Highlights
“Jangan Malu Mengaku Kita TERKESAN, Muhasabah Diri, Jangan Menangis Nanti Orang Tepuk Tangan” – Amelina
Siapa kata jadi artis, pakai glamor-glamor, selalu ke sana sini memenuhi undangan, menjadi pujaan peminat tidak melalui fasa kemeseletan ekonomi? Mereka juga seperti rakyat marhaen lain yang mempunyai banyak komitmen, hutang-piutang, tanggungan dan ada kala kos sara hidup mereka jauh lebih tinggi. Maklumlah hidup di bawah lensa glamor.
Apatah lagi dalam keadaan pandemik yang mana kebanyakan kita semakin tewas dengan sekatan mencari rezeki. Kebanyakan selebriti sudah tidak boleh mengadakan sebarang persembahan, penggambaran atau melakukan kerja seperti biasa. Lebih malang lagi kebanyakan mereka hanya mempunyai gaji jika mempunyai ‘job’.
Begitu juga yang dirasai penyanyi terkenal, Amelina. Dalam perkongsian di Instagramnya, dia yang mesra disapa Kak Long mengakui kini mengambil tempahan makanan sebagai punca pendapatan sampingan sementelah duduk saja di rumah dengan dibantu anak-anak dan adik angkatnya.
Amelina memasak di rumahnya sahaja mengikut kuantiti yang ditempah pelanggan dan hanya beroperasi tiga kali seminggu. Menunya Nasi Ayam Rindu pada hari Selasa, dan Nasi Minyak Asyik setiap hari Khamis dan Jumaat.
Penyanyi yang pernah diangkat sebagai Ratu Dangdut Malaysia ini turut menitipkan nasihat kepada mereka yang terkesan di kala ini supaya tidak malu untuk mengakuinya demi kelangsungan hidup. Bukan masanya lagi untuk ‘feeling’ atau acah-acah okey.
Amelina menasihati semua kita untuk buang rasa ego, sikap kecewa, dengki, iri hati dan buatlah sesuatu itu dengan ikhlas dan reda. Untuk mereka yang bergelar ibu tunggal seperti Kak Long, pesannya lagi, teruskan usaha, yakin dan tawakal. Jangan menangis nanti orang akan tepuk tangan.
Tambahnya, ampunkan orang yang pernah berbuat dosa dengan kita secara terang-terangan atau sebaliknya. Apabila kita tenang tanpa mempedulikan hinaan umpat keji orang, Insya Allah urusan kita akan dipermudahkan.
Semoga terus maju jaya Kak Long dan dilimpahruahkan rezeki!