratorium pinjaman bank dengan sebaik-baiknya, seperti melunaskan hutang kad kredit yang mengenakan caj yang tinggi, ataupun mengisi semula tabung kecemasan.
- Kemudian, pastikan kita mempunyai pelan perlindungan insurans/takaful. Jika masih ada lebihan wang, mungkin boleh dilaburkan sebahagiannya di dalam unit amanah, atau bagi yang mempunyai pengetahuan, boleh juga membuat sedikit peruntukan untuk pelaburan di pasaran saham.
- Saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan skim-skim cepat kaya yang ditawarkan. Tipsnya mudah; Jika pulangan yang dijanjikan itu terlalu baik dan anda tidak perlu bersusah-payah, besar kemungkinan itu adalah skim penipuan. Sila rujuk laman web Bank Negara Malaysia untuk menyemak Senarai Peringatan tentang maklumat syarikat atau individu yang tidak mempunyai lesen berkaitan kewangan.
Kadar pengangguran melonjak ke 3.9% pada bulan Mac 2020
Sumber: DOSM
Pesanan Kepada Yang Hilang Pekerjaan
“Rata-rata penganalisis ekonomi menjangkakan ekonomi akan mula menunjukkan peningkatan pada separuh kedua tahun ini. Ini sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula membenarkan sebahagian perniagaan untuk menyambung operasi seperti biasa,” komen beliau.
Mengakhiri perbualan, En, Faiz mengingatkan kita semua agar punya rasa simpati dengan nasib mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19. Ini adalah ujian yang besar dan didoakan moga mereka tabah menghadapinya. “Namun, tidak ada sesuatu yang berlaku dengan sia-sia dan tentu ada hikmah di sebalik musibah. Siapa tahu, ini mungkin cuma satu langkah ke belakang, untuk melonjak lebih jauh ke hadapan,” akhiri beliau.
Kredit Foto: Faiz Hamsidi