Read
“Jangan LACURKAN Busana Tradisional Kita Terutamanya Baju Melayu” – Hatta Dolmat Suntik Semangat Baru Aidiladha
Lima belas tahun dalam industri fesyen, menyaksikan jatuh bangun dan terduduk berdirinya seorang figura bernama Hatta Dolmat ini. Jejaka berwajah manis ini, sentiasa tersenyum walau dalam apa jua keadaam.
Dan, tidak hairanlah walau ketika PKP pun, dia masih mampu berdiri teguh dan mahu terus mengeluarkan koleksi baru sempena Aidiadha nanti.
Katanya, koleksi ini lebih hebat dan antara yang terbaik yang pernah dihasilkannya. Kalau kebiasaan, sentuhan Hatta lebih kepada gaya moden, ready to wear yang bercirikan street style, kali ini dia membawa kelainan yang di luar jangkaan. Ayuh, dengarkan sesi temu bual InTrend bersamanya.
Sebelum bercerita tentang koleksi baru, boleh Hatta kongsi sedikit bagaimana kehidupan Hatta dan efek PKP selama berbulan-bulan ‘stay at home’?
PKP diumumkan beberapa minggu sebelum kita menyambut puasa dan seterusnya Hari Raya. Pastinya waktu itu kebanyakan designers sudah sibuk dengan koleksi Raya mereka termasuklah Hatta sendiri.
Dan, ia memberi impak yang sangat besar kepada kami apabila semua proses terhenti serta-merta, daripada production, promosi, order dan sebagainya. Seperti rakyat Malaysia yang lain, Hatta memang menyahut baik saranan kerajaan untuk duduk di rumah demi memutuskan rantaian Covid-19 ini.
Operasi Hatta Dolmat ditutup 100 peratus kerana Hatta secara peribadi memang takut dengan gelombang ini kerana kita tidak tahu bagaimana ia mampu menyerang kita dalam senyap.
Dan, selain ia memberi efek pada koleksi Hari Raya, PKP ini juga menjejaskan perancangan mereka yang ingin berkahwin. Ada sesetengah pelanggan yang menunja majlis, ada juga yang batal terus.
Tak apalah, bagi Hatta mungkin bukan rezekinya. Bagi designers masih bernasib baik jika dibandingkan dengan wedding planner yang lebih banyak kosnya.
Kredit foto: Hatta Dolmat
Dari sudut positifnya pula, bagaimana?
Hatta tak nafikan memang ada kesan positif yang boleh kita ambil daripada musibah ini. Hatta secara peribadi punya lebih banyak masa untuk mencambah idea yang lebih kreatif terutamanya dalam menambah baikkan koleksi Raya 2020 tempoh hari untuk dibawa ke koleksi Raya Haji pula.
Sepanjang berkurung di rumah, minda Hatta tetap berkeliaran, menggarap inspirasi yang lebih segar untuk diketengahkan sebaik habis PKP. Memang tidak sabar rasanya mahu mula berkarya.
Dan, lagi satu, dalam tempoh PKP itu juga menjadikan Hatta lebih cerdik digital kerana semua perkara dibuat secara online. Budaya membeli sudah berubah sama sekali. Ini yang Hatta harus dalami dengan lebih baik.
Kredit foto: Hatta Dolmat
Ramai pereka mengeluarkan jenama ‘mask’ mereka sendiri, Hatta?
Hatta suka pakai material yang nipis. Untuk mask yang baik seharusnya diperbuat daripada fabrik washable yang selesa. Namun, Hatta belum temui material yang betul-betul bagus untuk dijadikan mask.
Jadi, Hatta belum terbuka hati untuk membuatnya.
Boleh Hatta ceritakan sedikit koleksi Tassel Eid’Adha 2020 ini? Adakah ia kesinambungan daripada ‘koleksi terhenti’ Aidilfitri dek Covid-19?
Koleksi ini sangat bermakna buat Hatta kerana ia adalah rekaan yang lebih baik daripada apa yang Hatta rancangkan untuk koleksi Aidilfitri. Ya, dek Covid-19, Hatta mempunyai masa yang lebih panjang untuk improvise idea sedia ada kepada idea yang lebih hebat.
Tassel Eid’Aidha bukan hanya untuk wanita malah lelaki juga dan turut mengeluarkan seleksi kemeja yang boleh dipakai santai. Hatta memfokuskan pada fabrik dan reka corak busana yang berbeza daripada rekaan Hatta sebelumnya.
Keistimewaanya juga terletak pada potongan yang ajnas seperti Kurung Kedah, Kurung Riau, Kurung Moden Labuh Kebarung yang diperincikan dengan sentuhan moden klasik bersama fabrik yang lebih fashionable.
Harganya juga mampu milik sekitar RM450 ke RM650.
Kredit foto: Hatta Dolmat
Kenapa koleksi kali ini agak berbeza dengan identiti Hatta sebelum ini terutamanya daripada segi pemilihan warna?
Ya, betul ia lari daripada kebiasaan warna trademark Hatta seperti hitam, putih dan rona-rona gelap lainnya. Kali ini Hatta memilih percikan warna-warna terang, berani dengan kombinasi tak terjangka seperti firus dan merah dan lain-lainnya.
Ia bagaikan satu mesej PKP yang ingin Hatta sampaikan kepada semua supaya bangun daripada kegelapan dan kedukaan selama berbulan-bulan hidup dalam kerisauan.
Kita harus teruskan kehidupan dengan norma baharu yang lebih bersemangat. Justeru, terciptalah ilham ini yang menggabungkan warna-warna berani, simbolik kepada sinar baru dalam kehidupan new norm.
Kalau dilihat pada kebanyakan koleksi Aidilfitri 2020 tempoh hari rata-rata memilih warna-warna kelam dan kusam, mungkin terpalit mood sedih tak dapat beraya seperti biasa. Dan, nah untuk Aidiladha ini marilah kita membayar semula kekecewaan itu. Mengapa tidak?
Kredit foto: Hatta Dolmat
Adakah Hatta meramalkan trend baju raya Aidiladha akan lebih wow daripada Aidilfitri?
Hatta tidak berapa pasti. Cuma, bagi Hatta sendiri, memang Hatta mahu jadikan ia satu sejarah baru apabila melancarkan kempen baju raya Aidiladha dan kami di Hatta Dolmat Team memang mahu menjadi antara pemangkin dan pemberi semangat kepada designer lain untuk mengeluarkan koleksi sempena Raya Haji ini.
Masanya untuk kita bantu pula ekonomi negara dan gerakkan kembali produktiviti Malaysia.
Kredit foto: Hatta Dolmat
Apakah trend baju raya Aidiladha tahun ini?
Sebelum bercakap tentang trend, Hatta ingin nasihatkan sedikit kepada pereka-pereka busana tradisional tentang etika merekacipta pakaian kebangsaan kita. Isu ini bukan baru tetapi jarang mahu diketengahkan dengan serius.
Hatta agak terkila apabila semakin ramai pereka kita yang mencacatkan pakaian tradisonal Melayu terutamanya baju Melayu. Lihatlah tahun lalu, begitu banyak rekaan pelik baju Melayu yang dijual buat kita sesak nafas melihatnya.
Hilang nilai seni maskulin di dalamnya. Tolonglah berhati-hati dalam berkarya jangan sampai hilang keasliannya. Kita boleh berinovasi, mengubah potongan tetapi jangan sampai hilang jati dirinya.
Kena tahu setiap perincian baju Melayu itu, setiap satu membawa maksud tersendiri seperti tiga poket, lima butang, potongan pesaknya, kekek dan sebagainya. Jangan dirojakkan!
Kita mungkin tidak punya banyak hari untuk menggayakan baju tradisional kita tetapi jika ada majlis yang membolehkan kita menggayakannya seperti Hari Raya, majlis kahwin atau ke solat Jumaat, maka gayakanlah dengan sesempurnanya.
Jika berbaju Melayu, segaknya dengan songkok dan capal. Lengkapkan, jangan dikurangi. Peranan media sosial juga penting. Buat mereka yang punya pengaruh media sosial yang besar, inilah platform terbesar untuk kalian menagungkan pakaian tradisi kita.
Jika dilihat oleh orang luar, pasti bangga apabila mereka dapat melihat keaslian dan ketepatan rekaan asli kita dan bukannya yang sudah dilacurkan. Maaf.
Dan, untuk tahun ini, trend baju Raya Haji, kemungkinan mengembalikan gaya klasik, potongan dulu-dulu yang diberi sedikit sentuhan segar.
Kredit foto: Hatta Dolmat
Apakah kata-kata semangat dan nasihat Hatta buat rakan-rakan pereka lain pada saat ini?
Jangan putus harapan, kembalilah bersemangat meneruskan perjuangan. Bangun setiap pagi dengan dia kepada Dia. Berusaha untuk keluarkan idea-idea baru mengikut kemampuan yang ada.
Jangan pula buat sesuatu yang di luar daya kita. Sebagai contoh kalau tempahan baju hanya mampu dibuuak secara pre-order, lakukan begitu untuk elak kerugian.
Dan, Hatta juga mahu memberi saranan agar kita dapat memberikan potongan baju eksklusif pada harga mampu milik. Sama-sama kita bantu rakyat Malaysia dan ekonomi negara.
Semua mahu bergaya tetapi ada kala kemampuan membataskan. Mungkin, inilah bakti kita sebagai pereka fesyen yang boleh memberi senyuman kepada mereka. Ayuh, teman-teman pereka, semarakkan kembali industri kita, jangan rasa down, sebaliknya berfikirlah secara positif.
Kredit foto: Hatta Dolmat